Rencana

AUKU dan Kreativiti – Oleh : Mazir Ibrahim

Baru-baru ini Parlimen Malaysia telah meluluskan pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) pada seksyen 15 yang mana pada asalnya seksyen ini menghalang para mahasiswa IPTA/S daripada terlibat dengan persatuan atau NGO, termasuk parti politik (baca: parti pembangkang)

Kini seksyen itu tidak lagi terpakai sebagai undang-undang yang mengepung kebebasan.

Dengan bahasa lebih mudah, kini selepas AUKU diperkenalkan sejak era 1974, mahasiswa sudah boleh kembali menyertai dan aktif dalam organisasi politik atau persatuan awam.

Gayanya seolah-olah kerajaan BN telah melaksanakan tuntutan mahasiswa. Adakah ini benar?

Secara umum, kita tetap mengalu-alukan tindakan kerajaan BN ini. Tetapi secara dasarnya kita melihat bahawa pindaan ini tidak memadai malah langkah pindaan AUKU seksyen 15 ini sekadar tindakan yang bersifat populis.

Mungkin tidak keterlaluan jika kita menganggap ia juga adalah satu tindakan untuk mengalih dari menjawab atau menyelesaikan persoalan pokok, iaitu menghapuskan AUKU dengan menggantikannya dengan satu akta yang lebih bebas dan telus – pro-mahasiswa dan universiti.

Mengapa kita anggap pindaan ke atas AUKU itu tidak memadai?

Kerana, yang mengekang potensi pelajar di menara gading ini bukanlah hanya soal berpatisipasi dalam persatuan atau kancah organisasi politik semata-mata, tetapi banyak lagi faktor-faktor lain di dalam akta AUKU yang telah membantutkan bakat dan potensi pelajar untuk mengembangkan bakat mereka dan menjadikan mereka lebih kritis dan kreatif.

Ini yang gagal difahami oleh kerajaan UMNO BN.

Dengan hanya meminda seksyen 15 AUKU, ia tidak menjanjikan pelajar kita memiliki fikrah yang kritis dan kreatif. Sebaliknya ia hanya menambah (yang jumlahnya hanyalah minoriti) jumlah penglibatan pelajar yang mahu berpatisipasi dalam organisasi termasuk parti politik.

Dengan bahasa lain, ia sekadar membuka sesuku ruang untuk menambah kuantiti daripada persoalan untuk meningkatkan kualiti sebenar pelajar kita.

Justru, apa pula faktor yang diperlukan untuk memastikan ruang untuk mahasiswa mengembangkan potensi demi menjadi manusia yang lebih kreatif dan kritis itu?

Pada dasarnya sudah tentulah dengan pemansuhan AUKU secara total dan diganti dengan satu dasar yang lebih terbuka, telus dan adil buat golongan bijak pandai ini.

Pihak univeristi dan golongan muda yang bijak bistari ini harus diberi kepercayaan untuk mereka memilih dan menentukan bagaimana mereka mahu belajar, apa yang ingin mereka pelajari dan apakah bentuk atau  pendekatan akademik yang diinginkan.

Maka suka atau tidak, ini bermakna satu persoalan lebih penting telah muncul iaitu – kebebasan akademik.

Kebebasan akademik merupakan perkara induk yang harus menjadi asas kepada sistem pendidikan kita, khususnya di peringkat universiti. Tanpa ada kebebasan untuk memilih dan memutus apa yang diinginkan oleh kelompok akademik, maka budaya intelektual itu tidak akan berkembang dan subur, sebaliknya budaya ‘lulus periksa’ sahaja yang muncul.

Apabila budaya ‘lulus periksa’ berlaku, maka cita-cita tidak rasmi kerajaan UMNO BN untuk mewujudkan kilang pekerja telah berjaya. Jadilah seperti hari ini bilamana produk-produk hasil air tangan kerajaan BN inilah yang mengisi dasar-dasar penswastaan UMNO BN yang sama sekali telah gagal.

Jangan lupa juga, produk IPT ini bukan sekadar menjadi pekerja sebaliknya bermentalitikan UMNO BN yang rasis dan jumud pada kepelbagaian budaya.

Lebih lucu, apabila ribuan graduan yang menganggur atau gagal bersaing di pasaran maka yang dipersalahkan ialah graduan itu sendiri. Kasihan sungguh menjadi mahasiswa universiti tempatan ini, mereka dilayan seperti buruh paksa.

Ini disahkan lagi apabila Perdana Menteri Najib Tun Razak baru-baru ini telah berkata bahawa beliau “mahu peluang dan persekitaran yang kukuh diwujudkan bagi meletakkan industri kreatif Malaysia pada kedudukan paling kukuh di peringkat dunia.”

Beliau turut menambah “untuk itu pelaburan dalam jenama tempatan perlu dilakukan bagi memberi dorongan kreatif.”

Inilah matlamat sebenar sistem pendidikan acuan UMNO BN iaitu untuk mengisi keperluan industri yang mana dasar ekonomi kita berkiblatkan dasar penswastaan Tun Mahathir Mohammad (yang gagal).

Ini menjelaskan lagi dakwaan bahawa kewujudan AUKU bukanlah sekadar mahu mengekang potensi atau bakat pelajar kita, malah ia menjadi acuan khas untuk memastikan mahasiswa kita menjadi ‘produk halal’ demi mengisi dasar UMNO BN yang penuh kecelaruan itu.

Maka, mansuhkan AUKU dan gantikan dengan dasar yang pro kepada kebebasan akademik. Untuk itu, setakat ini hanya DAP dan Pakatan Rakyat sahaja yang sanggup memberi kepercayaan tersebut kepada mahasiswa dan akademia. Maka itu pilihan yang kita ada dan itulah keputusan kita.