Rencana

Deklarasi Setapak III – Oleh Mazir Ibrahim

Bahagian Akhir

“Aku tak pernah dengar pemimpin DAP, baik Lim Guan Eng, Lim Kit Siang, Dr. Chen Man Hin atau siapa-siapa yang ada bercakap tentang idealisme bangsa kita,” keluh seorang kawan.

“Maksud kau apa? Aku tak faham, idealisme yang macam mana tu?” aku bertanya kembali.

“Macam Mahathir, dia ada bercakap tentang negara maju, wawasan 2020. Anwar ada bercakap tentang masyarakat madani, masyarakat sivil dan sekarang Najib bercakap pasal konsep 1Malaysia. Dari DAP aku cuma dengar Malaysian Malaysia aje, isi dan matlamatnya apa?” yang bertanya tadi, menyoal semula.

Amat jelas ungkapan saudara kita ini, persepsi ramai tentang DAP terbina dari ‘mimpi-mimpi’ ciptaan UMNO. Aku diam sejenak, memandang kembali ke bola matanya yang memang ingin tahu.

“Berfikir secara idealisme atau berfikir tentang sesuatu yang ideal, belum tentu dapat dilakukan secara betul,” spontan jawapan aku, bagai tersedar dari bermenung.

“Maksud kau?” soalnya kembali kepada aku.

“Tiada mimpi yang tak sempurna. Semua orang nak atau bercita-cita untuk sesuatu yang ideal. Ada yang sengaja mahu jadi dan dilihat idealis, cakap pun mahu retorik yang ideal, biasalah tu, tak ada salah pun.

“Tapi politik bukan semata-mata soal idea, cita-cita yang sempurna atau gaya kerja, pelaksanaannya pun bukan soal ideal atau tak, tapi soal perlu atau tidak pelaksanaan itu dilihat atau digambarkan secara ideal atau sebaliknya ”.

Aku cuba menerangkan sambil menguji kefahaman aku sendiri. Inilah ruang perbincangan yang boleh menjadi baju uji untuk mengenal isi dalam bahasa yang aku sendiri fahami.

“Oh, maksud kau, perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata, macam tu ?” cepat-cepat dia cuba menangkap maksud kata-kata aku.

“Itu anggapan kau, aku tak kisah. Tapi politik ni juga soal proses, soal pembinaan watak, soal pembudayaan, soal membentuk persepsi, kita ni suka sangat dengan slogan, tak salah, tapi lama-kelamaan, politik kita jadi politik slogan aje,” aku memendekkan perbualan.

Mahu dilihat ideal yang sudah pun ideal

Dalam konteks kenegaraan, kewarganegaraan dan politik sekali pun, bukan sahaja kita mahu sedar bahawa entiti kita ini adalah unik dan indah, sebaliknya kita juga mahu ia dilihat sedemikian juga. Maksudnya kita mahu imej dan identiti keunikan atau keindahan itu dapat dilihat dan dipamerkan kepada warga dunia.

Keinginan ini adalah lumrah, malah tiada dosa jika mempunyai perasaan sedemikian. Dalam ungkapan Deklarasi Setapak 1967 turut dinyatakan dengan jelas keinginan itu, bunyinya:

Sementara kita melihat di sekeliling dunia, terutama sekali di sekitar rantau Asia, kita akan memahami dan  berterima kasih kerana negara kita merupakan negara yang kecil secara bandingan, dengan populasi lebih kurang 9 juta orang sahaja.

Menyedari entiti kita secara objektif sudah tentu akan mengundang perasaan ingin bersaing antara jiran-jiran kita.

Maka dalam konteks yang baru ini, DAP berharap kerajaan Singapura dan Malaysia akhirnya akan menyedari bahawa adalah lebih bijak supaya menghentikan perkelahiran sesama mereka, dan membina perhubungan baru yang berasaskan sikap saling mempercayai, berkeyakinan dan bekerjasama untuk memastikan bahawa pembangunan demokratik ekonomi, kemakmuran, pertahanan dan kewujudan mereka akan sama-sama terus terjamin.

Realiti sejarah yang dirakam pada 1967 ini tidak akan dapat memadam keinginan parti DAP bersama-sama dengan parti-parti yang lain. Barangkali, bunyi cita-cita ideal DAP ini tidaklah seindah slogan yang molek-molek berbanding parti-parti lain. Namun, jauh di kalbu ahli-ahli DAP, telah cuba memahami dan berterima kasih atas hasrat kecil yang murni ini.

