Berita

Kerajaan BN kata SPR tidak ada rekod daftar pengundi

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Datuk Seri Najib Razak gagal menepati janji untuk menjadikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) lebih telus kerana masih mahu merahsiakan perangkaan sebenar daftar pengundi.

DAP mempersoal tindakan Perdana Menteri ekoran keengganan beliau mendedahkan statistik daftar pengundi yang terkini yang secara langsung menguatkan lagi keraguan umum terhadap ketelusan SPR.

Bercakap dalam sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini, Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua berkata, beliau terkejut dengan jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz yang menyatakan bahawa SPR tidak mempunyai statistik jumlah pengundi baru yang didaftarkan oleh parti-parti politik setiap suku tahun sejak 2008.

“Kita sangat hairan kerana sebelum ini pada tahun 2010 dan 2011, SPR pernah melaporkan jumlah pengundi baru yang didaftarkan.

“Keengganan kerajaan untuk  mendedahkan statistik terkini daftar pengundi merupakan satu pembohongan yang sangat besar oleh Perdana Menteri,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendedahkan bahawa pada September 2010, SPR sendiri telah mengeluarkan data rasmi mengenai jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti-parti politik.

“Data rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan bahawa DAP telah mendaftarkan seramai 9,106 pengundi pada Julai manakala UMNO telah mendaftarkan 7,230 orang pengundi.

“Bulan Jun sebelumnya, DAP telah mendaftarkan sehingga 20,862 pengundi manakala jumlah pengundi yang didaftarkan UMNO pula seramai 10,675 orang.

“Jadi mengapa kerajaan tidak boleh memberikan butir terperinci daftar pengundi itu? Apa yang mahu dirahsiakan?” ujarnya lagi.

Menurut Pua, jawapan Nazri tidak boleh diterima kerana menteri tersebut mendakwa kononnya  SPR tidak mempunyai maklumat mengenai jumlah statistik pengundi baru yang didaftarkan mengikut negeri kerana SPR tidak merekodkan dalam pangkalan data mereka maklumat berhubung Penolong Pendaftar Pemilih yang mewakili parti politik.

Sedangkan pada tahun 2011, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz mengumumkan bahawa pendaftaran pengundi telah dilakukan oleh 5,686 Penolong Daftar Pemilih dan turut menyatakan jumlah pengundi yang didaftarkan SPR ialah 21,042 pengundi, tambah beliau

“Jadi, bagaimana menteri boleh kata tidak ada rekod?” soal Pua. – Roketkini.com