Berita

Pulau Pinang: BN diminta tunai janji lama sebelum tawar janji baru

GEORGE TOWN, 16 MEI: Usaha Barisan Nasional untuk menawan semula Pulau Pinang dengan menawarkan janji pembangunan, termasuk mahu mahu mengembalikan hak negeri sebagai pelabuhan bebas cukai, hanyalah janji manis sahaja.

Setiausaha Hal-Ehwal Antarabangsa DAP Liew Chin Tong berkata, janji-janji yang ditawarkan oleh pengerusi baru BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow, tidak memberi apa-apa makna selagi janji-janji BN kepada negeri dan rakyat Pulau Pinang tidak ditunaikan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera berkata, janji Teng untuk memperkenalkan semula  pelabuhan bebas cukai untuk Pulau Pinang perlu dijelaskan sama ada ia kekal di tangan pentadbiran awam atau diswastakan kepada tokoh korporat Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary sebagai milik peribadi.

Menurutnya, jika Teng dan BN mahu swastakan kepada Syed Mokhtar, ia akan hanya menjadikan Pulau Pinang sebagai pelabuhan penghantar sahaja kepada pelabuhan-pelabuhan lain milik tokoh itu di Johor, menandakan berakhirnya kegemilangan pelabuhan Pulau Pinang.

Parti yang diwakili oleh Teng sendiri, iaitu Gerakan, telah tunduk dengan tekanan kerajaan pusat Perikatan (kemudiannya BN) untuk memansuhkan status pelabuhan bebas cukai pada tahun 1969 yang menyebabkan kesan buruk ekonomi negeri, termasuk gejala pengangguran besar-besaran pada masa itu.

Sejak itu, DAP sentiasa menuntut supaya status pelabuhan bebas cukai diperkenalkan kembali di Pulau Pinang untuk membantu memacu pembangunan negeri serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat semua kaum.

Namun, sepanjang lebih 40 tahun, Gerakan dan BN berdiam diri, tidak mempedulikan gesaan DAP yang hanya berniat untuk menjamin kebajikan dan peluang ekonomi untuk semua rakyat.

Menurut Liew, sebelum membuat janji-janji baru, Teng dan BN juga mesti tunaikan dahulu janji-janji lama yang dibuat oleh kerajaan persekutuan termasuk:

* Mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan pada 2006 bahawa Pulau Pinang akan diberi “hadiah”- Jambatan Kedua, monorel dan jalan raya luar lingkaran.

“Kita tidak akan berdebat tentang sama ada isu monorel atau jalan raya luar lingkaran merupakan penyelesaian kepada masalah pengangkutan Pulau Pinang. Namun rakyat Pulau Pinang berhak untuk mendapat jawapan tentang apa telah terjadi kepada janji ‘hadiah-hadiah’ tersebut sebagai alasan untuk meyakini janji-janji baru BN akan ditunaikan nanti,” kata Liew.

* Pada Jun 2010, semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-10, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjanji untuk menyediakan 200 bas baru kepada Pulau Pinang dan menambah bas-bas Rapid Penang daripada 350 kepada 550 buah.

“Tiada apa pun berlaku sampai sekarang. Inilah janji tunggal yang dibuat oleh kerajaan persekutuan kepada Pulau Pinang sejak pilihan raya 2008 dan kosnya pun tidak lebih daripada RM100 juta. Namun, janji sekecil ini pun tidak dapat ditunaikan. Bolehkah BN dipercayai untuk janji yang lebih besar?” soal Liew.

Menurutnya, Teng sepatutnya sedar bahawa kerajaan persekutuan BN wajib bertanggungjawab dengan prinsip asas, iaitu memastikan semua janji yang dibuat mesti ditunaikan, sama ada BN menjadi kerajaan negeri atau tidak.

“Rakyat Pulau Pinang membayar cukai kepada kerajaan persekutuan dan seharusnya layak mendapat peruntukan daripada kerajaan persekutuan,” ujarnya.

Beliau bagaimana pun berterima kasih kepada Teng, walau pun dengan mengemukakan janji baru yang belum tentu daopat ditunaikan oleh BN, kerana mengelakkan diri daripada hingar-bingar perkauman yang sering dimainkan oleh UMNO dan sekutunya seperti Perkasa, dengan membawa perbincangan tentang soal dasar.

“Jika kita berjaya ketepikan atau hentikan tuduhan dan fitnah perkauman, tidak mustahil BN dan Pakatan Rakyat serta kumpulan-kumpulan masyarakat madani dapat duduk bersama untuk berbincang secara bertamadun bagi menyelesaikan masalah rakyat,” ujarnya. – Roketkini.com