Wawancara

Berjuang demi kebenaran, kembalikan Perak kepada Pakatan Rakyat

Datuk Ngeh Koo Ham, anak kepada pasangan penoreh getah Ayer Tawar, Perak, adalah graduan guaman Universiti Malaya. Sejak mula bertanding pilihan raya pada 1990, beliau telah menjadi Ketua Pembangkang DUN Perak pada 2004. Selepas Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri Perak pada 2008, beliau menjadi exco kanan.  Dalam wawancara bersama wartawan Roketkini Fairuz Azhan, saudara Ngeh yang juga Pengerusi DAP Perak berkongsi pengalaman dan idealisme politiknya untuk menawarkan pilihan yang lebih baik kepada anak negeri Perak dan rakyat Malaysia amnya.

Bolehkah saudara ceritakan sedikit bagaimana boleh terlibat dalam bidang politik khususnya DAP?

Sebenarnya rasa tidak puas hati dengan kerajaan sudah timbul sejak kecil di mana kami rasa politik perkauman yang selalu dilaungkan oleh kebanyakan pemimpin UMNO menyebabkan orang bukan Melayu merasakan tidak dilayan dengan saksama.

Saya rasa ini berlaku di mana-mana tempat pun. Kalau dalam keluarga pun, kalau kita tidak berlaku adil terhadap adik beradik, akan timbul rasa tak puas hati. Jadi, yang penting untuk memastikan kita ini negara yang kohesif, yang bersatu padu, kita kena layan rakyat secara adil.

Masa muda, kita semua sokong PPP (Parti Progresif Rakyat yang sehingga 1973 adalah parti pembangkang) di Perak kerana kita rasa PPP itu suara rakyat. Dan masa itu pun banyak dasar kerajaan yang memihak kepada segelintir pemimpin saja.

Ramai orang orang Melayu salah anggap bahawa tidak perlu tolong lagi orang Cina kerana kononnya ramai orang Cina kaya. Sebenarnya ramai Cina yang tidak kaya. Saya anak seorang penoreh getah. Ramai berkerja di lombing bijih timah mendapat beberapa ringgit sahaja sehari. Ada yang toreh getah pun berapa ringgit sehari di dapat.

Salah faham ini timbul kerana pemimpin-pemimpin MCA menjadi standard kemewahan orang Cina. Sedangkan kita tahu ramai orang Cina sangat miskin dulu sehinggakan terpaksa memberi anak-anak mereka kepada orang Melayu untuk dijaga. Tiada ibu bapa yang sanggup memberikan anak mereka kepada orang lain melainkan kerana terlalu terdesak.

Jadi yang pentingnya, rasa tidak puas hati dengan kerajaan ialah kerana kerajaan Barisan Nasional menganggap bahawa orang Cina semua kaya dan tak perlu ditolong. Dan dari situlah kita mengharapkan satu keadilan untuk semua.

Kenapa saudara memilih DAP, bukannya parti-parti lain yang ada di Malaysia?

Sebenarnya apabila saya menamatkan pengajian universiti dan menjadi seorang peguam pada tahun 1985, masa itu boleh dikatakan DAP satu-satunya parti yang mewakili pendirian saya. Masa itu PPP, Gerakan, semuanya sudah masuk Barisan Nasional. Masa itu, DAP lah parti demokrasi sosial yang saya rasa mewakili cita rasa saya.

Sebenarnya saya rasa amat prihatin kepada orang miskin. Pada masa itu, saya mahu menjadi seorang pekerja sosial bagi masyarakat India yang miskin di Perak. Sebelum saya belajar aliran guaman di universiti, saya pelajari Bahasa Tamil selama dua tahun. Niat saya untuk menolong orang India. Sebab saya rasa mereka yang tertindas sekali, terpinggir sekali dan ekonomi mereka yang terburuk sekali antara semua. Saya lihat cara hidup mereka, memang sangat miskin.

Keadaan ini jelas di persekitaran saya, di kawasan saya. Jadi saya rasa seorang democrat sosial perlu membantu mereka yang miskin tanpa mengira kaum dan agama, dan saya rasa ideologi ini sangat betul dan baik.

Baru baru Laporan Ketua Audit Negara telah dikeluarkan. Apa komen saudara tentang laporan itu yang menyentuh mengenai negeri Perak?

Memang dalam laporan ini, sekali lagi Ketua Audit Negara telah mengesahkan pentadbiran kewangan kerajaan Perak adalah baik, iaitu mendapat pengiktirafan 4 bintang, melebihi 90 peratus markah. Ini kalau kita lihat, satu pencapaian daripada Pakatan Rakyat. Kerana sejak 50 tahun, pertama kali di negeri Perak, kita mendapat pengiktirafan 4 bintang ini yang  bermula tahun 2008.

