Berita

Jangan salahkan polis sahaja, kerajaan yang buat dasar keselamatan

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Hanya 8% daripada keseluruhan belanjawan keselamatan negara diperuntukkan untuk penyiasatan jenayah walau pun jumlah peruntukan telah dinaikkan sehingga RM6.3 bilion tahun ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dalam kenyataan media beliau hari ini mendedahkan perbelanjaan persekutuan yang memperlihatkan bahawa hanya RM504 juta diperuntukkan bagi penyiasatan jenayah, walhal RM1.7 bilion diperuntukkan untuk keselamantan negeri dan ketenteraman awam.

Angka-angka yang didedahkan Liew memperlihatkan peningkatan hampir 73% kepada peruntukan keselamatan dalam negeri berbanding dua tahun lalu.

Menurut beliau, angka-angka belanjawan menunjukkan bahawa pentadbiran Najib Razak lebih berminat untuk kekal berkuasa dengan menggunakan pihak polis, berbanding untuk mencegah jenayah.

RM381 juta daripada peruntukan tahunan diasingkan khusus untuk kerja-kerja risikan polis, yang dikendalikan pihak Cawangan Khas.

“Agensi risikan seperti Cawangan Khas tidak diperlukan dalam sebuah demokrasi,” ujar Liew sambil mengulas bahawa menurut Belanjawan 2012, fungsi risikan polis termasuklah untuk mengumpul maklumat aktiviti komunis, subversif dan ekstremis.

“Dua dekad setelah perjanjian Hatyai, adalah amat kelakar untuk menyasarkan komunis,” kata Liew lagi. Malah menurutnya, UMNO sendiri pun mempunyai hubungan baik dengan Parti Komunis China.

“Melihat kepada konteks peningkatan kes jenayah hari ini, masanya sudah tiba untuk negara menilai keutamaan pihak polis,” kata beliau lagi sambil menyebut bahawa polis sekadar menjalankan dasar-dasar kerajaan, dan adalah tidak betul juga untuk menyalahkan pihak polis secara keseluruhan.

Akhir-akhir ini pihak pemerintah kerap kali mempertahankan pendapat bahawa kadar jenayah semakin menurun. Meskipun terdapat laporan-laporan kes jenayah saban hari, termasuk yang terbaru melibatkan ibu kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusof, yang dirompak dan dipukul dalam kejadian pecah rumah minggu lalu. – Roketkini.com