Budaya

Kembara seniman jalanan – Oleh Muhd Nazreen

Penghibur jalanan bukanlah peminta sedekah. Di antara mereka ada pemuzik yang senang bermain muzik di laluan orang ramai, dan ada pula ‘orang batu’ yang membuat persembahan seperti patung berjam-jam.

Sehinggalah pegawai dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat menangkap mereka kerana didakwa meminta sedekah di kawasan tumpuan ramai seperti di Bukit Bintang di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Di negara lain, mereka ini dianggap artis yang mampu menarik pelancong-pelancong. Mungkin menteri-menteri dan keluarga mereka yang bercuti di luar negara pernah mengalbumkan kenang-kenangan mereka dengan bergambar bersama artis-artis jalanan ini. Mereka membayar dengan harga yang ditetapkan tanpa merungut.

Mangsa salah sangka

Meor (atau nama sebenarnya Meor Yusof Aziddin) pernah merempat dengan hidup dalam menyara hidup keluarganya. Beliau mencari sesuap nasi dengan bermain gitar di tepian lorong Pasar Seni (yang kini dipanggil Pasar Budaya sungguh pun stesen LRT berdekatan menggunakan nama stesen Pasar Seni) dan Jalan Alor (kini ditukar kepada Jalan Kejora tetapi orang masih memanggilnya Jalan Alor).

Beliau pernah dihumban ke dalam lokap kerana dituduh penagih dadah sedangkan dia hanya menyanyi dan bermain gitar di tepi jalan. Peristiwa tangkapan beliau berlaku ketika operasi pemutihan menjurus kepada Sidang Kemuncak Asean 2004 yang lalu.

Dalam bukunya Sembang Tepi Jalan [di halaman 150, berjudul Hijrah (Ipoh & lokap)], Meor memberitahu bahawa beliau pernah ditahan sebanyak tiga kali. Setiap kali, tangkapan dibuat ketika beliau bermain muzik dan setiap kali ditahan, beliau dikehendaki menjalani ujian air kencing. Dan setiap kali ujian, beliau didapati negatif dadah.

“Syurga yang hilang”

Bercakap mengenai buku terbarunya, Syurga Yang Hilang (2012), Meor amat bersyukur ia diterbitkan tanpa banyak masalah berbanding buku terbitan pertamanya pada 2009 yang lalu.

Buku setebal 133 halaman itu disunting oleh penyunting yang sama, iaitu Faisal Mustaffa, yang mengumpulkan artikel-artikelnya, menyusun, menyunting dan menjadikannya sebuah penceritaan.

Namun, Faisal berasa sedikit terkilan kerana banyak lagi rencana-rencana yang ditulisnya sebelum ini tidak mahu dimuatkan. Apabila ditanya, Meor berkata, “Aku tak mahu buat orang terlalu tersinggung”.

Faisal gelak dengan kata-katanya. Menurut Faisal, antara rencana-rencana yang dikeluarkan berkisar tentang pemberontakan jiwanya, keindahan yang dikecapi secara peribadi dan pengertian beliau mengenai tasawuf.

Kisah Amin

Berbeza dengan Sembang Tepi Jalan, buku baru ini banyak membincangkan mengenai keagamaan serta kemusykilan sekitar pemahaman agama.

“Ini cara Meor berdakwah,” kata Faisal.

Syurga Yang Hilang turut menceritakan pengalamannya dengan seorang teman yang menganggap dirinya pemikir bebas (free-thinker). Amin (bukan nama sebenar) dilahirkan sebagai Muslim, merantau dan berjaya. Amin mendakwa sangat akrab dengan alam roh yang bebas. Amin percaya kewujudan Tuhan tetapi tidak selesa dengan agama yang sering diperalat manusia berkepentingan.

Semasa perantauan, Amin telah mengkaji Tuhan melalui agama – Islam, Kristian, Hindu, Zen, Yahudi, Buddha. Daripada pengamatannya, Amin mendapati banyak golongan yang mengaku juara agama hidup berpura-pura. Mereka itu suka kepada kebaikan yang menunjuk-nunjuk, sedangkan kebaikan yang terbaik buat Amin adalah dari dalaman, bukan luaran.

Demikian gambaran Meor terhadap kenalannya yang dinamakan Amin itu.

Syurga Yang Hilang dilancarkan pada 31 Mac lalu, bersempena acara Pasar Buku BOCO di Shah Alam. Meor turut mendendangkan tiga buah lagu secara solo. – Roketkini.com