Berita

Perkasa hina kaum India

BATU GAJAH, 19 DIS – Pertubuhan perkauman Perkasa telah menghina kaum India dengan menuduh masyarakat itu sebagai golongan minoriti yang besar kepala dan mempertahankan kandungan perkauman novel cereka Interlok sebagai “fakta”.

Timbalan Pengerusi DAP Perak V. Sivakumar berkata, ulasan Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Ali terhadap keputusan kerajaan menarik balik novel Interlok sebagai teks sastera di sekolah menunjukkan sikap perkauman yang tebal di mana kerajaan dituduhnya lemah kerana gagal mempertahankan tekanan daripada  golongan minoriti yang besar kepala.

Syed Hassan juga dilaporkan berkata bahawa keputusan kerajaan adalah “…sangat biadap. Kerana undi kaum India, maruah penulis Melayu terhina”.

Menurut Sivakumar yang juga Adun Tronoh, Perkasa juga menganggap apa yang tertera dalam novel tersebut  adalah “fakta”.

“Apa maksudnya dengan perkataan ‘fakta’ ini? Perkasa cuba mengukuhkan kenyataan-kenyataan  novel Interlok itu sebagai satu kebenaran  yang tidak boleh dinafikan.

“Dalam kata lain, Perkasa menyokong  Interlok dan menghina kaum India sebagai pariah. Apakah tindakan yang akan diambil oleh kerajaan terhadap Perkasa yang terang-terang menghina kaum India di negara ini sebagai pariah dengan mengatakan  itu  adalah fakta.

“Bukankah ini satu kenyataan yang boleh mewujudkan perpecahan yang  mengancam perpaduan negara,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.

Beliau mempersoalkan sikap para pemimpin MIC di mana dalam isu sindiran kata-kata “black metallic” di Perak, puak-puak MIC melompat-lompat untuk membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming walau pun telah dijelaskan bahawa beliau langsung tidak menghina kaum India dalam ucapannya.

“Apakah pula  gelagat puak MIC ini  dalam adegan baru  Perkasa yang jelas menghina kaum India?  Rakyat seluruh negara sedang memerhatikan bagaimana MIC akan  bertindak dalam hal ini,” ujarnya.

Menurut Sivakumar, kerajaan Barisan Nasional yang risau dengan novel Interlok itu akan menjadi isu hangat dalam kempen pilihan raya akan datang terpaksa menarik balik kerana ia adalah tuntutan masyarakat yang tidak mahu perkauman menjadi isu politik.

“Walau apa pun niat kerajaan, ini merupakan satu kejayaan kepada pihak rakyat secara keseluruhannya,” tambah beliau. – Roketkini.com