Rencana

Tahniah Harimau Muda! – Oleh Muhammad Zir.

22 NOVEMBER – Malam tadi, mungkin jutaan mata rakyat Malaysia tertumpu di depan kaca televisyen untuk menonton kemuncak perlawanan bola sepak dalam apa yang dikatakan sebagai ibu segala pingat Sukan SEA ke-26 di Jakarta, Indonesia.

Seperti yang telah kita maklum, tuah kali ini telah berpihak kepada pasukan kita Harimau Muda yang menyambar pingat emas setelah menewaskan musuh tradisi Indonesia di gelanggang republik itu sendiri.

Kegembiraan itu turut dikongsi oleh Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang bangga dengan pemain-pemain kebangsaan kita yang telah menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam mengatasi sepakan penalti yang cukup mendebarkan di Stadium Gelora Bung Karno.

“Walau pun dihadapi dengan situasi yang sangat mencabar, pasukan Harimau Muda tetap berjaya mengatasi pasukan tuan rumah. Ini menunjukkan bahawa rahsia kejayaan merupakan kegigihan dan ketekunan,” katanya hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada ketua jurulatih Ong Kim Swee yang telah membimbing anak-anak buahnya dalam mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada tahun 2009 di bawah tunjuk ajar Datuk K Rajagopal.

Segunung tahniah kita ucapkan kepada pasukan muda kebangsaan kita. Diharap, usaha memajukan mutu bolsepak negara terus dipertingkatkan.

Di stadium keramat warga Indonesia dan dalam puluhan ribu penyokong fanatik pasukan kebangsaan mereka, tersudut sekumpulan penyokong Malaysia yang tenggelam dalam sorakan padu merah putih.

Namun, semangat penyokong yang kecil jumlahnya ini, kita lihat cukup hebat, sama seperti moral pasukan kita. Walau dikelilingi oleh lautan rakyat Indonesia, mereka masih tegar dengan semangat dan mutu kesukanan yang tinggi.

Di tanah air pula, kita dapat saksikan di gazebo, restoran, warung dan kedai kopi termasuk di rumah, jutaan manusia duduk bersama dan bersorak gembira.

Dari senario ini kita dapat melihat dengan jelas sekali penyokong kita di tanahair meliputi pelbagai peringkat usia, golongan dan kaum. Ketika ini mereka hanya mahukan kemenangan pasukan kebangsaan. Kebersatuan ini melangkaui jantina, agama dan aliran politik.

Semangat cintakan negara

Kita tidak perlu mengajar mereka supaya jangan duduk berlainan tempat duduk kerana berlainan parti. Kita tidak perlu mengajar mereka supaya jangan datang menonton sambil membawa bendera parti kerana semua ini telah mereka ketahui dan maklum. Barisan penyokong kebangsaan kita ini sudah cukup matang untuk memahaminya.

Kematangan ini bukanlah kerana diajar disekolah atau diajar oleh pasukan bola kita, jauh sekali orang politik. Sebaliknya inilah hukum sejagat. Apabila maruah negara dipertaruhkan menentang seteru luar termasuk dalam perlawanan sukan, semangat itu mengatasi semangat assabiyah parti, mengatasi faham ideologi dan melangkaui semangat perkauman. Mereka bersatu dan bersama tanpa disusun-susun atau diatur. Ia semula jadi.

Sebaliknya, jika ada yang tidak menyokong pasukan kebangsaan, mereka akan diperli oleh rakan-rakan. Akhirnya, yang tidak minat bola sepak pun turut duduk menonton demi meraikan kebersamaan ini.

Jelas sekali bahawa yang menyatukan kita bukanlah slogan politik, bukan pemimpin dan bukan kerana kaum. Sebaliknya semangat sayangkan tanah air. Sekali lagi, itu sifat semula jadi.

Semangat cari kesempatan

Bagi orang-orang politik pula, mereka biasanya mahu cari kesempatan sahaja. Tanpa mempedulikan sifat semula jadi kebersamaan dan kebersatuan, mereka yang merasakan diri bijak pandai akan merangka strategi menjenamakan semula perjuangan parti politik mereka sebagai satu semangat patriotik cintakan tanah air.

Memang penjenamaan semula (rebranding) ini tidak ada salahnya. Namun apa yang cuba kita ungkapkan ialah bagaimana nakalnya ada sebuah parti yang sanggup memalitkan diri dan kroninya dengan perjuangan untuk tanah air.

Dengan bahasa yang lebih mudah, pimpinan parti tersebut sanggup mengubah nilai seperti rasuah yang dijadikan komisen atau bayaran perkhidmatan. Mengubah slogan Agenda Melayu kepada 1Malaysia. Mengubah liberalisasi politik dan ekonomi kepada transformasi. Mengubah  Dasar Ekonomi Baru (DEB) kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Semua ini hanya menukar jenama dan slogan semata-mata demi mencuri sokongan rakyat dari semua kaum dan agama dalam merebut kekuasaan politik parti mereka. Mereka sedar istilah ‘ketuanan’ tidak disenangi banyak pihak. Jadi mudah mengabui mata rakyat pelbagai kaum dan agama dengan penjenamaan semula tanpa mengubah isu dan bentuk politik assabiyah.

Hakikatnya ia masih sama dan tetap sama. Yang salah tetap nilainya salah. Hanya jauhari mengenal manikam.

Semoga budaya yang bobrok ini tidak menjalar ke dalam hati anak-anak muda serta pengurusan bola sepak kita yang gah dengan nama Harimau Muda.

Rasanya lebih masuk akal jika Harimau Muda dipersiapkan untuk melangkah ke arah Piala Asia, kalau tidak pun perlahan-lahan menuju ke Piala Dunia, daripada sebuah kerajaan yang korup, zalim dan flip flop berangan-angan mahu menjadi ‘negara paling demokratik di dunia’.

Sekali lagi, tahniah Harimau Muda! – Roketkini.com