Budaya

Anak muda, idealisme dan ahli politik – Oleh Mazir Ibrahim

25 NOVEMBER – Malam hari Rabu lalu, tiadalah ramai yang hadir di sebuah forum di pinggiran ibu kota. Tapi anak-anak muda dalam jumlah yang kecil itu begitu teruja untuk mendengar syarahan ahli-ahli politik yang telah mereka jemput hadir. Keterujaan ini bersebab, hanya mahu memahami bagaimana idealisme itu didakap kemas oleh ahli politik pasca reformasi 1998, iaitu Pakatan Rakyat.

Menelanjangkan ideologi dan strategi politik bukanlah amalan UMNO-BN, budaya ‘kejujuran’ dalam berpolitik ini menjadi tuntutan anak muda yang mahu Pakatan Rakyat tidak menjadi UMNO-BN yang kedua.

Namun, oleh kerana ‘political correctness’, ia terus menjadi tabu dalam diri dan organisasi politik. Mengapa?

Anak-anak muda yang menganggap diri mereka mempunyai peranan dalam persoalan ini dengan tegas menuntut ahli politik berbicara dan bertindak dengan sejujurnya.

Kita percaya, bukan hanya anak muda atau mahasiswa sahaja yang inginkannya, malah pak cik mak cik dan sesiapa pun tetap mahukan perkara yang sama. Keinginan ini adalah keinginan yang bersifat umum dan yang paling asas, ia tidak boleh dilihat sebagai keinginan sesuatu kelompok atau keperluan tambahan.

Jika kita dapat memahami seperti dalam ungkapan Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini bahawa  “pengundi yang berusia antara 21 dan 35 tahun merupakan penentu kepada kejayaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) akan datang kerana mereka merupakan kumpulan terbesar dalam siri PRU kali ini.” (Utusan Malaysia, 21 November 2011)

Begitu juga dengan ungkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika Bengkel Kepimpinan Anak Muda iaitu “Anak muda perlu tuntut pembaharuan, mesti ada keberanian dan komitmen untuk menghadapi sesuatu.” (Anwaribrahimblog.com, 20 Julai 2011)

Terdapat satu persamaan dalam ungkapan kedua-dua pemimpin ini iaitu ‘anak muda’ dan ‘perubahan’.

Tuntutan anak muda

Soal undi anak muda atau anak muda sebagai ejen perubahan atau anak muda sebagai elemen mobilisasi rakyat, tidaklah memberi keterujaan sebenar kepada golongan ini. Sebaliknya, kini anak-anak muda telah bangkit menyahut kembali cabaran tersebut dengan menuntut ‘kejujuran’ politik dari ahli politik dan dasar politiknya.

Inilah realiti yang harus diterima oleh kedua-kedua kepala pemimpin dari dua paksi politik utama negara. Suka atau tidak, kini sudah sampai masanya mereka yang bergelar ahli politik harus berlaku jujur dan memecah tabu ‘political correctness’ yang menghambat idealisme perjuangan politik rakyat.

Inilah kehendak golongan muda khususnya mahasiswa yang dapat dihidu dengan kuat pada malam tersebut. Mungkinkah tuntutan ini keterlaluan bagi sang politikus? Atau tuntutan ini cukup realistik pada anak muda?

Jadi, tiga persoalan utama adalah:

  1. Political correctness menjadi tabu, mengapa?
  2. Mungkinkah tuntutan ini keterlaluan bagi sang politikus?
  3. Adakah tuntutan ini cukup realistik pada anak muda?

Ada beberapa ungkapan di sebalik forum pada malam tersebut, datangnya dari anak muda yang sangat idealis.

Katanya “ Kau tak kan boleh berlaku jujur selagi kau menjadi ahli politik. Sebagai ahli politik, kebarangkalian untuk kau berlaku hipokrit dengan orang ramai, sangat tinggi”.

Tambah yang lainnya “Tetapi jika kau cuba berlaku jujur juga, kau akan kalah dan gagal sebagai ahli politik”.

Ada teman lain yang menjawab provokasi anak muda itu. Katanya lebih kurang, “Kalau kau bukan ahli politik sekali pun, tidak semestinya kau akan sentiasa jujur”. Dan sambungnya, “Berikan aku satu contoh, manusia yang tidak pernah berbohong?”.