Apabila Pakatan Rakyat menjadi kerajaan di Perak, kita mengemaskinikan sistem pendtabiran kewangan untuk memastikan tiada ketirisan, tiada peluang untuk rasuah dan blotter contract tidak berlaku. Sebab itulah Ketua Audit Negara memberikan pengiktirafan 4 bintang untuk kali pertama kali dalam tahun 2008.

(Nota: Pakatan Rakyat memerintah Perak mulai Mac 2008 hingga Februari 2009 apabila BN merampas kuasa apabila “membeli” beberapa Adun Pakatan)

Sekarang Barisan Nasional cuba mengaku claim credit, mereka kata 3 tahun berturut turut. Sebenarnya rakyat mesti sedar, ini hanya bermula tahun 2008 dalam sistem yang kita kemaskini dan patuhi, memang dia akan terus dapat 4 bintang. Tapi malangnya, lain-lain agensi dan jabatan jabatan negeri memang tak ada lagi peningkatan yang jelas.

Jadi kalau kita baca Laporan Ketua Audit Negara, hanya satu saja, iaitu pentadbiran kewangan negeri mendapat 4 bintang. Dan kita lihat dalam laporan itu, memang banyak lagi pekara tidak betul berlaku di negeri Perak.

Contohnya, ada yang ditukar ke jabatan lain tapi mendapat dua gaji. Gaji di tempat lama dan gaji di tempat baru. Kita pun nampak pentadbiran yang dikatakan tidak baik seperti Dewan bandaraya Ipoh. Banyak gerai gagal disewakan, tidak dijaga dengan baik dan terbiar sahaja. Jadi ini satu pembaziran wang rakyat.

Laporan Ketua Audit hanya hanya sample. Skandal lebih besar ialah di di bawah pendtiboran Zambri (Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang tidak dipilih oleh rakyat).

Apakah skandal itu?

Kerajaan Zambry telah meluluskan 68,503 ekar tanah. Antaranya ada 60,000 ekar tanah yang pertanian dan industri yang diluluskan dengan purata premium dengan RM375 seekar sahaja.

Ini satu skandal besar dan saya sudah cabar dia untuk memberi penjelasan. Rakyat  biasa tak dapat apa-apa tetapi syarikat-syarikat ini dapat tanah beribu-ribu ekar. Jadi saya sudah mencabar dia dan dia sudah pun memberi penjelasan untuk memberi senarai nama mereka yang menerima tanah-tanah ini, tapi sampai hari ni kita belum diberi senarai itu.

Sebaliknya dia kata saya member fakta yang tidak betul. Sebenarnya fakta-fakta ini saya dapat dari sumber dalaman yang boleh dipercayai. Dia sudah mengugut untuk mendakwa saya di mahkamah dan saya pun mencabar dia untuk mendakwa saya. Sampai hari ni tak ada berita langsung.

Saya telah pun membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Zambry. Kerana kita tahu selepas rampasan kuasa 6 Febuari 2009, tak lama kemudian mereka mahu luluskan tanah 35,000 ekar kepada satu syarikat untuk mencari bijih timah (tin prospecting) dan ini skandal besar. Mana boleh bagi satu syarikat 35,000 ekar tanah? Lepas itu kerana bantahan Pakatan Rakyat melalui ceramah-ceramah, cadangan itu dibatalkan.

Baru-baru ini ada akhbar melaporkan bahawa ada satu syarikat yang diberikan hampir 2,300 ekar tanah. Sedangkan di situ ada seorang penternak itik dan ikan yang mempunyai 60 ekar tanah selama 40 tahun, tidak diberikan tanah untuk membesarkan usahanya, tiba-tiba satu syarikat besar besar pula yang dapat.

Ini menunjukkan kerajaan BN Perak hanya mementingkan kroni dan bukannya rakyat biasa. Di bawah Pakatan Rakyat, kita sememangnya mementingkan mereka yang sememangnya bercucuk tanam, membela ikan atau udang, yang mengeluarkan makanan untuk negara. Mereka ini tekun bekerja dan mereka ini harus diberi keutamaan tanah dahulu supaya mereka dapat bertani secara bebas dan secara pasti untuk memajukan tanah mereka agar produktiviti dapat ditambah.

Usaha membantu golongan usahawan juga perlu mengambil kepentingan masyarakat sekeliling. Memang ramai orang Melayu di Bukit Merah mendapat untung besar kerana membela ikan arrowana, dan satu ikan ini kita boleh jual dengan harga RM4,000 – RM5,000, malah ada yang sampai RM10,000. Kita sokong usaha penternak-penternak ikan ini.

