Budaya

Ides of March – Oleh: Muhammad Nazreen

“Detik pemilihan wakil Presiden untuk Parti Demokrat semakin hampir. Senator Mike Morris dilihat semakin ke hadapan meninggalkan pesaing terdekatnya, Senator Ted Pullman. Pemilihan kaukus Ohio bakal menentukan kalah menang dalam pemilihan kali ini.”

Ini antara senario awal yang bakal membawa penonton ke dalam naratif filem Ides of March. Sesungguhnya, pengalaman menonton filem ini memberikan kepuasan terhadap penulis dalam memahami selok-belok politik yang penuh konspirasi dan penipuan. Skandal seks, penipuan dan politik kotor sememangnya unsur yang mengghairahkan penulis ketika menonton Ides of March. Lantas, babak demi babak disajikan dengan baik sekali. Syabas buat tuan pengarahnya, George Clooney yang juga memegang watak utama dalam filem ini.

Debaran demi debaran, konspirasi demi konspirasi dibongkarkan. Ides of March pada awal minit pertama menjanjikan ruang untuk khalayak menilik sendiri jalan cerita ini. Seakan-akan mudah. Pasti di awal cerita ini khalayak akan terperangkap dengan pesona kepimpinan Mike Morris – watak utama yang dilakonkan George Clooney. Artis apati politik ini memang sajak membawakan apa sahaja watak politik.

Perjalanan cerita Ides of March ini dimulai dengan perdebatan Senator Mike Morris (George Clooney) dan pesaing terdekatnya, Sen.Pullman (Michael Mantell). Pullman cuba memerangkap Mike dengan pandangan-pandangan keagamaan. Tambah pula, Mike Morris dibesarkan dalam keluarga yang kuat berpegang teguh dengan tradisi keagamaan Kristian di mana keadaan keagamaan (Katolik Kristian) di Amerika subur dalam kelompok Republikan, bukan Demokrat.

Jadi, Pullman cuba untuk mengalas kelemahan Mike supaya beliau tak terpilih sebagai calon Demokrat. Namun, Mike lebih bersedia. Dia berjaya mengelak perangkap Pullman. Dia secara bersahaja membalas bahawa dia adalah mantan Katolik dan tidak pula mengetahui apa bakal terjadi selepas mati. Jadi, dia menerangkan bahawa ‘agama’ yang dia faham dan anuti hanyalah perlembagaan dan dia bersumpah bermati-matian untuk mempertahankannya. Debat itu berakhir dan menyaksikan Mike Morris dilihat lebih cerah untuk menang di Iowa sekaligus memenangi Kaukus Ohio.

Pendahuluan babak ini tidaklah hambar begitu sahaja, kejutan demi kejutan berlangsung seolah-olah meyakinkan lagi politik adalah ‘seni yang segala mungkin’. Jikalau Mike merupakan personaliti yang hebat pada awal filem, di tengahnya mungkin berbeza. Sisi-sisi gelapnya terbongkar. Kisahnya bermula apabila Stephen Meyers (Ryan Gosling) yang merupakan pengurus kempen untuk Mike Morris dipanggil dalam satu pertemuan rahsia bersama Tom Duffy (Paul Giammati) untuk satu persetujuan politik yang menawarkan Ryan jawatan Setiausaha Negara. Masing-masing memerlukan sokongan Senator Franklin Thompson (Jeffrey Wright) dari North Carolina yang mengawal 366 undi perwakilan untuk menandingi jawatan calon Presiden buat parti demokrat. Seterusnya, perbuatan ini dihidu pengurus senior kempen untuk Mike Morris, Paul Zara (Philip Seymour Hoffman) lantas berpakat untuk menjatuhkan Gosling.

