Rencana

SPR milik UMNO? – Oleh Izmil Amri

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukan parti komponen Barisan Nasional. Bukan kerjanya untuk melakukan tugas-tugas politik seperti memberi penerangan atau menepis tuduhan bagi pihak BN atau United Malays National Organisation.

Jika wujud rasa tidak percaya umum terhadap SPR, sepatutnya letak jawatan secara terhorrmat, bertepatan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Tambah memalukan kalau sudah wujud bukti seperti yang didakwa Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat, Saifuddin Nasution, bahawa kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR adalah ahli berdaftar UMNO.

Bila nanti didedahkan sebagai benar, seharusnya teruslah letak jawatan dan pergilah bercuti. Jika tidak boleh lagi berlaku adil dan amanah, dan terpaksa bersusah payah untuk menafikan tuduhan-tuduhan integriti yang sepatutnya dari awal tidak wujud, itu sudah kes berat.

SPR mesti wujud sebagai badan yang mendapat kepercayaan awam

Kerja mencetak buku untuk beri penerangan dan mematahkan serangan ini adalah kerja partai politik. Sebab selalunya yang diserang ini ialah partai politik yang bergelut untuk menjawab tohmah fitnah lawan politiknya.

Jarang-jarang kita lihat badan pengelola pilihan raya mengambil peranan demikian; demi menjawab pertuduhan dan menjustifikasi tindakan. Hampir tak ada, kecuali satu – SPR.

SPR adalah entiti yang terlahir daripada peruntukan Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan. Supaya kita tidak perlu buat carian Google untuk memahami Perkara 114, begini bunyinya:

Perkara 114. Keanggotaan Suruhanjaya Pilihan Raya.

(1) Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.

(2) Pada melantik anggota Suruhanjaya Pilihan Raya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah mengambil perhatian tentang peri mustahaknya suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam.

Saya sengaja tebalkan perenggan ke dua dan menggariskan frasa ‘mendapat kepercayaan awam’ supaya anda memahami bahawa SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas rundingan dengan Majlis Raja-Raja tanpa perlu dinasihati oleh Perdana Menteri ini mestilah terlebih dahulu ‘mendapat kepercayaan awam’.

Malah secara terang nyata Perlembagaan Persekutuan mempertanggungjawabkan Yang di-Pertuan Agong supaya mesti ‘mengambil perhatian tentang peri mustahaknya’ SPR itu tidak meraih sangsi dan rasa tidak senang serta tidak percaya rakyat umum.

Apa yang terjadi sekiranya SPR tidak lagi mendapat kepercayaan awam? Apa yang terjadi jika didedahkan bahawa sebenarnya Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR sebenarnya ahli UMNO?

Sungguh, tidak ada peruntukan undang-undang yang jelas menghalang ahli parti politik untuk menganggotai SPR, tetapi tidakkah wujud kemungkinan berat sebelah, yang membawa kepada hilangnya kepercayaan awam?

Jawab fitnah atau kempen untuk UMNO?

SPR semalam dilaporkan telah mencetak lima ribu naskhah buku dua belas muka surat yang dirasakannya perlu demi menjawab tuduhan ‘pembangkang’ yang katanya kerap mempertikai sistem daftar pemilih. Kos cetak senaskhah katanya RM4.

Lima ribu naskhah sudah RM20,000. Itu belum campur usaha keras kakitangan SPR untuk menulis dan menyunting dan menyusun atur reka letak buku itu demi mengetengahkan ‘fakta sebenar’ di sebalik dakwaan terhadap kebobrokan SPR yang antara lain menghalalkan daftar undi yang dipenuhi nama orang-orang yang sudah meninggal dunia.

Begitu pun, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof masih boleh berbangga kerana katanya sistem pilihanraya negara ini adalah antara yang terbaik di dunia, hatta negara luar datang melawat untuk melihat sistem pilihanraya negara kita; dan kemudian menjemput pula pihak SPR untuk memantau pilihan raya negera mereka.

Tidak pula disebut negara yang mana. Bunyi kenyataan beliau itu seolah-olahnya pilihan raya berlangsung setiap bulan di Malaysia, dan pelancong-pelancong politik kerap berkunjung ke mari untuk melihat betapa cekap, hebat dan telusnya SPR beroperasi selain menghabiskan masa menjamu selera dan melihat keindahan negara.

Tetapi SPR ini tidak sedar diri barangkali. Disangkanya dia itu terbaik dan maksum dan tidak perlu belajar daripada negara-negara yang lebih awal meraikan demokrasi dan mengadakan pilihan raya. Sangkanya dialah yang paling handal dalam bab pilihan raya ini. Maka tidak lagi perlu pembaikan dan reformasi.

Ini bodoh sombong namanya. Sudah lah bodoh, sombong pula. Amat malang kaum yang begini.

Jika SPR langgar Perlembagaan…

Jadi berbalik kepada isu ‘mendapat kepercayaan awam’ tadi. Apabila SPR memutuskan untuk memberi klarifikasi kepada tuduhan-tuduhan terhadap integritinya, maka jelas ada sesuatu yang sudah tidak kena. Sudah tidak ada percaya, maka wujud keraguan, lantas perlu klarifikasi. Ini melanggar peruntukan perlembagaan secara jelas nyata.

SPR, sebelum wujud penjawat-penjawatnya, tidak boleh tidak, mesti mendapat kepercayaan awam terlebih dahulu. Baru boleh dicanangkan sebagai sebuah suruhanjaya yang mendapat mandat Raja dan rakyat.

Kalau mengikut faham manusia biasa, jika syarat Perlembagaan Persekutuan sudah tidak ditepati, sepatutnya SPR bubar sahaja secara terhormat. Bukan mengambil langkah mempertahan diri seolah-olah ianya entiti kerajaan dan parti komponen pakatan pemerintah. Itu amatlah tidak cerdik.

Maka di atas sikap tidak cerdik SPR ini, sebuah badan yang sepatutnya tidak terkait dengan kerajaan dan parti politik, yang kini sudah nyata gagal mempertahankan kepercayaan umum terhadapnya, hanyalah masuk akal untuk kita semua ikut duduk bantah di Dataran Merdeka, Sabtu nanti.

Kerana sistem negara ini sudah terlalu korup, dan pilihan raya mesti diadakan cepat, supaya yang korup dan bobrok ini boleh kita buangkan.

Semakin lama, semakin terserlah cap keris UMNO atas dahi pucuk pimpinan SPR. Sudah tentu ini memalukan ramai pegawai dan kakitangan SPR yang mahu memenuhi amanah rakyat yang menuntut ketelusan dan kecekapan serta keadilan daripada SPR. – Roketkini.com