Tetapi oleh kerana penternak-penternak ikan ini menggunakan banyak guna air sungai, saluran air yang disediakan untuk penanam-penanam sawah padi Melayu pula terjejas. Kalau  kerajaan BN tahu industri ikan ini sangat baik dan memperkayakan rakyat, ia harus sediakan satu saluran air tambahan. Tak kan kita nak tolong satu pihak dengan merugikan pihak yang lain.

Apa yang perlu Pakatan Rakyat lakukan untuk mendapat semula mandat rakyat yang telah dirampas oleh BN?

Bagi saya, kita kata pentadbiran 11 bulan Pakatan Rakyat memang boleh menjadi satu perbandingan untuk rakyat negeri Perak untuk mengetahui siapa yang lebih jujur untuk mentadbir negeri. Di bawah Pakatan Rakyat, kita tahu bahawa pertama kali kita dapat pengiktirafan 4 bintang daripada Ketua Audit Negara. Kita telah berjaya mentadbir dengan telus dan tulus, tidak ada rasuah, menjaga wang rakyat dengan baik dan kita mendapat pendapatan yang paling tinggi dalam sejarah negeri Perak masa itu.

Pentadbiran kita juga mendapat pelaburan paling tinggi dalam sejarah negeri Perak, iaitu RM3.2 bilion dan masa itu ramai pelabur beratur untuk berjumpa kita bagi memajukan negeri Perak. Berpuluh-puluh ketua pegawai operasi (CEO) dari Kuala Lumpur, Tokyo, Taipei dan banyak lagi datang untuk berbincang peluang perniagaan yang akan memajukan negeri serta memberi peluang pekerjaan kepada anak negeri Perak.

Bukan sahaja industri, malah pertanian kita galakkan. Dengan pendirian demokrasi sosial DAP dan negara berkebajikan PAS serta sokongan PKR, kita mementingkan kebajikan rakyat. Kita memberi RM1,000 kepada anak-anak Perak yang masuk universiti. Kita buat dahulu, kemudian BN tiru. Kita beri bantuan RM1,500 kepada keluarga orang meningal dunia yang miskin. BN yang tak pernah buat, terpaksa tiru kita juga.

Malah bila menaikkan gaji guru agama, imam dan pekerja-pekerja masjid, baru BN mahu tunjuk mereka prihatin kepada golongan ini. Sebelum 2008, BN tidak mengendahkan kebajikan orang-orang yang mememilihara agama Islam.

Malah, buat kali pertama dalam sejarah Perak, kita adakan sistem pemilihan untuk ketua kampung di mana mereka dipilih secara demokratik oleh orang-orang kampung itu. Memang sah orang kampung suka kepada sistem ini kerana mereka boleh memilih sendiri pemimpin kampung yang mereka mahu.

Kita tahu ramai rakyat Perak yang berterima kasih kepada Pakatan kerana memulakan semua inisiatif ini. Kalau tidak kerana Pakatan, tentu BN tidak akan melaksanakan apa yang telah kita mulakan dahulu. Tak apalah, asalkan rakyat senang, kita akan tetap berjuang untuk rakyat.

Bagaimana pula dengan janji-janji BN dalam usahanya untuk mengekalkan kuasa di Perak?

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak banyak mengeluarkan slogan. Mungkin ramai juga yang terpedaya tapi jelas dalam krisis negeri Perak, Najib adalah seorang pemimpin yang tidak menghormati demokrasi dan tidak menghormati rakyat Perak. Dia merompak dan merampas hak rakyat Perak secara tidak demokratik. Begitu juga Zambry.

Jadi saya rasa itu satu pekara yang kita harus ingatkan rakyat, dan saya serta Datuk Seri Nizar Jamaluddin (Menteri Besar Pakatan Rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat pada 2008) pernah berkata, apabila Najib dan Zambry pergi Makkah baru-baru ini, kita harap mereka bertaubat kerana telah melakukan kesalahan terhadap rakyat Perak. Tapia pa yang kita lihat, Najib dan Zambry tidak pula memohon maaf kepada rakyat negeri Perak atau pun seluruh negara.

Apa yang berlaku semakin buruk lagi. Dalam sidang DUN baru-baru ini, perbahasan Bajet negeri diluluskan dalam 20 minit tanpa bahas. Adun-Adun Pakatan Rakyat yang mahu berucap, ditutup mikrofon mereka. Polis dikerah untuk mengawal kita. Sebelum itu pula, Speaker yang sah (V. Sivakumar) diusung keluar secara paksa dari Dewan. Satu dunia nampak. Ini membawa kepada imej negeri Perak dan Malaysia. Saya harap agar kita guna isu-isu ini untuk menekankan dasar-dasar kita serta menunjukkan kepada semua betapa zalim dan kejamnya pemerintahan BN di bawah Najib dan Zambry.

