Budaya

Erah – Bahagian 7 – Oleh Mazir Ibrahim

Cerpen

Sekembalinya dia dari Singapura, Wang San disambut dengan gembira oleh ayahnya Wang Chu. Ayahnya sangat berharap agar Wang San dapat membantu meringankan beban kerja yang semakin bertambah sejak ketiadaan Ahmad Jalil dan Jamian.

Kegembiraan Wang Chu ini disambut dengan rasa terkejut oleh Wang San apabila mengetahui berita kematian Jamian, ingatannya terus menerpa kepada Erah. Hatinya terus dapat menangkap betapa kerisauan dan kesedihan Erah atas musibah yang sedang dilaluinya ini. Hati seorang lelaki seperti Wang San yang baru pulang dari rantau, cukup mudah tersentuh dengan keadaan ini.

Perasaan sedih ini tidak dapat tidak, telah mengundang rasa riang kerana cinta sunyi dia selama ini pada Erah, bagai bertaut kembali. Ini pastinya akan membakar semangat Wang San untuk bekerja kuat dan membantu Erah dan anaknya.

Namun, perasaan ini harus disimpan baik-baik agar tidak diketahui oleh bapanya Wang Chu. Dia tidak mahu keadaan ini mengundang rasa sangsi dari sesiapa. Manalah tahu jika kepulangan dia ini dianggap sebagai mengambil peluang di atas kehilangan seseorang. Pasti buruk nama dia dan keluarganya.

Besarkan bengkel bot

“San, nanti awak tolong jaga ladang kita, saya sudah penat menjaganya,” kata Wang Chu pada anaknya di suatu pagi.

“Boleh,  pa. Tapi saya mahu besarkan bengkel bot saya, mungkin Sooh boleh jaga ladang,” Wang San menjawab pujukan Wang Chu dengan lembut. Dia tidak begitu berminat dengan ladang, memang sejak kecil dia lebih berminat dengan laut. Wang Sooh, kakaknya yang sulung lebih lama membantu bapanya dalam urusan ladang getah. Jadi pastinya Sooh lebih tahu selok-belok perniagaan ladang.

Malah dia memang berniat mahu berbincang tentang rancangan mahu membesarkan lagi bengkel membaiki bot di Kampung Sungai Kelah. Sudah lama dia tinggalkan bengkel botnya, ramai yang mengeluh kerana nelayan sungai Kelah terpaksa ke jeti Lambung, kedudukannya agak jauh dari pengkalan sungai Kelah, bengkel Wang San.

Ayahnya tidak tahu semasa dia di Singapura, dia telah bekerja di pelabuhan Singapura berdekatan dengan pulau Sentosa. Pada mulanya dia bekerja sebagai buruh kasar di pelabuhan, tetapi selepas itu dia berjinak-jinak dengan perniagaan bot bersama dengan beberapa usahawan tempatan.

Dari situ dia berkongsi modal dengan mengambil pelancung ke Pulau Sentosa. Dari situlah dia meningkatkan lagi kemahirannya dalam selok-belok menjaga dan membaiki bot. Malah wang simpanannya juga sudah mencukupi untuk dia membesarkan bengkel botnya itu.

Laut bergelora

Oktober 1974, musim tengkujuh kembali lagi. Masa ini memang banyak bot nelayan berlabuh di pangkalan Sungai Kelah. Bengkel Wang San penuh hingga tidak menang tangan untuk membaiki bot yang dihantar.

Ada yang bermasalah dengan kipas motor, kemudi dan lebih banyak lagi yang mengalami kebocoran dinding-dinding bot. Damar yang dikutip oleh Jamsari bersama rakan-rakannya itu dijual kepada Wang San, damar ini gunanya untuk menampal dinding bot yang bocor.

Dalam diam, Wang San telah membantu Erah dengan mengupah Jamsari yang sudah berusia dua belas tahun itu meranduk ke hutan mencari damar di Bukit Puteri. Sungguh pun hatinya tidak gemar dengan kerja yang dibuat oleh Jamsari, tetapi apakan daya, dia mahu membantu Erah dan anaknya itu tanpa diketahui oleh sesiapa.

