Berita

Benarkah khidmat kesihatan 1CARE untungkan rakyat?

PETALING JAYA, 3 FEB: Sebuah gabungan yang terdiri daripada pengamal perubatan dan pemimpin gerakan pengguna mendesak kerajaan untuk mengkaji semula pelan transformasi perubatan/kesihatan 1Care untuk 1Malaysia.

Menurut jurucakap Pakatan Kesihatan Rakyat, Dr. T. Jayabalan, rancangan tersebut bukan sahaja tidak menjelaskan kepincangan dan masalah yang sedia ada, malah ia bukan tawaran yang baik untuk pengguna.

Katanya, walau pun pihaknya mengiktiraf keadaan semasa tidak bebas daripada masalah, cadangan 1Care sememangnya tidak boleh diguna pakai.

Beliau menjelaskan, 1Care mewakili sistem yang berbeza daripada yang ada sekarang yang menggunakan sistem ‘bayar-selepas-guna’ yang berdasarkan rekod yang kukuh sektor yang ditunjangi kesihatan awam dan disokong pula pilihan perubatan swasta kepada mereka yang lebih berkemampuan.

Sedangkan, jelas beliau lagi, di bawah 1Care, setiap warga negara akan dieknakan potongan  10 peratus daripada gaji mereka untuk sebuah skim  insurans kesihatan sosial yang hanya akan merangkumi kos perubatan yang asas. Semua klinik dan hospital akan dipaksa untuk disatukan di bawah payung 1Care.

Menurut Presiden Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr Steven Chow, cadangan 1Care tidak langsung menjawab kepada teras-teras permasalahan yang sedia ada.

Tambahan pula, alasan kerajaan untuk mempertahankan 1Care masih tidak dibuktikan atau didokong oleh fakta, data mahu pun kajian yang menyeluruh.

“Setiap warga negara mempunyai satu tanggungjawab untuk mengetahui tentang perubahan-perubahan yang dirancang kerana ini bakal melibatkan segenap aspek kesihatan/perubatan di negara ini dan masa depan anak-anak kita,” katanya. – Roketkini.com