Budaya

UMNO… Dah Petanglah. Oleh : Asi Dani

Jam di papan muka kereta dah menunjukan pukul 2.25 petang, aku masih lagi memandu di lebuhraya. Hati agak rusuh bila melihat dereten kenderaan di hadapan, seharusnya pada masa ini aku sudah sampai di kedai kopi. Tetapi entah kenapa, kesesakan agak luar biasa pada siang hari ini.

Aku menghidupkan api rokok, tingkap kereta aku turunkan, terasa cukup berbahang apabila udara panas luar menerjah masuk ke dalam kereta.

Nun entah berapa meter di hadapan, lori simen sudah terbalik. Penyelamat sedang sibuk membersihkan jalan. Aku melepasinya dengan hati yang berbuku, “ Nak terbalik pun, tunggu petang-petang la..” Ayat merapu yang entah kepada siapa yang ingin aku tujukan.

Tiba-tiba telefon bimbit berbunyi.
“Mana bro? Dah berjanggut tunggu ni, kata 10 min?” Dah aku agak, Ijot mengirim pesanan ringkas.

“Sorylah, aku pergi sembahyang. Kau tunggu la kejap, lempang karang,” balas pesanan aku kepadanya.

Begitulah aku dan Ijot, kami bergurau tahap dewa-dewi, sukar nak mengerti bagaimana gurauan sebegini muncul. Di sekolah tiada pula diajarkan begitu.

Kedai kopi

Dari jauh Ijot tersengih-sengih memandang aku sambil tangan menunjukan-nunjuk angin. Kak Memon dan Azan juga telah sampai. Mereka juga tersengih-sengih hingga menampakan gigi-gigi yang putih.

“Apahal kau lambat? Penat kita orang tunggu kau,” sapa Kak Memon.

Sori-sori, lambat 40 min aje,” balas aku.

“40 min? Huh… ingat kalau 10 min lagi ni, kalau kau tak sampai-sampai lagi, kita orang dah masuk UMNO beramai-ramai dah,” Ijot menyampuk dengan wajah serius.

“Aku… aku… aku dah siap isi borang UMNO dah ni, tunggu pengesahan dari kau je Asi,” Azan turut mencelah.

“Masuk la kalau kau orang nak masuk, terbela juga orang-orang Melayu kau,” aku menjawabnya dengan senyuman terlukis di bibir.

“Order dulu… order dulu,” tingkah Azan.

“Milo tarik ada? Satu ya,” pesan aku.

“Tak adalah bang, ni Kedai Kopi, bukan kedai Milo,” jawab pelayan kedai dengan wajah acuh tak acuh.

“Kau ni Asi, sini semua jual kopi aje, kopi tarik, kopi tolak, kopi O, kopi jantan, kopi gano, kopicino… ha ha ha,” sampuk Ijot.

“Kau tak tau ke Asi, kedai ni cuma jual semua jenis kopi aje. Teh, Nescafe, Milo, sirap limau tak ada!” Kak Memon turut mencelah.

Aku seakan termenung sekejap. Memikirkan kopi apa nak diminum.

“Kedai ni jual satu jenis minuman aje, sama macam UMNO, modal dia perkauman je, kau boleh pilih nak perkauman jenis apa… Perkasa, Jati… cakap aja nak yang mana… Ha ha ha..” Ijot bersuara sambil ketawa mengekek.

Kami semua turut ketawa, tak sempat aku nak memesan minuman lagi.

“Bagi saya kopi O kaw,” aku meminta kepada pelayan yang dari tadi berdiri memerhatikan gelagat kami semua.

Masjid hidup

Lama kami berlabun itu dan ini. Kisah bercinta, kisah orang kena langgar, cerita anak Kak Memon kena denggi, berbual tentang kerja baru Ijot, mendengar keluhan Azan yang baru berhenti dari jadi PTD. Petang itu, kami semua berekspresi tentang diri dan persekitaran – dengan kopi.

“Aku ingat, BN tak boleh dapat Selangor la…” Tiba-tiba Azan menyebutnya dengan menggeleng-gelengkan kepala.