Pada masa yang sama, Ryan kian bercinta dengan Molly Stearns, seorang pelatih untuk tim kempen Mike Morris. Tanpa disangka, tatkala mereka sedang berintiman, Molly menerima satu panggilan masuk daripada Mike dan kebetulan Ryan yang ada di sisi Molly terbaca beberapa mesej dari Mike untuk Molly –berkaitan Molly yang telah lama menjalinkan hubungan seks dengan Mike sehingga dia didapati mengandung. Babak-babak seterusnya semakin mengujakan. Ryan yang kecewa dengan Molly berusaha untuk membantu Molly menggugurkan kandungan tersebut.

Paul Zara pula telah mendedahkan sumber pertemuan Ryan dan Tom Duffy kepada Ida, seorang wartawan dari New York Times sekaligus pertemuan mereka mendapat liputan hangat di seluruh negara. Akhirnya, Ryan dibuang daripada tim kempen Mike Morris. Ini membuatkan lagi beliau semakin jengkel terhadap Mike Morris yang sebelum ini dijulang atas dasar prinsip dan idealisme beliau. Tapi kini, semuanya adalah pembohongan. Tambah malang, Molly yang tidak dapat menerima realiti kehidupannya telah mengambil keputusan untuk membunuh diri. Sebelum itu, dia meninggalkan beberapa cebis nota untuk Ryan demi menuntut ketidakadilan terhadap dirinya. Ryan menggunakan kesempatan yang maseh ada untuk menuntut pembalasan. Dia memilih untuk mengugut Mike supaya menerima nasihatnya untuk mengambilnya semula sebagai Pengurus Kempen dan menyingkirkan Paul Zara dari pasukannya atau dia akan mendedahkan segalanya kepada media. Mike akur dengan tuntutan Ryan dan cerita tamat di situ.

Filem yang disutradarai sendiri oleh George Clooney ini sememangnya dinantikan sebagai filem bercorak politikal yang diminati ramai. Lakonan yang bersahaja serta jalan cerita yang sarat diisi dengan unsur-unsur satira kepolitikan yang menarik. Ides of March menjanjikan detik-detik teruja untuk ditonton segenap lapisan masyarakat. Ini diisi pula dengan petikan dialog-dialog santai dan mudah untuk difahami semua dengan baik. ‘Casting’ para pelakonnya juga tepat dan sesuai untuk watak-watak yang ada di dalam filem ini. Walaupun jalan cerita sedikit lembab, tetapi penulis yakin penonton tidak akan tertinggal babak-babak penting dalam penceritaan filem terbabit.

Setelah berkali-kali penulis cuba memahami perjalanan filem ini, penulis menemukan rencah yang dibawa dalam filem ini.Tema yang digarap cukup mudah dan segar untuk sedia difahami. Ia memaparkan perlawanan politik yang sedia kotor. Kekuasaan tidak tertanggal daripada sisi-sisi gelapnya. Dek laba kekuasaan dan cita-cita, matlamat menghalalkan cara.

Dasawarsa ini, dunia politik dikotori dengan segala macam jenis kejahatan samada yang selindung mahupun yang terselindung. Tidak boleh tidak untuk kita akui, dunia politik menyajikan kita dengan segala jenis ragam manusia-manusia keparat demi mengejar segulung keuntungan.

Akan tetapi, kita harus sedar bahawa politik jualah yang menentukan nasib jutaan warga. Politik jugalah yang menentukan kadar pengangguran masyarakat, masalah ekonomi negara, sehingga kepada beban menanggung kos minyak hari-hari kita. Politik juga lengkap dengan sisi-sisi cerahnya dan sikap kita untuk memilih apati dalam politik juga memberikan kesan kepada tatakelolaan (governance) sang penguasa. Jadi, pilihlah untuk bertanggungjawab. Didikan politik yang berkesan setidaknya dapat mengelakkan politik korup daripada terus menguasai pemikiran kita untuk larut dalam penyakit pembodohan selama berpuluh-puluh tahun. Penulis memilih untuk mengakhiri ulasan ini dengan memetik kata-kata sarjana, Edmund Burke: “All that is necesary for the triumph of evil is good men do nothing”. roketkini.com