Perbualan ini menggambarkan pertembungan dua kefahaman yang mewakili fahamnya pesimis dan satu lagi fahamnya optimis. Ini wujud di kalangan anak-anak muda.

Peribadi dan umum

Kita sebagai manusia, secara rasionalnya mempunyai dua pandangan yang berbeza dalam satu masa pada satu hal atau isu. Pertama pandangan peribadi, dan kedua pandangan umum.

Contohnya, saya secara peribadi menerima hak golongan gay dan lesbian, tetapi dalam konteks umumnya saya tidak bersetuju bahawa mereka harus diberi apa-apa hak istimewa di bawah perlembagaan negara seperti undang-undang berkahwin.

Pandangan ini adalah pandangan realiti yang berlaku dalam zaman ini. Dan adakah jika saya berpandangan begini maka saya hipokrit kepada bangsa dan agama saya?

Saya fikir tidak kerana pandangan peribadi menggambarkan sifat toleransi saya kepada golongan tersebut sebagai manusia yang mempunyai akal untuk memilih cara hidupnya, dan pada masa yang sama, pandangan umum saya jelas menunjukkan bahawa saya juga harus menghormati budaya masyarakat yang majoritinya tidak mengamalkan gaya hidup sedemikian. Adakah ini dinamakan hipokrit? Atau inikah jalan paling jujur dan boleh diterima masyarakat?

Memang dalam mana-mana masyarakat hal tabu adalah hal yang bukan sengaja dibuat-buat. Ia adalah budaya yang berkembang tanpa dikawal atau disusun-susun. Kefahaman manusia yang berbeza-beza ini tidak harus dilihat sebagai kelemahan, sebaliknya ia wajar diihat sebagai kelebihan untuk memberi nilai kepada apa jua perkara dan benda.

Sudah tentu dalam hal kegiatan dan amalan politik yang berlaku pada hari ini tidak dapat mengelak dari berdepan dengan hal tabu dan kejujuran. Amat sukar bagi kita nak mengharapkan seorang ahli politik yang jujur dalam masyarakat yang juga jujur pada satu masa yang sama. Ia hampir mustahil sama sekali.

Dalam hujah ‘political correctness’, kita akui bahawa memang ada ahli politik yang menggunakan istillah tersebut untuk menipu dan mewajarkan tindakannya demi survival politik peribadi. Namun, kita tidak dapat mengukur dan menjadikan amalan ini sebagai indikasi bahawa politik itu ‘kotor’.

Kejujuran perlu dipaksa?

Adakah kejujuran itu harus dipaksa-paksa ke atas manusia? Bukankah hal yang baik atau buruk itu adalah pilihan bagi setiap manusia, jadi hal baik atau buruk itu tidak perlu dipaksa sebaliknya kejujuran itu memerlukan dorongan atau dukungan.

Malah, kita sebagai manusia juga, boleh menilai yang mana baik dan yang mana buruk. Pilihan tetap di tangan kita.

Permintaan anak muda yang mendakap kuat pada idealisme, sudah seakan menjadi fitrah bagi golongannya. Golongan ini sedang ghairah setelah mula mengenali sesuatu perkara atau mengalami sesuatu hal. Ia suatu hal yang baik dan tidak harus diremehkan. Sudah menjadi tabiat bagi mereka untuk segera melihat hasil dari kefahaman yang baru mereka terokai itu.

Isunya di sini hanyalah, adakah keinginan mereka ini mampu (realistik) untuk ditunaikan oleh ahli politik yang melihat permintaan anak muda itu agak keterlaluan bagi mereka (ahli politik) yang telah dan sedang bergelumang dalam politik yang sedemikian rupa.

Akhirnya, permulaan yang baru itu kembali semula kepada anak muda. Mereka bukan sekadar perlu menuntut atau meminta, sebaliknya merekalah yang perlu memulakan dan melaksanakannya. Itulah yang paling realistik.

Budaya yang realistik adalah budaya baru yang bersifat semulajadi (natural), inilah budaya yang dicipta oleh anak muda.

Bagi ahli politik (muda) yang tidak memilih untuk berlaku jujur, kita tidak perlu untuk mengetok kepalanya, sebaliknya andalah ke hadapan dan menukarnya. – Roketkini.com