Rencana

Tenang : Perkara prinsip

Proton telah berjaya mengeluarkan kereta yang hebat. Sekurang-kurangnya itulah penilaian seorang pakar kereta yang menulis di akhbar The Sun dan penilaian aku sendiri sewaktu menjenguk Prevé di pusat jualan Proton di Mutiara Damansara.

Aku peminat kereta. Bagi aku, yang terbaik kereta-kereta buatan Eropah. Tapi tak ada kereta dari benua itu yang murah, kecuali kalau dibeli yang terpakai.

Kebelakangan ini syarikat-syarikat Korea Selatan mengeluarkan kereta yang cukup mantap, dengan mutu pembuatan, tahap keselesaan dan daya pemanduan serta pengendalian menghampiri kereta-kereta Eropah, tetapi mudah diselenggarakan dan praktikal seperti kereta-kereta Jepun. Proton juga nampaknya sedang mengikuti jejak Korea.

Dengan Prevé, aku jadi teringin. Kereta bermutu Eropah dengan harga hampir separuh lebih murah.

Soal harga penting kerana aku ada kesedaran baru yang agak kuat sekarang: untuk menabung dan menyimpan wang (untuk apa dan bila belum pasti).

Tapi ada satu perkara yang amat sangat mengganggu dan sedang menghalang aku daripada menikmati kereta yang sedap dipandu pada harga yang tidak terlalu mahal. Perkara itu adalah perkara pokok, perkara prinsip, perkara moral.

Aku seorang penganut aliran ekonomi-politik liberalisme klasik. Antara maknanya ialah aku anti-perlindunganisme. Dasar ini, sama ada dalam bahasa Melayu atau dalam istilah asalnya, protectionism, kedengaran positif, padahal ia tidak. Maksud tersirat bagi dasar perlindunganisme ialah menafikan dan menindas hak pihak tertentu untuk bersaing secara saksama.

Kaitan Proton dengan perlindunganisme alias penindasan

Proton murah kerana harga kereta-kereta lain ‘dimahalkan’ menerusi dasar perlindungan. Cukai import yang tinggi dikenakan ke atas kereta-kereta buatan luar negeri, membuatkannya mahal dan Proton tampak lebih murah.

Aku katakan “tampak” kerana harga murah Proton sebenar-benarnya tidak murah, ia hanya murah kerana yang lain-lain mahal. Harga VW Polo, sebagai kereta termurah buatan VW, di UK hanya sekitar £12 ribu, iaitu sekitar RM59 ribu. Memang tidak terlalu jauh lebih murah daripada harga Polo Sedan di Malaysia, tetapi perkiraan sebenar seharusnya begini:

Harga sebotol air mineral (1.5 liter) di UK ialah (semuanya dalam £) 0.50; gaji asas bagi guru yang baru bekerja di negara itu ialah sekitar 1750 sebulan; dan harga VW Polo 12,000.

Bandingkan dengan:

Harga (semuanya dalam RM) sebotol air mineral di Malaysia ialah 2; gaji guru 1800; dan harga Proton ‘termurah’ di Malaysia (Savvy) ialah 40,000.

Maknanya, kalau di UK dengan lebih kurang 7 bulan gaji guru baru, kita boleh membeli Polo, manakala di Malaysia, perlu hampir 23 bulan gaji untuk membeli Savvy.

Dengan cukai import yang tinggi, rakyat Malaysia dinafikan peluang untuk memilih kereta-kereta keluaran negara lain atas apa juga alasan, sama ada atas alasan mutu, jenama, gaya atau alasan-alasan lain, dengan “harga mampu”.

Dengan cukai import yang tinggi pula kita menindas hak syarikat-syarikat luar untuk bersaing secara saksama, di padang rata.

Sebahagian orang mempertikaikan di mana saksama dan ratanya apabila dua syarikat bersaing, yang satunya berpengalaman 50 tahun dan yang satu lagi sepuluh.

Tetapi bukankah yang kita tuntut ialah padang yang rata, bukannya pemain-pemain yang ukuran tubuh dan kemahiran menggeleceknya sama? Kalau hujah di atas diterima untuk menghalalkan perlindunganisme, maka kita juga harus mewujudkan dua peraturan berlainan untuk bola sepak.

Contohnya, dua gol Barcelona bersamaan satu gol pasukan Hijau Kuning. Ertinya, kalau dalam perlawanan di Stadium Darulaman Barcelona hanya menjaringkan satu gol, Kedah tidak kalah, sebaliknya seri. Untuk kalahkan Kedah, Barcelona perlu mendapatkan keputusan misalnya, 2-0 atau 5-2. Kalau 4-2, itu juga seri. Kalau 1-1, itu maknanya Kedah menang.

Kalau dalam satira Frederic Bastiat, “Petisyen Pembuat Lilin”, boleh dikatakan bahawa BMW, Mercedes, Volvo dan Peugeot itu adalah matahari yang cahayanya terlalu hebat untuk diperangi oleh pembuat-pembuat lilin tempatan seperti Proton, maka sesuatu perlu dibuat untuk membolehkan lilin bersaing dengan matahari.

Lupakan dulu soal cahaya matahari lebih hebat daripada lilin, kerana kita mesti berbangga dengan lilin yang dibuat dalam negeri. Tak mengapa untuk warga negeri kita memakai cahaya yang sedikit malap, asalkan ia buatan Malaysia.

Mungkin sebahagian orang lain menghujahkan perlindunganisme diperlukan untuk memberikan masa Proton belajar dan mengasah kemahiran. Mungkin ada benarnya juga. Ya, perhatikan saja kejayaan Proton menghasilkan Prevé.

Tapi ini kebanggaan palsu, atau patriotisme palsu. Patriotisme sebenar bagi aku ialah membuka syarikat kereta sendiri setelah terbukti cukup kemampuan orang tempatan untuk membuat enjin, cesi, kotak gear sendiri setelah meraih pengalaman kerja di syarikat-syarikat pengeluar kereta terkemuka.

Patriotisme sebenar juga ialah dengan memelihara negara ini daripada bergelumang dalam undang-undang menindas seperti cukai ke atas kereta import.