Berita

DAP Selangor perlu pemikiran baru

SRI KEMBANGAN, 21 NOV – DAP Selangor perlu menukar corak pemikiran, iaitu menyedari bahawa ia adalah rakan kongsi sebuah kerajaan negeri dan bukannya sebagai pembangkang seperti dahulu.

Pengerusi DAP Selangor Teresa Kok berkata, hanya dengan corak pemikiran baru akan membolehkan para ahli dan pemimpin parti bertungkus-lumus melaksanakan tugas yang terbaik untuk rakyat negeri.

“Ini adalah penting kerana rakyat sedang menilai prestasi kita sebagai kerajaan di Selangor,” ujarnya.

Katanya, sikap sedar diri bahawa DAP adalah sebahagian daripada pucuk pimpinan negeri juga akan membolehkan kerusi-kerusi Dewan Undangan Negeri yang sedia ada dapat dipertahankan.

Beliiau menambah bahawa usaha itu turut mampu membawa kepada kemenangan besar calon-calon Pakatan Rakyat di Selangor di samping jentera pusat sedang mengorak langkah ke Putrajaya.

Malah, katanya, melalui rekod bersih yang dicapai negeri Selangor dan Pakatan akan menyelamatkan Malaysia dari penyelewengan kuasa, korupsi sentimen perkauman dan agama yang diamalkan Barisan Nasional.

“Malaysia terdiri dari masyarakat majmuk. Saya percaya cara BN memainkan isu perkauman dan agama akan menyumbang kepada tamatnya rejim perkauman UMNO-BN.

“Tujuan mereka hanya satu, iaitu menggoncang keyakinan rakyat terutama Bumiputera terhadap Pakatan. Skrip mereka ialah hak Bumiputera dan Islam dipinggirkan oleh Pakatan.

“Inilah muka sebenar kerajaan BN yang melaungkan slogan 1Malaysia,” katanya ketika berucap di Konvensyen DAP Selangor ke-16 di sini semalam.

Kok yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP berkata demikian sebagai menjawab cabaran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan bahawa BN akan merampas kembali Selangor dengan apa cara sekali pun.

Kok turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada PAS dan PKR yang banyak membantu DAP menjelaskan isu-isu berkaitan kaum dan agama kepada rakyat, khususnya ketika wakil-wakil rakyat DAP dijadikan sasaran oleh BN.

Naib Pengerusi DAP Selangor Charles Santiago pula berkata, bagi menghadapi cabaran dan menguatkan iltizam parti, kesemua kaum dalam DAP perlu membuang pemikiran lama yang berfikir dalam kerangka perkauman.

“Kita mesti bekerja lebih kuat dan percaya bahawa semua wakil kita mampu menyelesaikan masalah yang bekait dengan isu-isu semua kaum di Malaysia.

“Kita tidak boleh berfikir lagi bahawa satu-satu kaum akan menyelesaikan masalah kaumnya, tetapi semua kaum termasuk Orang Asli mampu menyelesaikan masalah semua kaum,” katanya.

Sebagai persediaan menghadapi PRU ke-13, Naib Pengerusi DAP Selangor Teng Chang Khim yang berkata bahawa anggota DAP perlu melihat soal calon yang melangkaui faktor kaum,  tetapi memilih mereka yang mampu buat kerja untuk semua rakyat Malaysia.

“Saya akui faktor kaum perlu dititikberatkan tetapi ia bukan bermaksud segala-galanya dalam memilih calon yang betul.

“Rakyat sedang melihat dan menilai prestasi Ahli Parlimen kita, Exco-exco kita, Adun-adun kita, Ahli-ahli Majlis kita… Jadi kalau kita beri pandangan sempit dan bagi hujah seperti dahulu, selamanya kita tidak akan berubah,” katanya. – Roketkini.com