Berita

Zahid Hamidi bohong lagi

PETALING JAYA, 3 JAN – Apabila gagal mempertahankan diri setelah melakukan kesalahan atau kesilapan, sudah menjadi resmi pimpinan UMNO dan Barisan Nasional mengalih pandangan dengan membuat tuduhan liar terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat.

Dalam isu terbaru, Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seakan kering akal apabila menuduh Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua sebagai ‘alat’ negara luar.

Justeru, Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mencabar Zahid supaya menunjukkan bukti kukuh dan mendakwanya di mahkamah sekiranya benar beliau (Pua) adalah ‘alat’ kepada seorang profesor luar negara.

“Jika Menteri itu gagal membekalkan bukti kukuh, maka beliau sepatutnya menarik balik kata-katanya dan membuat perakuan minta maaf kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pua yang telah mendapat transkrip komen Zahid kepada sebuah akhbar berbahasa Cina pada 1 Januari lalu mendedahkan apa yang dikatakan oleh menteri tersebut:

“Saya fikir Tony Pua ni adalah seorang yang menjadi alat saja seorang bekas profesor yang telah menjadi profesor di universiti di luar negara, dan negara itu memang menjadi dalang kepada sebuah parti di negara ini.

“Saya fikir asal politik di Malaysia biar dibentuk oleh ahli-ahli politik Malaysia. Jangan pernah menjadi dalang daripada mana-mana negara . Saya tidak menuduh tapi saya ada dokumen-dokumen dan bukti-bukti untuk mengesahkan apa yang saya katakan ini.”

Menurut Pua, ini adalah kali kedua Zahid menuduhnya ejen asing kerana fitnah yang sama oleh menteri itu pernah dilaporkan oleh lidah rasmi UMNO, Utusan Malaysia, pada Mac 2011, di mana Zahid dilaporkan berkata:

“Dia (Tony Pua) dulu ditangkap di Singapura, dibawa ke mahkamah, tetapi sebab hubungan dia mungkin baik dengan pejabat tertentu di sana, beliau dilepaskan (dan) tidak dapat jadi ahli Parlimen (di sana).”

Menafikan fitnah itu, Pua berkata Zahid merelakan dirinya ‘disuapkan’ dengan cerita-cerita palsu dari ‘tukang karut’ merangkap ketua pegawai perisikan dan blogger pencacai UMNO, iaitu  Papagomo.

“Papagomo itu jugalah yang memfitnah anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang yang masih bersekolah kononnya telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan di sekolahnya.

“Sangat memalukan apabila seorang Menteri Pertahanan bergantung harap kepada informasi dan perisikan dari seorang blogger pencacai yang jelas adalah seorang penipu yang tidak punya moral mahu pun etika,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, tuduhan dan fitnah itu tidak lain hanya bertujuan untuk menutup pekung Kementerian Pertahanan kerana keborosan dan ketirisan dalam pembelian peralatan senjata.

Pua menjelaskan, melalui Laporan Ketelusan Bajet Pertahanan oleh Transparency International menunjukkan Malaysia berada pada tahap 4.5 daripada markah maksimum 12.

“Malaysia berada setaraf dengan Afghanistan, Rwanda dan Azerbaijan di dalam laporan itu, jauh ketinggalan berbanding Bangladesh, Indonesia dan Papua New Guinea,” katanya. – Roketkini.com