Berita

Keluarkan ‘sijil kematian’ kepada 1Malaysia jika tidak mahu utamakan rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 6 DIS – Datuk Seri Najib Razak diminta mengeluarkan ‘sijil kematian’ untuk slogan 1Malaysia ciptaan beliau kerana telah gagal membawa kepada perpaduan rakyat.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, Perdana Menteri telah mengejutkan seluruh rakyat Malaysia apabila menimbulkan sentimen perkauman tebal terhadap kaum bukan Melayu dalam ucapannya di Majlis Perhimpunan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) di Shah Alam, semalam.

Dalam ucapannya, Najib telah memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya “jangan sesekali mereka mencuit perasaan orang Melayu dengan nak ubah apa termaktub dalam perlembagaan kita.”

Menurut Guan Eng, Najib turut menekankan bahawa UMNO tidak akan berkompromi walau seinci pun atas kedudukan istimewa Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adakah dengan memainkan sentimen perkauman terhadap orang Melayu dan melaungkan diri sebagai pembela bangsa itu memberi hak kepada UMNO untuk melibatkan diri dalam skandal RM250 juta “lembu dan kondo” melalui syarikat keluarga seorang Menteri Persekutuan UMNO?

“Adakah dengan memberi amaran kepada orang bukan Melayu supaya tidak mencuit perasaan orang Melayu itu membolehkan skandal RM13 bilion Port Klang Free Trade Zone atau pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2010 tentang jabatan-jabatan kerajaan yang telah terlebih belanja sebanyak RM3.7 bilion?

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, DAP menolak politik diskriminasi UMNO yang berkeras dengan konsep Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian.

“DAP juga mengecam UMNO dan sekutunya kerana melayan sesiapa sahaja yang tidak bersetuju dengan ideologi perkaumannya sebagai pengkhianat dan musuh orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, UMNO selalu memetik Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan untuk mewajarkan agenda perkauman mereka.

“Namun demikian, UMNO selalunya gagal menyebut bahawa Artikel 153 juga mempertahankan kepentingan-kepentingan sah komuniti-komuniti lain.

“Dalam erti kata lain, Perlembagaan Malaysia adalah berdasarkan konsep “Malaysia dahulu” (Malaysian First) dan bukan kemudian!” katanya.

Sehubungan dengan itu, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang menyeru agar rakyat Malaysia berjuang menegakkan aspirasi semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa atau agama.

“Kita tidak boleh membenarkan UMNO merampas Perlembagaan Persekutuan untuk memecahbelahkan rakyat dengan perasaan permusuhan dan kebencian, dan juga untuk menjadikan perjuangan untuk semua rakyat Malaysia sebagai satu tindakan yang salah,” katanya.

Jelas beliau lagi, minda perkauman tebal UMNO juga menjadi penyebab kepada  Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO untuk mengatakan bahawa kekurangan kaum bukan Melayu dalam angkatan tentera menunjukkan semangat patriotisme yang rendah.

“Bagaimana pula masyarakat Cina boleh dituduh bertambah kuasa dari segi politik dan ekonomi apabila bilangan penjawat awam dari kaum Cina makin menurun?

“Di samping itu, masyarakat Cina sudah tidak lagi menguasai sektor-sektor ekonomi seperti perbankan, insurans, industri automobil, pembinaan, komunikasi dan pengangkutan,” katanya.

Yang paling keji sekali, jelasnya, lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, seolah-olah ingin menyambut tragedi Mei 13 1969 sebagai “hari keramat.”

“Betapa teruknya UMNO sampai mereka boleh meraikan pembunuhan orang termasuk kanak-kanak yang tidak bersalah?

“Namun begitu, tidak ada tindakan yang dikenakan terhadap Utusan yang bertindak seolah-olah mahukan satu lagi 13 Mei dengan menyambut 13 Mei sebagai “hari keramat,” katanya.

Guan Eng menjelaskan, DAP lebih mementingkan semua rakyat termasuk Melayu di mana melalui pentadbiran yang cekap, akauntabel, dan telus, kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah menaikkan tiga kali ganda peruntukan hal-ehwal agama Islam berbanding dengan apa yang telah diberi semasa pentadbiran Barisan Nasional dahulu.

Katanya, kerajaan PR Pulau Pinang juga tidak pernah mengusir walau pun sebuah rumah kampung Melayu.

“Satu-satunya rumah kampung Melayu yang pernah dirobohkan di Pulau Pinang telah diroboh oleh pemaju-kaitan-UMNO yang dipengerusikan seorang bekas ADUN UMNO,” katanya.

Malah, beliau menasihatkan Najib dengan memberi lima cadangan jika benar Perdana Menteri jujur ingin menyelamatkan konsep 1Malaysia.

* Dahulukan rakyat Malaysia sebelum kaum sendiri;

* Rakyat Malaysia berhak untuk menikmati hak asasi dan masyarakat sivil;

* Peluang saksama harus diberi kepada semua;

* Keluhuran undang-undang di mana yang dipentingkan adalah apa yang diketahui dan bukan siapa yang dikenali;

* Kerajaan dan rakyat harus sama-sama membina masyarakat yang berintegriti dan cerdik untuk mencapai ekonomi pendapatan tinggi dan berasaskan pengetahuan. – Roketkini.com