Mahu tidak mahu, hanya jalan ini saja yang mampu dilakukan demi meringankan beban dua beranak itu. Erah dan Jamsari tidak sedar, malah Wang San sendiri mengingatkan Jamsari agar tidak memberitahu ibunya yang dia pergi mencari damar dan menjualnya kepada Wang San. Dia bimbang tindakan ini akan membuatkan Erah salah faham baik kepadanya dan juga Jamsari.

Tenggelam

Suatu petang, sedang Wang San berbual melayan Jamsari yang singgah menjual damar, cuaca tiba-tiba bertukar mendung. Angin bertiup garang tanda membawa hujan yang berat. Cepat-cepat Wang San menyuruh pekerjanya menutup bengkel dan bot yang masih dibaiki. Bimbang bocor yang ditampal tidak sempat kering. Jamsari juga turut membantu pekerja-pekerja Wang San.

Wang San terasa benar kelainan ribut yang datang ini, anginnya membadai hingga bot-bot yang diikat berlaga kuat sesama sendiri.

Tiba-tiba hatinya teringat sebuah bot yang masih belum ditambat kemas. Kedudukannya agak jauh di hujung jeti. Hatinya bimbang kalau-kalau bot itu hanyut dipukul ombak. Angin dan hujan semakin menderu kuat. Dalam tak semena-mena, sebuah kotak ikan melayang dari sebuh bot jatuh betul-betul ditepi bengkelnya.

“Jam!” Wang San menjerit melihat kotak itu hampir mengenai Jamsari yang berlindung ditepi bengkelnya. “Sini..sini..jangan duduk sana.”

Terkedek-kedek budak ini berlari ke arahnya. Budak-budak mekanik yang lain sudah berlindung di dalam bengkel awal-awal lagi.

“Jam, awak duduk sini, saya mahu pergi jeti, ” Wang San memesan Jamsari yang hanya mengangguk tanda faham.

Dalam samar-samar pandangan mata, kelihatan dari sudut mata Jamsari Wang San terjun ke laut untuk memaut tali bot yang sudah terlepas dari ikatan. Bunyi angin menderu bising membuatkan keadaan seakan membisu suara jeritan Wang San yang tenggelam dalam ribut.

Ombak kuat membanting bot yang terlepas itu, hanya beberapa ketika sahaja kelihatan bot semakin jauh dari jeti dan mula menyeget ke kiri tanda akan tenggelam. Wang San tenggelam timbul melawan ombak.

Akhirnya Wang San berpatah balik dan berjaya merapatkan dirinya ke tunggul kayu dijeti. Dia naik semula dan berlari ke bengkel. Samapi di bengkel, kelihatan Wang San menggigil kesejukan.

“Jam, awak tolong ikat ini tali tepi jeti ya, saya mahu berenang ke bot,” arah Wang San kepada Jamsari. Keadaan agak kelam kabut dengan angin bertiup kencang menerbangkan segala peralatan dibengkel.

“Pak cik San, biar saya berenang, saya ringan,” Jamsari bersuara seperti menjerit kerana bunyi bising angin terlalu kuat.

“ Apa?” Wang San bertanya kembali.

“Biar saya…” Jamsari menunjukan isyarat tangan biar dirinya yang terjun dan berenang mendapatkan bot yang terlepas ikatan tali itu.

“Lu gila! Jangan!” Wang San membantah. “Awak pandai berenang pun susah, ini angin ombak kuat, nanti tenggelam. Duduk diam-diam.”

“Saya ringan..” jawab jamsari cuba meyakinkan Wang San lagi. Budak berumur dua belas tahun ini cukup berani, malah Jamsari sememangnya mahir berenang, baik di sungai mahu pun di laut. Tetapi aktiviti ini tidak diketahui oleh ibunya Erah, jika tahu pastilah Jamsari tidak dibenarkan lagi memancing bersama rakan-rakannya.

Azam Kundur mengamuk

Keesokannya suasana kembali tenang dan hening. Angin lebih mesra menyapu kulit dan rambut. Burung camar kembali keluar dan terbang menghiasi dada langit yang telah cerah. Air laut tidak lagi berkedut seperti semalam.

