Berita

DAPSY mahu umur pengundi 18 tahun, pendaftaran automatik

KUALA LUMPUR, 14 NOV – Pemuda DAP (DAPSY) mencadangkan supaya had umur pengundi diturunkan kepada 18 tahun untuk membolehkan sebahagian besar rakyat Malaysia bertanggungjawab menentukan kerajaan pilihan mereka.

Dalam satu memorandum kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC)  untuk penambahbaikan proses pilihan raya yang dikemukakan pada Sabtu lalu, DAPSY berpendapat penetapan umur 21 tahun sebagai kelayakan mengundi merupakan amalan yang kuno yang menafikan hak asasi segolongan besar rakyat dewasa di negara kita.

Menurut DAPSY, pada masa ini umur 18 tahun sudah dianggap dewasa untuk menjalani latihan khidmat negara (PLKN), berkahwin dan diadili di mahkamah sebagai seorang dewasa, sesiapa sahaja yang berumur 18 tahun perlu diberi kelayakan untuk mengundi.

Justeru, DAPSY juga mahu pendaftaran pengundi dibuat secara automatik sebaik sahaja seseorang warga Malaysia mencapai taraf kelayakan mengundi.

Proses itu boleh dilaksanakan dengan menyelaraskan daftar pengundi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan pangkalan data Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membolehkan setiap rakyat Malaysia yang layak, diberi peluang untuk menunaikan tanggungjawab dan hak mereka sebagai pengundi.

Cadangan DAPSY itu bertujuan membantu reformasi sistem pilihan raya, termasuk menyelesaikan keadaan di mana masih ada 3.7 juta rakyat Malaysia yang layak tetapi masih belum didaftarkan sebagai pengundi (sehingga Jun 2011).

Selain itu DAPSY juga mencadangkan supaya jumlah taburan pengundi disamaratakan dengan kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri kerana keadaan yang wujud hari ini tidak adil.

Sebagai contoh, jumlah pengundi di Parlimen Putrajaya lebih kurang 10,000 orang sahaja manakala Parlimen Kapar pula mempunyai lebih kurang 125,000 orang. Ini merupakan nisbah yang tidak adil sama sekali.

Ini bererti kuasa dan tanggungjawab Ahli Parlimen Putrajaya yang mewakili 10,000 orang adalah sama nilainya dengan Ahli Parlimen Kapar yang terpaksa mewakili hampir 13 kali ganda jumlah pengundi.

Menurut DAPSY, Perlembagaan Persekutuan 1957 memberi jaminan di mana nilai ketidaksamarataan antara kawasan-kawasan pilihan raya tidak sepatutnya melebihi 15 peratus tetapi jaminan ini telah dimansuhkan melalui pindaan perlembagaan.

Dengan merapatkan jurang, ia akan memastikan taburan pengundi akan menjadi lebih saksama dan rakyat mendapat perwakilan yang lebih adil, selaras dengan prinsip asas sistem demokrasi iaitu “satu warga, satu undi”.

Isu bilangan pengundi dalam kawasan pilihan raya juga mempunyai kesan terhadap proses persempadanan semula, dan kami menyeru kepada SPR untuk mematuhi prinsip-prinsip yang digariskan di bawah Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, DAPSY juga mencadangkan supaya:

* Penggunaan dakwat kekal (indelible ink) dilaksanakan kerana ia amat mudah dan kos rendah berbanding kaedah-kaedah lain seperti sistem biometrik. Dengan menggunakan dakwat kekal untuk menanda setiap pengundi yang telah selesai membuang undi, masalah pengundi berbilang kali tidak akan timbul.

* Parti-parti politik dibenarkan berkempen di dalam kem polis dan tentera untuk memastikan mereka, seperti mana pengundi lain, berhak mendapatkan maklumat yang secukupnya bagi membuat keputusan yang paling bijak dalam memilih wakil-wakil mereka.

* Pengundian awal yang lebih telus untuk polis dan tentera yang harus dijalankan dengan proses yang sama seperti pengundi awam, iaitu di sebuah pusat mengundi yang ditetapkan oleh SPR.

* Pengundi Malaysia di luar negara mesti diberi kelayakan untuk mendaftar sebagai “pengundi tidak hadir”, dan seterusnya membuang undi mereka melalui pengundian pos. Ini akan memastikan bahawa “disenfranchisement” atau pencabulan hak mengundi tidak berlaku kepada ratusan ribu rakyat Malaysia yang tinggal dan bekerja di negara-negara lain.

* Akses media yang adil bagi semua parti perlu dilaksanakan kerana selama ini parti-parti bukan Barisan Nasional tidak pernah diberi peluang yang sama untuk menggunakan media arus perdana untuk menyampaikan pesanan dan maklumat. Media seperti televisyen, radio dan suratkhabar-suratkhabar arus perdana hampir semuanya dimiliki dan dikuasai oleh pihak BN. Oleh itu, program-program dan berita-berita yang disampaikan hampir semuanya berpihak kepada BN sahaja.

* Tempoh minima kempen 21 hari perlu dilaksanakan kerana selama ini tempoh kempen pilihan raya berlangsung selama 8 hingga 12 hari sahaja yang tidak munabasah untuk berkempen kepada 28 juta penduduk, khususnya di kawasan terpencil dan jauh di pedalaman seperti di Sabah dan Sarawak. – Roketini.com