Apa lagi yang saudara rasa rakyat perlu tahu tentang Pakatan Rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang?

Saya rasa sistem persekutuan di Malaysia, sebagaimana yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah bersifat ‘federal-centric’ di mana semua kuasa kewangan dan banyak perkara lain diletakkan di bawah kerajaan persekutuan. Walau pun federalisme sebenarnya memberi kuasa yang wajar kepada negeri, di Malaysia kuasa kepada kerajaan negeri hanya dihadkan ke atas tanah, sumber asli, dan agama dan adat resam. Selain dari itu, boleh dikatakan lain-lain kuasa adalah di bawah persekutuan.

Oleh itu rakyat mesti faham bahawa sistem BN sengaja menghadkan kuasa negeri supaya rakyat terpaksa bergantung kepada kerajaan pusat. Rakyat kena sedar, jika jalan raya persekutuan tidak dibina, itu kesalahan kerajaan pusat BN. Sekolah yang tidak dibina, atau jika perkhidmatan pusat yang seharusnya tidak diberikan tidak diberi, rakyat mesti marah kerajaan persekutuan BN, bukan kerajaan negeri, khususnya yang ditadbir oleh Pakatan.

Tetapi apabila manusia ditekan dan ditindas, dia ada cara untuk mengatasi kezaliman selagi niatnya jujur dan ikhlas. Kereana itulah, dengan wang yang sedikit oleh kerajaan negeri, kita tetap boleh mentadbir dengan baik. Nombor satu, negeri-negeri Pakatan tidak ada rasuah.

Negeri Pulau Pinang merupakan contoh yang amat baik di mana belanjawan tahunan hanyalah sekitar RM500 juta atau setengah bilion, berbanding kerajaan persekutuan BN yang mempunyai lebih RM200 bilion. Dengan wang yang sedikit, kerajaan Pakatan Pulau Pinang telah mendapat banyak pelaburan asing langsung (FDI) dan mereka memberikan perkhidmatan yang cekap, bersih, tidak rasuah. Permohonan untuk pembinaan dan projek yang sah dapat dilulus dengan baik tanpa rasuah, dan ini telah menarik banyak pelabur asing.

PAda tahun 2010, Pulau Pinang mendapat FDI tertinggi di seluruh Malaysia, iaitu RM12.2billion. Kita boleh tunjuk kepada rakyat bahawa kita boleh mentadbir kerajaan persekutuan, lagi banyak yang kita boleh usahakan untuk rakyat. Malah kita dapat menjimatkan banyak wang untuk diagihkan kepada rakyat yang memerlukan, dan bukan kepada kroni-kroni.

Dalam kemelut politik semasa, apakah pesanan saudara kepada rakyat negeri Perak?

Bagi rakyat negeri Perak, saya berharap mereka dapat menghidupkan semula demokrasi di  Perak dan mendaulatkan undang-undang. Kepahitan sejarah politik Perak yang menghakis semangat demokrasi, termasuk perbuatan keji di mana laporan rasmi atau hansard DUN tidak melaporkan dengan tepat semua yang kita ucapkan kerana mikrofon ditutup, dan mahkamah yang gagal mengikut undang-undang kerana tekanan politik, mesti dibaik pulih.

Ia bukan sekadar soal undang-undang kerana ia telah menjejaskan kepentingan dan kebajikan rakyat. Krisis di Perak telah menyebabkan usahawan Malaysia dan pelabur luar hilang keyakinan terhadap Perak. Ini menjejaskan peluang kerja dan peluang ekonomi anak negeri Perak.

Satu contoh terbaik ialah Walid International yang mahu melabur RM15 bilion di Perak untuk pusat pengedaran bijih besi di Teluk Rubia, sudah membeli tanah dan membuat komitmen. Syarikat ini sudah membeli tanah, mereka tidak ada pilihan lagi, terpaksa. Tetapi mereka tidak ada keyakinan kepada sistem mahkamah di Malaysia.

Sesiapa yang ingin datang ke Malaysia tidak mahu datang. Jadi untuk Perak maju, kita mesti menjamin kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan. Kalau tidak, negeri Perak akan terus mundur. Dahulu Perak merupakan negeri terkaya di Malaysia, sekarang ia merupakan antara negeri termiskin di Malaysia.

Pakatan Rakyat telah memulakan usaha membawa keluar Perak dari taraf negeri miskin tetapi BN menarik turun kembali kemiskinan negeri dengan bermain politik kroni. Semoga rakyat Perak sedar bahawa politik perkauman tidak akan memberi apa-apa faedah kecuali kemunduruan kepada negeri sendiri. – Roketkini.com