Berita

Kerajaan Pakatan Rakyat bina hab pendidikan cemerlang

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 16 JULAI: Satu institusi pengajian tinggi, iaitu Asian Women Leadership University (AWLU), yang berharga RM492 juta yang bakal memberi 190 peluang pekerjaan bernilai tinggi, akan dibina di tapak seluas 100 ekar di Kampung Genting, Balik Pulau.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala, dalam suratnya pada 12 Jun lalu kepada kerajaan negeri Pulau Pinang, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin telah pun meluluskan AWLU pada 10 Februari 2012.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata, kerajaan negeri bangga bahawa AWLU telah pun memilih Pulau Pinang memandangkan tawaran yang lebih baik diberikan baik oleh negeri-negeri lain di Malaysia serta negara asing.

Katanya, AWLU merupakan universiti wanita pertama di Malaysia dan dijangka menjadi salah satu universiti terkenal di rantau ini.

Menurutnya, potensi kecemerlangan adalah cerah kerana ia digerakkan oleh universiti wanita yang paling terkenal di Amerika Syarikat- Smith College.

“Demi masa depan pendidikan anak kita, kerajaan negeri akan meneruskan proses pengambilan tanah yang melibatkan 60 ekar tanah milikan bukan-Melayu dan 40 ekar tanah milikan Melayu di Kampung Genting mulai 23 Julai 2012, sekiranya AWLU tidak memilih tapak lain.

“Sebaik sahaja AWLU bersedia menggantikan tapak lain sebelum 23 Julai 2012, maka proses pengambilan tanah akan dibatalkan,” katanya di majlis penganugerahan darjah kebesaran oleh Tuan Yang Terutama Tun Dr Abdul Rahman Abbas di sini kelmarin.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, penubuhan AWLU adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menubuhkan Hab Pendidikan Cemerlang di negeri itu.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga telah menubuhkan Majlis Sains Negeri Pulau Pinang yang dipandu oleh pihak swasta dan ahli akademik untuk memantapkan penguasaan ilmu pengetahuan sains dan teknologi.

Menurutnya, pelbagai acara sains seperti Robotik dan Pesta Antarabangsa Sains yang pertama kali di Malaysia telah dianjurkan di Pulau Pinang.

Bagi memastikan tiada pelajar tercicir, beliau menjelaskan bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat juga memberi bantuan tahunan RM12 juta kepada sekolah-sekolah semua aliran.

Di samping itu, tambah beliau, menerusi tajaan RM4 juta daripada ECM-Libra, kerajaan negeri sedang  membina Pusat Pembelajaran Pulau Pinang (Penang Learning Center) di Lorong Buah Pala di sini yang akan memperkasakan pelajar-pelajar menguasai bahasa Inggeris dan lain bahasa di samping memberikan tuiysen.

“Pulau Pinang juga terus memimpin inovasi dengan muncul sebagai negeri pertama di Malaysia memberikan perkhidmatan WiFi percuma di tempat awam.

“Tiga tahun selepas idea ini telah diilhamkan, kerajaan negeri buktikan ia cakap serupa bikin dengan  penyediaan perkhidmatan WIFI percuma di 1,550 hot spot wifi percuma di kesemua 40 KADUN di seluruh Pulau Pinang.

“Sungguh pun terpaksa menanggung kos RM8.5 juta, kerajaan negeri yakin ia perlu untuk mentransformasikan Pulau Pinang kepada Bandaraya Antarabangsa dan Pintar yang boleh berdaya saing secara global,” ujar beliau.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, Penang Youth Development Corporation dan Penang Women’s Development Corporation Sdn. Bhd. (PWDC) telah ditubuhkan sebagai jentera kepada kerajaan negeri untuk memantapkan pembangunan belia dan wanita masing-masing di negeri ini.

Katanya, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan Pulau Pinang negeri yang pertama sebagai negeri “Rakan Penyusuan Ibu”.

“Saya yakin dan percaya, dengan sifat toleransi, bersatu-padu, hormat-menghormati dan bekerjasama di setiap lapisan masyarakat, segala perancangan dan usaha dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

“Justeru, saya mengharapkan agar rakyat sekalian akan melipatgandakan usaha untuk bekerja dengan lebih gigih demi kemakmuran dan kesejahteraan negeri yang kita cintai ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pengawai kerajaan negeri dan pasukan  keselamatan awam atas sumbangan mereka,” katanya. – Roketkini.com