Berita

Kerajaan BN tak pasti kadar jenayah sebenar?

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Menteri kata lain, ketua kementerian kata lain, siapa yang sebenarnya betul tentang masalah jenayah di Selangor?

Selasa lalu, kadar jenayah di Selangor meningkat 11.6 peratus tahun lalu, iaitu dengan 44,302 kes, berbanding tahun 2010, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Abdul Rahim Radzi dilaporkan berkata, jawapan Hishammuddin kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Tony Pua berhubung indeks kadar jenayah di Selangor adalah silap kerana “salah taip”.

Menurut ketua kementerian itu, kadar jenayah di Selangor sudah turun daripada 49,469 kes pada 2010 kepada 44,302 kes pada tahun lalu.

Mengulas kekecohan fakta itu, Pua yang juga Setiausaha Publisiti DAP berkata, masalah yang sama telah berlaku tahun lalu apabila beliau meminta kerajaan Barisan Nasional menjelaskan indeks kadar jenayah pada 2009.

“Mengapa jumlah indeks yang direkodkan mempunyai tiga jumlah yang berbeza?”

Katanya, jumlah statistik indeks jenayah yang direkodkan pada tahun 2009 di Selangor adalah 54, 443 kes tetapi jawapan bertulis yang beliau terima adalah sebanyak 56, 689 kes, dan yang terkini berjumlah 54, 994 kes.

“Jika Kementerian Dalam Negeri bangga kadar jenayah menurun sebanyak 20 atau 30 atau 40 peratus, mengapa KDN masih teragak-agak untuk menyiarkannya?” soal beliau yang tidak puas hati dengan sikap kerajaan yang enggan mendedahkan butir terperinci kejadian jenayah di Selangor dan di seluruh negara.

Katanya, peningkatan atau penurunan kadar bukan isu utama kerana keutamaan mana-mana kerajaan ialah memastikan jenayah dicegah atau diambil tindakan segera, khususnya di Selangor dan sekitar Lembah Klang di mana jenayah semakin serius. – Roketkini.com