Sambil pekerja-pekerja Wang San sibuk mencuci dan mengemas bengkel yang berselerak dipukul ribut, Wang San bersama Jamsari berdiri dan termenung di kaki jeti mengadap ke laut yang kosong.

Bot yang hanyut semalam telah tenggelam di muara pantai, kedudukannya agak jauh dari jeti. Entah berapa ribu ringgitkah kerugian yang harus dibayar kepada pemilik bot. Malah dia bimbang kerana bot itu milik Haji Kundur yang juga pesaing getah kepada ayahnya.

Pasti keadaan ini mengundang padah kepada dirinya. Sudah tentu dia dituduh sengaja menyebabkan bot Haji Kundur tenggelam kerana nak mensabotaj pesaing niaga ayahnya. Hatinya serba salah, risau dan kecewa.

“Jam, awak baliklah, nanti mak awak cari,” perlahan suara Wang San kepada Jamsari.

“Tak maulah Pak cik San, rumah tak ada kerja,” pendek jawapan Jamsari. Budak kecil ini seakan faham kerisauan hati Wang San. Mereka berjalan beriringan di tepi jeti untuk kembali ke bengkel.

Seperti telah diduga, menjelang jam 11 pagi, Azam Kundur dan beberapa orang kawannya telah datang ke bengkel Wang San.

“San, nelayan-nelayan cakap, bot bapak aku tenggelam, cuba kau cerita,” bergetar nada suara Azam bertanya pada Wang San. Wang San mengelap-ngelap tanganya. Hatinya agak gementar untuk menerangkan tentang apa yang telah terjadi. Dia tahu, keadaan ini berpunca dari kecuaiannya. Dan dia harus mengakui dan berunding dengan Azam. Cuma cerita-cerita orang kampung tentang sikap Azam ini, membuatkan hatinya risau.

Azam memang terkenal dengan lagaknya yang sombong apabila berurusan dengan sesiapa. Dia mudah mengambil kesempatan di atas kesilapan dan kelemahan orang lain. Malah kata-katanya sahaja selalu menghina pesaing atau orang yang berhutang dengan beliau.

“Ya, tenggelam tepi muara. Saya sudah ikat tapi putus, angin ombak kuat sangat,” tenang suara Wang San mula menerangkan keadaannya.

“Sudah berapa tahun lu buka bengkel? Berapa kali sudah ikat bot? Orang lain ikat tak putus, lu ikat boleh putus, apa macam?” Soal Azam dengan nada keras.

“Saya tau, tapi apa boleh buat, sudah mau putus, saya cuba juga tarik tali bot, tapi ombak kuat sangat. Saya tau saya salah. Saya bayar ganti rugi ayah awak punya bot, tapi saya minta awak beri ringan sikit,” Wang San cuba berunding.

Dilihatnya mata Azam menjegilnya.

“Apa ringan, ringan? Lu bayar balik itu harga bot, wa tak peduli, wa bagi lu satu minggu, kalau lu tak bayar itu bot, lu punya bengkel wa kasi hangus,” keras sekali amaran Azam kepada Wang San. “Lu mesti bayar lapan ribu, minggu depan wa datang angkat itu wang, kalau tak ada lu siap.”

Ilham baru

Termenung Wang San dan pekerjanya mendengar permintaan Azam Kundur. Tak mungkin dia dapat mencari wang lapan dalam masa seminggu. Ini bukanlah berunding namanya, ini juga bukan amaran kepadanya, sebaliknya ini adalah hukuman.

Memang dia tidak dapat mengelak dari Azam Kundur. Hatinya runsing, fikirannya beku memikirkan permintaan Azam Kundur itu. Hari itu bengkelnya ditutup. Wang San tidak dapat menumpukan fikirannya untuk bekerja. Disuruh pekerjanya pulang ke rumah dan  bercuti.

Dia merasakan dirinya sudah jatuh ditimpa tangga. Rasa kesal, marah dan kecewa menyelubungi hati. Fikirannya tak keruan, jika bengkelnya hangus, bererti dia akan kehilangan punca pendapatan, malah Jamsari juga tidak akan dapat dibantunya.

Dalam termenung inilah dia mendapat satu ilham, dia mahu berjumpa dengan Erah. – Roketkini.com