“Apahal kau ni, nampak macam dah kecewa sangat aje. Kau nak sangat BN ambil Selangor balik?” Ijot menyampuk.

Aku dan Memon hanya memandang Azan.

“Bukanlah, bukan kecewa,” jawab Azan.

“Kalau bukan kecewa, habis tu apa? Nada macam… ish menyampah aku dengar!” kak Memon bertanya dengan perasaan menyampah.

Memang kami semua tahu, Azan walaupun bukan ahli UMNO, tetapi di kalangan kami, dia adalah simpatisan UMNO kategori tegar. Katanya dia sayangkan bangsanya, agamanya. Itulah hujah dan prinsipnya selama kami bersahabat. Hujah itu seolah-olah menyudutkan kami, seolah-olah kami ini tidak sayang pada bangsa dan agama… seolah-olah… Ah! Sudahlah.

“Kalau kau nak BN perintah Selangor semula, kau tolonglah kempen untuk dia orang, kot boleh cari duit poket ke…” Sindir Kak Memon.

Aku dan Ijot hanya berdiam sambil menikmati kopi panas.

“Tak boleh, semua isu yang Pakatan bawa, susah nak counter balik. Nak jadi modal kempen pun payah.” keluh Azan.

“Kenapa… kenapa? Isu-isu tu memang betul la kan?” soal Kak Memon.

“Isu-isu tu satu hal la nak jawab. Tapi kerajaan Pakatan Selangor memang buat kerja. Dulu masa BN kat Selangor, masjid negeri sunyi. Sekarang, masjid kat sini dah jadi pusat komuniti… hidup!” Azan membuka cerita.

“Kalau kau orang nak tahu. Sebab kecil macam ni pun, kesannya besar tau. Aku dulu, masa zaman BN, jarang jejak kaki ke masjid, masjid negeri lagilah. Tapi sekarang lain. Program penuh, ada aja aktiviti amal. Orang suka kau tau?” tambah Azan.

“Oo… kau pergi masjid sebab PR lah?” Ijat bertanya dengan mata terbeliak.

Kami berpandangan dan ketawa.

“Bukan.. maksud aku, sekarang aktiviti kat masjid banyak. Maksudnya baguslah, dulu kalau ke masjid aku pergi solat jumaat aje, sekarang anytime pergi ada banyak benda yang bagus… boleh bawa anak-anak, isteri-isteri… ops… silap – isteri… faham?” serius sekali penjelasan Azan.

Mata Kak Memon menjeling Azan.

“Isteri-isteri? Mulut kau macam longkang la Azan…” Kak Memon menyampuk.

Pecah ketawa kami semua.

Sepanjang yang aku kenal, barulah kini Azan, simpatisan UMNO ini mengakui wujudnya perbezaan antara BN dan PR. Sama ada dia sedar atu tidak, aku tak pasti. Sungguhpun dia masih menyayangi UMNO, tetapi fakta-fakta ini tidak dapat dia sangsikan lagi.

“Jadi, kau rasa BN tak boleh dapat Selangor lagi atas sebab tu?” aku bersuara.

“Yelah. Tabur duit pun tak guna, orang lagi menyampah kau tau. Orang rasa mereka dibuat macam peminta sedekah aje. Orang kampong pun dah tak jalan dengan umpan-umpan duit macam ni. Dulu masa dia orang perintah tak fikir soal pengisian. Sekarang haa… menjawablah!” Azan benar-benar mengeluh kali ini.

“Kau sokonglah UMNO lagi…” tiba-tiba Ijot mencelah dengan nada menyindir Azan.

“Ei… nanti… Macam ni… macam ni…” Kak Memon menyampuk. “Nanti bila PR dah lama perintah, kita tukar semula kepada BN. Sebab, bila BN perintah dia buat infrastruktur, tapi lepas dah siap semua tu… kita tukar balik pada PR sebab PR akan isi semua kemudahan tu dengan program-program… ha ha ha.”

“Bunyi macam best aje… tapi untuk aku nak pangkah UMNO lagi… aahhhh… UMNO ni dah petanglah!” Ijat tersengih menjawab cadangan Kak Memon. roketkini.com