Berita

Komitmen rakyat, kerajaan untuk negeri mampu tingkatkan taraf hidup

Gambar ehsan http://www.facebook.com/cmlimguaneng

GEORGE TOWN, 21 JAN: Kemakmuran, kesejahteraan dan kebaikan yang dinikmati oleh anak negeri Pulau Pinang sekarang terus dijamin jika rakyat bersama kerajaan komited untuk mengutamakan negeri, dan bukannya kepentingan peribadi.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata untuk memastikan perkhidmatan awam yang bermutu, kerajaan negeri Pakatan akan meningkatkan urus tadbir cekap, akauntabel dan telus (CAT).

“Tidak ada ruang untuk gagal berprestasi, melewatkan kerja, menendang masalah dari satu jabatan ke jabatan yang lain seperti bola dan melakukan korupsi,” katanya dalam mesej Tahun Baru Cina di sini hari ini.

Menurutnya kerajaan Pakatan Pulau Pinang juga telah menyediakan dana rumah mampu milik RM500 juta untuk memenuhi keperluan masyarakat berpendapatan rendah.

Katanya kerajaan negeri juga telah menggariskan pelan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk projek infrastruktur jalan raya bernilai RM8 bilion bagi mengatasi kesesakan lalulintas yang semakin meningkat kerana bertambahnya pelancong dan pelabur.

“Mengutamakan Pulau Pinang – dengan dana rumah mampu milik RM500 juta, projek jalan raya RM8 bilion dan usaha transformasi perkhidmatan awam negeri yang bersifat CAT – akan menjadikan pulau mutiara ini bersih, hijau dan selamat,” ujarnya.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata kepercayaan masyarakat Cina telah meletakkan tahun baru naga sebagai harapan untuk terus menjayakan Pulau Pinang sejak pentadbiran Pakatan mengambil alih pada 2008.

Menurutnya segala usaha penambahbaikan bukan sahaja dalam soal memakmurkan negeri dan meningkatkan taraf hidup di segi ekonomi tetapi juga bagi kehidupan yang lebih bermakna melalui amalan kebebasan, kedaulatan undang-undang dan demokrasi.

“Menghormati maruah dan harga diri untuk bersuara bebas dan menerima perbezaan antara kita dapat merapatkan keamanan dan keharmonian,” tambah beliau. – Roketkini.com