Budaya

Erah – Bahagian III – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Zaman itu, kampung Sungai Kelah masih dilitupi hutan tebal, kebun dan ladang belum lagi wujud, penduduk di situ hanya bergantung kepada sumber hutan dan tangkapan laut. Lebih memeritkan ketika musim tengkujuh, kebanyakan nelayan tidak ke laut, maka mereka akan ke hutan mencari buluh, manau dan berburu pelanduk dan ayam hutan.

Kadang-kadang dapat, kadang-kadang pulang dengan tangan kosong. Ketika itu keadaan amat sukar dan tidak menentu. Ada juga yang menggagahkan diri untuk ke laut di waktu musim bergelora termasuk Ahmad Jalil, beliau sendiri pernah hampir-hampir lemas di laut selepas perahunya pecah dihentam ombak ganas, nasib sebagai nelayan pada masa itu cukup jerih.

Melihat keadaan itu, penghulu meminta orang-orang kampung membuka kebun dan ladang, kebanyakan lelaki terus saja menyahut permintaan itu, begitu juga dengan Ahmad Jalil. Setelah hampir 10 tahun, maka teranglah kawasan kampung Sungai Kelah, kehidupan orang-orang kampung lebih stabil. Tidak lagi bergantung kepada sumber pendapatan laut yang tidak menentu itu.

Sebilangan keluarga sudah punya tanaman sendiri, pasar tani juga telah wujud. Mereka bukan sekadar menanam untuk makan tetapi untuk berjual beli. Kemajuan ini mengundang lebih ramai lagi orang-orang datang berhijrah ke kampung tersebut. Masa inilah datang beberapa keluarga masyarakat Cina, antaranya Wang Chu.

Pada asalnya, keluarga Wang Chu ini hanya menumpang di tanah sebelah pantai sambil membuka warung kecil berniaga sayur, buah, ikan dan kerang laut. Ahmad Jalil sering datang mengirim buah-buah hutan untuk Wang Chu jual. Dalam perkenalan inilah Ahmad Jalil dan Wang Chu bekerjasama menerang sebuah tanah setelah mendapat keizinan dari penghulu kampung.

Milik bersama Ahmad Jalil-Wang Chu

Keluarga Wang Chu amat terhutang budi dengan Ahmad Jalil kerana telah membantunya hinggakan selepas itu Wang Chu menawarkan kerja dengan Ahmad Jalil. Orang kampung hanya tahu Ahmad Jalil makan gaji dengan Wang Chu, tetapi pada hakikatnya Wang Chu menawarkan Ahmad Jalil bekerja dan menguruskan kebun serta ladang sebagai pemilik bersama.

Wang Chu kagum dengan kebolehan dan kecekapan Ahmad Jalil mengurus dan menerang hutan. Tidak semua orang boleh buat kerja sepertinya. Malah Wang Chu melihat Ahmad Jalil rajin, ikhlas dan jujur orangnya, kerana itu beliau amanahkan beberapa kebun sayur dan ladang getahnya kepada Ahmad Jalil untuk dijaga dan diuruskan. Hasilnya mereka kongsi bersama.

Dengan pendapatan itulah Ahamd Jalil dan isterinya Wan Milah dapat membiayai anak-anak mereka belajar.

Semua ini orang kampung tidak tahu. Kalau ada yang tahu pun, pura-pura buat tak tahu. Sebaliknya mereka menuduh keluarga Wan Milah dan arwah suaminya Ahmad Jalil makan suap kerana menjadi hamba kepada keluarga Wang Chu.

Ketika itu Ahmad Jalil sudah mampu membeli motosikal, kehidupannya lebih memuaskan berbanding sewaktu menjadi nelayan. Penghasilan ini seharusnya dapat membahagiakan kehidupan mereka sekeluarga, namun tanpa disangka dari situlah bermulanya episod duka dalam keluarga Wan Milah.

