Berita

MRT: Cadangan alternatif diberikan tapi pemaju, kerajaan BN terus tutup telinga

KUALA LUMPUR, 22 MAC – Cadangan alternatif untuk projek MRT di tengah-tengah ibu kota sudah dikemukakan tetapi pihak pemaju dan kerajaan Barisan Nasional terus tutup telinga, enggan mendengar bantahan rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun mencadangkan supaya laluan MRT di antara stesen Pasar Seni dan Warisan Merdeka di Bukit Bintang Sentral diubah dan dialihkan ke jajaran baru bagi membawa kebaikan untuk semua pihak.

Katanya, jajaran itu hendaklah diubah dengan melalui Jalan Tan Cheng Lock dari Pasar Seni ke Plaza Rakyat kerana di situ terdapat integrasi sistem rel dan pengangkutan awam yang lain.

“Secara tak langsung langkah pengambilan tanah di Jalan Sultan akan terbatal dan tidak perlu membayar ganti rugi dan juga dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas di Jalan Hang Tuah dan Hang Jebat yang berlaku setiap hari.

“Projek Plaza Rakyat yang terbengkalai juga dapat dihidupkan semula dan kos pembinaan MRT juga akan lebih murah,” katanya.

Beliau yang juga Bendahari DAP kesal dengan sikap pemaju dan kerajaan BN yang tidak endahkan bantahan penduduk dan peniaga kawasan Jalan Sultan dan Jalan Petaling di sini yang bimbangkan kemusnahan bangunan warisan berusia 100 tahun serta kesesakan lalu lintas yang teruk.

“Bolehkah kerajaan memberi jaminan bahawa bangunan warisan ini tidak akan runtuh dan kekal seperti asal?

“Saya amat kecewa dengan CEO MRT yang tidak ambil endah langsung bantahan para pemilik sehingga kini, malah tiada kajian impak sosial dilangsung dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, sebelum projek itu dilaksanakan, satu kajian tapak harus dilaksanakan seperti kesan gangguan bising, alam sekitar, kesesakan lalu lintas, gangguan perniagaan dan lain-lain.

Menurutnya, walau pun pihak MRT Co memberi jaminan bahawa pengambilan tanah tidak akan dilakukan, para pemilik mengadu bahawa ada pihak datang kepada mereka untuk memberi notis dan menawarkan mengemukakan pampasan serta laporan penilaian bangunan.

Katanya, perbuatan itu perlu dihentikan serta-merta dan pihak yang terlibat perlu menghormati hak pemilik tanah dan bangunan. – Roketkini.com