Berita

Pilihan raya tempatan: P. Pinang mahu ketepi Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan

GEORGE TOWN, 13 JAN:  Setelah pihak Kerajaan Persekutuan menolak pelbagai usaha Pakatan Rakyat sejak 2009, kerajaan negeri Pulau Pinang kini bertekad untuk mengetepikan Seksyen 15 Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pilihan raya tempatan diadakan.

Seksyen 15 (1) akta tersebut menyatakan: “Walau apapun yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, semua peruntukan berhubungan dengan pilihanraya kerajaan tempatan hendaklah terhenti berkuat kuasa atau mempunyai kesan”.

Ini bermakna Seksyen 15 itu membatalkan semua pilihan raya majlis tempatan.

Justeru, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, beliau akan mencadangkan kepada majlis exco kerajaan negeri supaya mengarahkan Penasihat Undang-Undang Negeri untuk mengeluarkan gazet bagi mengecualikan majlis-majlis tempatan di Pulau Pinang daripada peruntukan Seksyen 15 akta tersebut.

Katanya, kerajaan negeri dalam satu mesyuarat bersama dengan beberapa ahli exco negeri dan peguam Tommy Thomas di sini semalam telah bersetuju dengan cadangan  mengeluarkan gazet itu.

Menurutnya, gazet tersebut akan dijadikan asas bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah untuk mewajibkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya tempatan.

“Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang sudah lama memperjuangkan pilihan raya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT), dan kita telah mengambil banyak langkah ke arah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak sebelum Merdeka, pilihan raya tempatan telah diadakan tetapi kerajaan Perikatan telah menggantung amalan demokrasi tempatan itu atas alasan berlakunya konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1965.

Kerajaan Barisan Nasional pada 1976 meluluskan Akta Kerajaan Tempatan yang hanya membenarkan perlantikan presiden dan ahli majlis melalui Seksyen 10 Akta tersebut, dan ia terpaksa digunakan oleh semua negeri, termasuk Pulau Pinang.

Atas sebab itulah sehingga hari ini semua PBT termasuk Ahli Majlis dan Presiden dilantik oleh kerajaan negeri, dan tidak dipilih oleh rakyat tempatan.

Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada Mac 2008, kerajaan negeri Pakatan Pulau Pinang telah melakukan pelbagai usaha untuk mengembalikan hak rakyat melalui pilihan raya di peringkat PBT:

* Pada 11 Ogos 2009, kerajaan negeri Pulau Pinang meluluskan usul dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) menuntut Kerajaan Persekutuan menghidupkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan;

* Kerajaan negeri mendapatkan khidmat panel peguam Tommy Thomas, Yeo Yang Poh dan Malik Imtiaz untuk memberi nasihat tentang hak dan kuasa kerajaan negeri mengadakan pilihan raya tempatan;

* Kerajaan negeri menghantar sepucuk surat kepada Majlis Kebangsaan Pihak Berkuasa Tempatan di bawah Artikel 95A Perlembagaan Persekutuan pada 13 Julai 2009 untuk membincangkan isu pilihan raya tempatan dalam Majlis tetapi cadangan itu telah ditolak; dan

* Berdasarkan nasihat panel peguam, Guan Eng selaku Ketua Menteri menulis surat kepada SPR pada 4 Mac 2010 meminta suruhanjaya itu mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan; ini adalah kerana di bawah Perkara 113 (4) Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa Undang-undang Persekutuan atau Negeri boleh memberi kuasa SPR untuk menjalankan pilihan raya selain daripada yang disebut dalam Fasal (1).

Bagaimana pun, menurut Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, surat balas oleh SPR yang 23 Mac 2010 kepada kerajaan negeri Pulau Pinang adalah mengecewakan kerana ia menolak permintaan kerajaan negeri Pulau Pinang untuk memulihkan pilihan raya tempatan.

“Kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mempunyai pilihan kecuali memulakan prosiding undang-undang untuk menuntut SPR mematuhi arahan kerajaan negeri untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan,” ujar beliau. – Roketkini.com