Semakin lama, ada yang tidak senang dengan penghidupan Ahmad Jalil, bertahun-tahun orang-orang kampung memulaukan keluarganya. Puncanya hanya kerana dia dianggap oleh masyarakat kampung sebagai orang yang lebih mengutamakan kaum lain dari kaumnya sendiri.

Keadaan ini berlarutan hingga dia ke surau pun orang-orang akan mengelak dari berdiri sebelah sama saf dengan Ahmad Jalil. Lama-kelamaan Ahmad Jalil menjadi kecewa dan akhirnya berhenti dari mengurus ladang dan perniagaan Wang Chu kerana tidak rela melihat isteri dan anak-anaknya menjadi mangsa pemulauan orang kampung.

“Biarlah kita kembali susah, asal anak-anak kita tak menjadi buah mulut orang-orang yang busuk hati,” kata Ahmad Jalil pada isternya Wan Milah.

Wang Chu amat sedih kerana Ahmad Jalil yang rajin, ikhlas dan berdisiplin tidak mahu lagi bekerjasama dengannya. Namun Wang Chu tidak dapat menolak kehendak rakan kongsinya, dia tahu bahawa Ahmad Jalil seorang yang tegas dengan pendiriannya dan tidak akan melakukan sesuatu tanpa sebab penting.

Pasca Ahmad Jalil

Tak lama selepas itu Ahmad Jalil meninggal dunia. Ketika itu, semua anak-anaknya boleh dikatakan berjaya kecuali Erah yang pada masa itu baru berumur 12 tahun. Dia sahaja yang tidak sempat mendapat pembiayaan arwah ayahnya untuk bersekolah lebih tinggi. Selepas kematian suaminya, hidup Wan Milah sekeluarga tidak lagi menjadi buah mulut orang-orang kampung.

Tetapi kini, apa yang berlaku ke atas Erah seolah-olah ulang tayang terhadap keluarga Wan Milah dan suaminya dahulu. Wan Milah hairan mengapa orang-orang kampung sangat suka mencari hal dengan keluarganya. Kerana itu juga, anak-anak Wan Milah jarang pulang ke kampung, mereka sudah serik dengan perbuatan orang kampung ke atas ibu bapa dan keluarga mereka.

Anak-anak Wan Milah yang telah berjaya itu selalu sahaja mengajaknya dan Erah keluar dari kampung itu tetapi Wan Milah dan Erah enggan kerana di situlah dia dan suaminya membina keluarga, di situ jugalah jasad Ahmad Jalil bersemadi.

Wan Milah dan Erah tetap tidak mahu meninggalkan kampung itu. Akhirnya, anak-anak Wan Milah tidak sanggup lagi memujuk ibu dan adik mereka meninggalkan kampung Sungai Kelah.

Kini, hubungan Erah sudah menjadi buah mulut orang-orang kampung. Di manalah Wan Milah nak adukan masalah ini, kalau diceritakan kepada adik-beradik Erah, sudah tentu dia juga yang dipersalahkan kerana tidak mendengar nasihat mereka. Akhirnya Wan Milah pasrah.

Hanya dengan bernikah sahaja, semua cerita-cerita kotor ini akan berhenti. Namun, hati Wan Milah agak bimbang kerana dia tidak tahu keadaan dan kemampuan Jamian, bakal menantunya itu. Jamian sekadar pemandu lori getah, apakah Jamian mampu menyara Erah? Adakah Jamian sudah bersedia? Wan Milah sangat runsing.

Kemalangan

Sudah tiga hari Erah tidak pergi kerja kerana sibuk menjaga Jamian di hospital. Baru seminggu sahaja mereka gembira menyambut detik-detik manis sebagai pasangan yang baru ditunangkan, Jamian pula kemalangan jalan raya.

Dengan tidak semena-mena, lori yang dibawanya hilang kawalan lalu terbabas masuk ke dalam gaung. Hampir dua jam orang-orang kampung cuba mengeluarkannya dari celah lori yang remuk, mujur ada orang yang datang membantu, jika tidak mungkin nyawa Jamian dalam bahaya.