Bagaimana idealisme melalui proses politik – pengalaman DAP

Ketika di zaman awal negara ini dibina atas dasar-dasar bersama demi mengisi harga sebuah kemerdekaan, bibit-bibit penyelewengan semakin lama semakin terjadi dengan ketara, ia dilakukan oleh Perikatan selaku gabungan parti yang paling berkuasa.

Jika kita memahami apakah sebab utama Dato Onn Jaafar begitu bimbang dengan slogan ‘Hidup Melayu’ yang dibawa oleh UMNO, barangkali hal ini dapat memberi sedikit gambaran tentang tahap kesediaan bangsa kita untuk berdiri di atas kaki sendiri ketika itu.

Idea Dato’ Onn Jaafar ini barangkali sudah cukup ideal baginya demi membekalkan warga kita dengan ilmu dan kemahiran yang mencukupi sebelum mampu mengurus negara sendiri. Namun, hal ini sudah menjadi sejarah dan majoriti rakyat pada masa itu mahukan tanahair kita segera mencapai kemerdekaan.

Dan secara kebetulan juga, dalam Deklarasi Setapak ini ada diungkapkan:

Fakta kedua yang kita mesti hadapi adalah bahawa payung pertahanan Britain yang telah kita nikmati secara penuh yakin selama ini, kini bearada dalam proses pengecutan, dan sedang menuju ke tahap pengunduran secara total. Satu fakta yang ngeri adalah pada pertengahan tahun 1970-an nanti, Britain akan mengundurkan tenteranya secara total dari Malaysia dan Singapura.

Ini mendedahkan bahawa, kerja-kerja untuk mengisi ruang kemerdekaan masih bergerak perlahan, zaman itu ancaman komunis masih tinggi, ketegangan antara Malaysia dan Indonesia termasuk Singapura masih longgar dan tidak stabil.

Ini ditambah pula dengan kadar celik huruf dikalangan masyarakat kita yang masih lagi rendah, taraf pendidikan juga belum menyeluruh kepada rakyat dan agihan ekonomi juga masih terpisah-pisah dari kelas ekonomi. Dan, ketika itu jugalah kita harus berdikari tanpa naungan empayar British lagi, yang mana ketika itu mereka boleh bertindak sebagai ‘guides’.

Namun, seperti juga dilema yang dialami oleh Dato Onn di zaman 1940-50an dahulu, ketika itu ombak penentangan terhadap Inggeris sudah menjadi politik kebencian, maka rasional pun luput dari waras akal kita. Dan majoriti kita mahukan British keluar, dan keluarlah mereka.

Kebimbangan ini dirasionalkan apabila, selepas British keluar, negara kita dipimpin oleh segelintir golongan manusia elit yang terdiri dari golongan atasan sahaja. Risiko penyelewengan menjadi bertambah tinggi.

Ahli Parlimen Perikatan yang tidak berjawatan telah melaung-laungkan kata-kata yang anti-Britain di Parlimen, manakala kerajaan Perikatan sendiri dengan jelasnya telah bertindak tanpa berfikir secara mendalam, dan menolak keutamaan yang dinikmati oleh negara-negara Komanwel.

Namun dalam realiti ini juga, mainan politik hipokrit sudah mula disemai ke dalam budaya politik kita.

Kebodohan kerajaan Perikatan ini telah membawa akibat yang buruk, yang dicerminkan di dalam Kertas Putih Pertahanan Britain baru-baru ini. Kita terpaksa menyaksikan satu adegan yang memalukan di mana dua orang pemimpin kerajaan Perikatan telah bertandang ke London untuk merayu kepada orang yang baru dihina dan disumpah oleh mereka supaya diteruskan kehadiran tentera Britain di negara ini.

Sungguh pun selepas itu kita berjaya mengharungi Konfrontasi dengan Indonesia, mengharungi ancaman subversif gerila komunis yang ketika itu juga kerajaan turut mengaitkan DAP dengan perjuangan komunis dan di samping itu juga negara kita meneruskan agenda pembangunan negara. Ya, dalam tempoh itu kita berjaya mengharungi.

