Berita

DAP tidak ancam Islam

SHAH ALAM, 28 JUN: Persoalan “ancaman” DAP terhadap Islam sepatutnya tidak timbul kerana realiti sebenarnya ialah permainan persepsi yang sengaja ditimbulkan melalui propaganda palsu UMNO dan Barisan Nasional.

Fitnah UMNO-BN yang dimainkan sejak sekian lama melalui pelbagai media telah memecahbelahkan masyarakat, iaitu masyarakat Islam ditakutkan dengan bukan Islam manakala masyarakat bukan Islam ditakutkan dengan Islam.

Demikian hujah Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng merangkap Setiausaha Agung DAP dalam Wacana II: Adakah Dasar DAP Mengancam Islam anjuran Roketkini.com di sini malam tadi.

“Perlembagaan DAP sendiri menjunjung dan patuh kepada Perlembagaan Persekutuan termasuk Islam sebagai agama persekutuan.

“Bagaimana mungkin berlaku demikian kerana itu bukan pun dasar DAP dan siapa yang begitu bodoh untuk anti-Islam dalam negara ini yang majoritinya adalah beragama Islam?” kata Guan Eng.

DAP difitnah

Menurut beliau, tuduhan dan fitnah jahat pihak lawan semata-mata untuk mewujudkan persepsi negatif dan meraih keuntungan politik sedangkan perjuangan DAP selama ini berdasarkan prinsip integriti, ketelusan, keadilan dan saling menghormati.

“Mereka cuma membuat tuduhan dengan fitnah sebab jika menggunakan fakta, mereka tidak boleh buat persepsi seperti itu.  Mereka menguasai media, Utusan, TV3 dan sebagainya, mereka boleh buat apa pun,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan itu turut memberi contoh antara bukti bagaimana kerajaan Pakatan Rakyat yang diterajui DAP di Pulau Pinang memberi peruntukan besar terhadap hal-ehwal Islam di negeri itu termasuk kepda Sekolah Agama Rakyat yang dihentikan bantuan semasa pemerintahan BN.

“Saya ingin tegaskan disini bahawa DAP ingin menjadi parti yang mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukan sahaja kepada orang Melayu malah orang Iban, Kadazan, Bidayuh dan lain-lain. Setiap dari kita rakyat Malaysia harus berjuang untuk satu sama lain,” tambah beliau.

Perbezaan adalah lumrah

Apabila ditanya oleh hadirin mengenai pendirian DAP terhadap isu hudud yang sering ditimbulkan UMNO yang menolak pelaksanaan hudud, Guan Eng berkata, DAP berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan dan menerima perbezaan pendapat sebagai lumrah manusia.

“Kita lihat walau pun wujud perbezaan ideologi dengan PAS, kita DAP kena hormati dan faham. Akan tetapi itu bukan penghalang untuk sama-sama berjuang di atas prinsip yang dipersetujui bersama, iaitu demi menegakkan keadilan, hak asasi manusia, kebajikan, anti-rasuah dan saling memahami serta menghormati satu sama lain.

“Paling penting sekarang ialah menolak fitnah yang membentuk persepsi palsu di kalangan rakyat. Kita percaya rakyat Malaysia harus bersatu-padu bukan disebabkan takut tetapi atas sebab kebebasan,” jelasnya lagi.

Islam ajar saling menghormati

Wacana itu yang dipengerusikan oleh Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal-Ehwal Ekonomi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan, turut menampilkan Dr Maszlee Malik, seorang pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang pakar dalam bidang politik Islam antarabangsa.

Menurut beliau, setiap orang mempunyai aqidah atau pegangan yang berbeza, malah Islam mengajar untuk saling memahami dan hormat-menghormati dan berlaku adil.

“Bagi saya DAP tidak mengancam Islam sebab memperjuangkan nilai bersama seperti keadilan.
Kebanyakan persepsi negatif yang timbul bersifat stereotaip dan ia dikeruhkan lagi dengan salah faham orang Islam sendiri terhadap Islam.

“Walau pun DAP telah berevolusi, persepsi itu masih ‘dijual’ sehingga sekarang. Ini sebab kita suka menyamakan Melayu dan Islam wal hal ia berbeza,” jelasnya.

Siapa yang anti Islam?

Beliau juga menyentuh mengenai pandangan Islam yang disempitkan sesetengah pihak seperti apa yang berlaku terhadap mantan Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang dikenakan tindakan undang-undang kerana memberi ceramah Islam di Selangor berbeza daripada apa yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Persepsi seringkali bersalahan dengan fakta. Persoalannya sekarang, siapa yang anti-Islam? Siapa yang merobohkan surau di Selangor? Siapa yang telah memecat mufti semasa kes tangkapan ratu cantik di Selangor?” soal beliau.

Mengulas mengenai kerjasama bukan Islam dan Islam, Dr. Maszlee membawa hadirin melihat bagaimana kerajaan Islam di Andalusia dulu mengamalkan konsep kehidupan bersama atas nilai-nilai universal.

“Realiti politik kini memerlukan kerjasama semua golongan mahu pun gerakan Islam dengan rakyat. Islam juga membela hak minoriti,” katanya. – Roketkini.com