Berita

DAP tidak mahu gerai thosai dibina depan rumah Timbalan Ketua Polis Negara

KUALA LUMPUR, 18 MEI: DAP meminta satu kumpulan NGO supaya membatalkan niat mahu mendirikan gerai thosai di depan rumah Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Ahad ini.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, perbuatan itu akan dilihat sebagai membalas tindakan kumpulan orang yang biadap yang melakukan perbuatan mengugut, mengganggu-gugat dan menceroboh ruang peribadi Pengerusi Bersama Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan.

Katanya, beliau menyokong usaha Ambiga, sebagaimana yang dilaporkan dalam portal berita Free Malaysia Today, yang telah meminta NGO tersebut WargaAMAN supaya tidak mendirikan gerai thosai di depan rumah Khalid Abu Bakar.

“Walau pun Khalid gagal dalam menjalankan tugasnya sebagai pegawai awam apabila beliau memberi kebenaran untuk sebuah gerai burger didirikan (secara haram) di depan rumah Ambiga, yakni satu tindakan yang paling tidak sensitif dan tidak bertanggungjawab, adalah tidak adil jika pihak lain mahu melakukan perkara yang sama di depan rumah Khalid,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, beliau memandang berat dengan percubaan memecah masuk pejabat Ambiga di Damansara di sini awal pagi ini kerana ia adalah perkara yang yang membimbangkan semua rakyat Malaysia.

“Rakyat Malaysia yang waras dan baik mahu kita kembali kepada politik dan cara hidup yang bersih dan bertamadun. Rakyat tidak mahu melihat meningkatnya sikap tidak sensitif sebagaimana yang berlaku baru-baru ini,” katanya.

Beliau memberi contoh sikap buruk sedemikian seperti “perarakan jenazah” oleh Perkasa terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang di depan rumah keluarganya, perbuatan mendirikan gerai burger di depan rumah Ambiga, dan sikap tidak senonoh dan memalukan oleh sekumpulan bekas tentera yang menunjukkan punggung di depan rumah Ambiga.

Kit Siang memuji respon positif setiausaha WargaAMAN, S. Barathidasan yang berjanji untuk membicangkan cadangan Ambiga supaya NGO tersebut tidak mendirikan gerai thosai di depan rumah Timbalan Ketua Polis Negara.

“WargaAMAN akan dianggap melakukan tindakan yang bijak kepada negara dengan tidak meneruskan rancangan mereka kerana ia boleh mencetuskan perbuatan balas-membalas.

“Dengan tidak berbuat demikian, kita boleh kembali kepada sikap waras dan bertamadun dalam politik dan kehidupan seharian yang boleh dicontohi oleh semua rakyat Malaysia,” katanya.

Ia juga dapat menyelamatkan Malaysia daripada menjadi bahan ketawa dunia, tambah beliau. – Roketkini.com