Namun akibat buruknya tetap ada iaitu peninggalan akta drakonian penjajahan British yang diperkenalkan semasa zaman darurat dahulu terus dikekal dan digunakan oleh kerajaan Perikatan dan kini Barisan Nasional. Inilah sisa-sisa politik gelap yang telah menyelubungi kita hingga zaman pemerintahan Najib Razak.

Inilah antara babak-babak awal pengalaman DAP dalam menggapai cita-cita yang ideal untuk bangsa Malaysia. Idealisme dan demokrasi yang kita impikan ini, telah melalui liku-liku realistik dan yang sangat mencabar, bukan sahaja tahap kesabaran kita tetapi kematangan kita.

Idealisme mendewasa bersama rakyat

Jati diri, identiti, entiti atau apa jua perkataan buat bangsa kita, kini kita semua sudah sampai di satu titik persimpangan. Pilihan yang terbaik harus dibuat, bangsa kita telah dihantui dengan pelbagai stigma dan pemesongan mahupun penggelapan fakta, ada yang datang dari luar malah tidak kurang juga yang datang atau dicipta oleh segelintir elit-elit politik kita terhadap bangsanya sendiri.

Politik Perikatan selama ini adalah politik pembahagian dan perpecahan kaum. Kami menganggap ini sebagai tugas utama rakyat Malaysia yang mengharapkkan kewujudan Malaysia diteruskan untuk menentang politik pembahagian dan perpecahan dengan politik integrasi di semua peringkat yang kreatif dan dinamik – politik, ekonomi dan budaya.

Bangsa ini adalah bangsa yang berketurunan Melayu, bangsa berketurunan Cina, bangsa berketurunan India dan bangsa-bangsa peribumi Sabah dan Sarawak. Sungguh pun bangsa kita masih kecil berbanding bangsa dengan tamadun yang lebih besar, kita tidak akan berpaling dari menjadi dewasa dan matang dalam membangunkan negara, tamadun dan nusa.

Tidak semestinya selalu benar bahawa negara-negara kecil tidak dapat berdikari dalam perebutan kuasa antarabangsa, sama ada dalam bidang ketenteraan mahu pun politik. Ada beberapa buah negara kecil telah menjadi terkenal di dalam sejarah dunia dengan membuktikan bahawa walau pun saiz geografikal dan populasi mereka terhad, tetapi mereka masih berupaya untuk terus hidup dan maju.

 

Peluang yang telah diberikan oleh rakyat pada pilihanraya 2008 yang lalu, seperti di Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak telah membuktikan bahawa kita mampu berubah, kita mampu maju tanpa hidup dengan budaya rasuah dan salahguna kuasa.

Kaum-kaum di negeri-negeri Pakatan Rakyat ini boleh hidup berdikari dan mampu bersaing di atas lantai yang sama rata tanpa mengorbankan prinsip-prinsip yang telah tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kejayaan mereka itu adalah hasil daripada tiga syarat utama untuk kehidupan; pertama, perasaan perpaduan, identiti dan kerukunan nasional yang kuat; kedua, rakyat yang berkemahiran dan berdedikasi; dan ketiga, disiplin sosial dan ekonomi.

 

Ini telah dicatatkan pada tahun 1967 lagi, dan baru hari inilah ia berjaya ditunjuk dan diterjemahkan bentuk dan ideanya. Tanpa dukungan dan kepercayaan rakyat Malaysia, tidak mungkin tinta sejarah yang tercatat itu mampu dibuktikan.

 

Inilah tugas suci yang kreatif dan membina dalam pembinaan negara yang kami dalam DAP berdedikasi untuk memikulnya.

Oleh itu, pada pilihanraya yang akan datang ini, Pakatan Rakyat merayu kepada seluruh rakyat agar teguh, berani dan tampil melakukan perubahan, perubahan inilah yang akan melahirkan satu bangsa yang kita idamkan iaitu Bangsa Malaysia.

Jika Dato Onn masih hidup, pasti beliau akan terpegun melihat bagaimana idealisme ini telah melalui satu proses pengalaman yang cukup panjang dan memeritkan. Dan belum terlambat untuk rakyat Malaysia pelbagai kaum termasuk Melayu merealisasikan cita-cita murni ini. – Roketkini.com

Bahagian 1

Bahagian 2