Majikan Erah, iaitu Wang Chu yang juga sahabat karib arwah bapanya dahulu, memberikan Erah cuti panjang untuk terus menjaga Jamian di hospital. Wan Milah juga tidak ketinggalan menemankan Jamian selama dia di hospital.

Hati dua beranak ini cukup sedih atas apa yang menimpa Jamian, Erah sendiri hampir meraung apabila doktor memberitahu yang paru-paru Jamian cedera dan sukar untuk kembali pulih seratus peratus. Dadanya terhentak kuat pada stering lori hingga menyebabkan tulang rusuknya patah dan mencederakan paru-parunya.

Termenung Wan Milah mengenangkan nasib bakal menantunya itu. Mujurlah dalam keadaan yang sulit ini, Wang San anak ketiga Wang Chu sudi membantu Erah berulang-alik dari pejabat, hospital dan rumah. Anak muda ini tidak bekerja dengan Wang Chu, sebaliknya dia bekerja sendiri dengan membuka bengkel memperbaiki bot-bot nelayan.

Hampir sebulan Jamian terlantar di hospital. Dalam pada Erah sibuk menjaga Jamian, Wang Chu begitu baik kepadanya hingga sanggup berjanji akan membantu apa saja hingga Jamian sembuh.

Bagi Wang Chu, Jamian juga bukan orang lain. Beliau mengenali Jamian sejak zaman arwah Ahmad Jalil lagi, arwahlah yang memperkenalkan Jamian kepadanya untuk diambil bekerja. Oleh sebab itu Wang Chu merasakan sangat bertanggungjawab kepada Jamian dan Erah, anak kepada bekas rakan kongsi dan sahabatnya yang paling baik. Dia tidak akan sekali-kali membiarkan anak-anak muda ini terabai.

“Anak awak macam anak saya juga.” itulah kata-kata Wang Chu ketika mententeramkan hati Wan Milah.

Nikah dan kenduri

Setelah hampir setahun Jamian keluar hospital, kedua pasangan ini akhirnya dinikahkan. Wan Milah menitiskan air mata kegembiraan, kini habis semua anaknya telah mendirikan rumahtangga.

Bagi Erah, hidupnya kini hanya untuk Jamian. Sungguh pun suaminya itu sekadar pemandu lori getah, hatinya tetap gembira kerana Jamian seorang lelaki yang sederhana dan jujur. Memang Jamian tidak sekaya dan semewah Azam Kundur, tetapi sekurang-kurangnya, suaminya itu hidup atas titik peluh sendiri.

Biarlah mereka berdua perlahan-lahan membina rumah tangga sedikit demi sedikit. Malah selepas sahaja berkahwin, Wang Chu telah menaikkan gaji mereka berdua. Bagi Erah, cukuplah itu semua sebagai hadiah paling besar yang pernah diterimanya.

Wang Chu telah bersusah payah membantu mereka sekeluarga, hinggakan majlis kenduri itu dua ekor lembu telah tumbang, semua itu ditanggung oleh majikannya Wang Chu. Pendek kata, Erah sudah tidak mahu apa-apa lagi dalam dunia ini. Mereka berdua hanya menunggu zuriat yang bakal menyambung keturunannya.

Hati Erah dan Jamian berbunga-bunga penuh kesyukuran. Paduan kasih kini semakin intim, nafas yang mereka sedut, langkah yang mereka hayun melambangkan kesatuan cinta yang akan kekal hingga langit itu runtuh.

Cerita-cerita busuk tentang mereka berdua kini lenyap seperti mana lenyapnya puting beliung yang melanda kampong Sungai Kelah. Keluarga Wan Milah kini sudah dapat hidup tenang, ayam-ayam yang dibela direban makin gemuk, pokok sireh, pokok jambu semakin subur apabila Wan Milah dapat lebih masa berkebun. Bukan lagi duduk lesu dan kecewa mengenang umpatan masyarakat kepada keluarganya.

Namun langit tidak selalunya cerah. – Roketkini.com

BERSAMBUNG…