Berita

DAP dedah dokumen NFC, bukti pengurusan langgar syarat pinjaman

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Kenyataan pihak eksekutif dan pengarah National Feedlot Corporation (NFCorp) kononnya mereka bebas menggunakan wang pinjaman RM250 juta dari kerajaan Malaysia untuk apa sahaja tujuan adalah tidak benar, malah melanggar syarat pinjaman itu.

Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, apa yang dilakukan oleh pihak NFC selama ini, termasuk membeli kondo mewah dan urusan-urusan lain yang tidak berkaitan, adalah bertentangan dengan syarat-syarat pinjaman tersebut.

Katanya, Klausa 3 perjanjian tersebut menyebut secara jelas bahawa pinjaman daripada kerajaan persekutuan itu adalah bertujuan untuk membiaya projek seperti yang termaktub di dalam Jadual Pertama dokumen pinjaman.

Jadual Pertama menyebut bahawa pinjaman tersebut mestilah digunakan sejajar dengan dasar-dasar Kerajaan Malaysia untuk memperkembang, mempromosi serta menternak lembu dan produk daging lembu melalui Pusat Fidlot Nasional, sebagai sebuah pusat fidlot komersial.

“Justeru dana pinjaman mudah tersebut mestilah digunakan hanya untuk tujuan menubuhkan pusat fidlot tersebut sahaja, dan bukan untuk tujuan lain,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dokumen perjanjian setebal 34 muka surat yang ditandatangani pada 6 Disember 2007 itu didedahkan kepada media bagi menekan pihak-pihak bertanggungjawab untuk memberi penjelasan  kepada suatu perjanjian, yang menurut Pua, “perjanjian pinjaman terburuk” yang pernah dilihatnya.

Perjanjian tersebut ditandatangani Pengerusi NFC Datuk Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Shahinur Izran, yang juga Pengarah Syarikat NFC. Kedua-duanya adalah masing-masing suami dan anak kepada Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara turut menuntut jawapan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dalam soal syarat di mana peminjam mesti memberi laporan perkembangan yang disahkan oleh pihak-pihak yang tersenarai di dalam dokumen tersebut.

“Perjanjian itu juga menuntut supaya NFCorp memajukan penyata bank bulanan kepada Kementerian Kewangan setiap empat tiga bulan sekali, dengan menyatakan bagaimana dana tersebut digunakan,” tambah beliau.

Beliau juga mempersoalkan kenapa pihak kementerian tidak membekukan pinjaman, memandangkan NFCorp seharusnya membayar semula pinjaman tersebut selepas tempoh tiga tahun.

“Sekarang sudah Februari 2012. Apa yang kita tahu ialah mereka (NFCorp) belum membayar satu sen pun. Kita sudah jauh melepasi tempoh tiga tahun.

“Kenapa mereka belum bayar? Kenapa kementerian tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kelewatan bayaran?” soal beliau. – Roketkini.com