Rencana

Betty seorang isteri, ibu, ahli politik, pemimpin masyarakat… – Oleh Adil Mat Selamat

Sempena Hari Wanita Antarabangsa hari ini, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam telah menunjukkan rasa “hormat” kepada wanita dengan memperlekehkan isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Betty Chew sebagai gagal menjalankan tugasnya sebagai wakil rakyat.

Mungkin Ali sebagai pemimpin “macho” tidak sedar Betty selaku Adun Kota Laksamana seperti tokoh-tokoh wanita lain seperti Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail telah mengharungi gelombang cabaran yang bukan kecil berbanding isteri-isteri pemimpin utama negara kita.

Masing-masing ada dugaan dan cubaan hidup masing-masing. Memang ayat ‘di belakang lelaki yang berjaya ada seorang wanita’ membenarkan realiti ini.

Betty Chew pada mulanya adalah isteri kepada seorang pejuang rakyat. Kemudia beliau menjadi seorang ibu kepada anak-anak mereka. Hidup mereka riang gembira walau menghadapi dugaan dan cabaran yang hebat.

Tetapi pemenjaraan suaminya oleh regim politik UMNO-Barisan Nasional meletakan kedudukan Betty sebagai seorang wanita yang tidak punya pilihan lain kecuali mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh si suami ketika tempoh pemenjaraan itu.

Perjuangan politik untuk rakyat perlu diteruskan, sungguh pun semasa pemenjeraan si suami, punca pendapatan telah hilang, menyebabkan anak-anak turut merasa tertekan. Namun, semua itu dilalui tanpa banyak keluhan.

Kecekalan seorang wanita

Betty Chew telah menjadi Adun Kota Laksamana di Melaka. Dalam pada itu, beliau terus melaksanakan tanggungjawabnya sebagai ibu, wakil rakyat dan juga isteri kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Betty asalnya seorang wartawan yang pernah mendapat pengalaman kerja di salah sebuah akhbar berbahasa Melayu. Pengalaman sebagai seorang penulis profesional, memahami budaya Melayu dan terdidik dengan politik menjadikan beliau ‘bidan terjun’ yang memang berkebolehan untuk menjadi ‘super sub’ sesebuah pasukan.

Hari ini, tugas beliau bukan sekadar rutin biasa, sebaliknya beliau perlu sentiasa ada di samping anak-anak yang semakin membesar dan suami yang memikul tugas berat, iatu mengemudi sebuh negeri dan rakyat yang banyak.

Serangan kotor parti pemerintah

Apatah lagi, sejak kebelakangan ini, serangan fitnah terhadap anak dan keluarganya semakin hari semakin menjadi-jadi. Fitnah jijik yang dilakukan oleh UMNO terhadap anaknya yang baru saja mahu mengenal alam remaja membuatkan masa beliau disedut untuk menjadi seorang ibu daripada seorang ahli politik.

Sekuat mana pun hati seorang ibu, sehebat atau sesibuk mana pun dia, seorang ibu pasti akan merasa bimbang dengan ancaman-ancaman politik kotor terhadap suami dan keluarganya. Atas situasi inilah maka dilihat betapa kejamnya para pecacai UMNO yang mengancam keselamatan dan kesejahteraan keluarga insan yang tidak berdosa.

Sama ada Betty mahu meneruskan perjuangannya melalui politik atau menumpukan kepada keluarga, keputusannya harus dihormati sebagai suatu keputusan kemanusiaan – moral.

Tuduhan dan kecaman Ali Rustam yang terkenal dengan mulut celuparnya hanya memperjelaskan lagi cerminan para pemimpin UMNO yang semakin hilang rasa hormat terhadap rakyat.

Ali Rustam tak tahu hormat wanita?

Manusia seperti Ali Rustam, jika masih ada hati dan jiwa sebagai seorang Melayu yang bersopan dan berakhlak, tidak perlu memperlekeh seorang wanita, ibu dan isteri yang memilih untuk membantu dan menjaga kepentingan masa depan keluarganya; semata-mata kerana mendengar ura-ura Betty mungkin tidak bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Apakah Ali jenis manusia yang tidak mahu isterinya mementingkan suami dan keluarga? Janganlah berpura-pura dengan rakyat, dan jangan lupa bahawa kejayaan Ali Rustam itu turut disumbangkan oleh isterinya.

Cuma di sini bezanya, Ali Rustam tidak pernah dipenjarakan seperti mana Anwar dan Guan Eng kerana prisnip dan perjuangannya. Kerana itulah manusia UMNO seperti Ali Rustam tidak faham di antara keputusan moral dan keputusan politik. – Roketkini.com