Wawancara

10 Minit: DAP untuk semua

Wawancara wartawan The Rocket T.K. Tan bersama aktivis DAP Sarawak, Mordi Bimol, yang merupakan Pembantu Khas untuk Ahli Parlimen Bandar Kuching Chong Chieng Jen.

Boleh saudara ceritakan serba sedikit latar belakang saudara sebelum menceburi bidang politik?

Saya merupakan graduan ijazah dari  Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dalam bidang Sains tahun 2008. Selepas itu saya bekerja sebagai wartawan untuk dua bulan kemudian sebagai pembantu penyelidik bagi Unimas. Selepas tiga tahun, kontrak saya tamat dan saya mengikuti program Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) selama enam bulan.

Setelah itu saya sempat bekerja sambilan sebelum diperkenalkan kepada saudara Chong Chieng Jen. Apabila ditemuduga, YB Chong melantik saya sebagai Pembantu Khas beliau.

Boleh saudara ceritakan serba sedikit mengapa saudara memilih DAP sebagai wadah perjuangan saudara?

Ini adalah kerana saya percaya kepada dasar DAP sendiri yang memperjuangkan hak setiap warga Malaysia. Sebab kita melihat bahawa Malaysia ada banyak bangsa tetapi tidak semua bangsa yang ada di Malaysia ini diberi layanan sama rata. Jadi itu adalah salah satu keypoint yang menarik perhatian saya.

Sebab jika kita dalam sebuah keluarga pun, kita boleh berkahwin lain-lain (kaum)…realitinya, dalam politik kita tidak dilayan sama rata. Itu yang tidak memuaskan hati saya…betul-betul tidak puas hati.

Apakah aspirasi dan harapan peribadi saudara yang boleh dicapai apabila menyertai DAP?

Saya berharap walau pun tidak menjadi calon (pilihan raya), saya dapat meneruskan perjuangan saya bersama DAP untuk memperjuangkan hak-hak rakyat Malaysia, termasuk untuk kaum Bidayuh di Mas Gading yang terlalu ketinggalan dalam konteks pembangunan di Malaysia. Sebagai anak Malaysia berketurunan Bidayuh, saya mahu sampaikan hasrat ini untuk mereka.

Apakah bidang tugas dan peranan saudara dalam DAP Sarawak?

Peranan saya buat masa sekarang adalah Pembantu Khas untuk YB Chong, saya ditugaskan untuk mengendalikan pusat khidmat rakyat Kota Sentosa. Setiap hari, selesai saja tugas di Kota Sentosa mendengar aduan masyarakat dan lain-lain, dalam jam 3 petang saya akan bergerak ke kampung-kampung.

Apakah perkara yang saudara lakukan ketika melawat kampung-kampung ini?

Di kawasan Mas Gding tidak banyak rumah panjang. Jadi saya pergi terus ke rumah, dari pintu ke pintu. Banyak cabarannya…ada yang tak mahu buka, ada yang duduk di hadapan pintu…bila nampak kami mereka lari masuk ke dalam rumah.. macam mana pun, saya … kami cuba untuk dekati setiapindividu dalam kampong tersebut… bagi risalah, yang berkaitan kampong tersebut, bagi akhbar Rocket… cuba untuk menjelaskan apakah yang diperjuangkan DAP.

Apa pesanan saudara khususnya untuk warga Sarawak sama ada yang berada di sana mahu pun yang di perantauan.

Untuk warga Sarawak yang tinggal di Sarawak, saya harap kali ini mereka boleh membuat perubahan besar dengan mengundi DAP… Pakatan Rakyat… sebab kali ini  kita punya peluang sangat besar untuk melakukan perubahan.

Untuk warga Sarawak yang berada di perantauan, saya harap mereka boleh balik untuk mengundi atau jika tidak dapat balik sekali pun sekurang-kurangnya mereka boleh menyampaikan pesanan ini kepada kaum keluarga mereka di kampung. Pesanan penting dari anak-anak kepada ibu bapa mereka dikampung supaya tukar undi mereka kepada Pakatan Rakyat.

Saya juga harap seluruh warga Malaysia akan bersatu hati kali ini, tanpa mengira dari negeri mana. Kita semua adalah satu bangsa yang perlu berubah. – Roketkini.com