Berita

Jawapan balas SEDA timbulkan lebih banyak tanda tanya – Tony Pua

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Sustainable Energy Developement Authority (SEDA) gagal menjawab persoalan, malah lebih banyak menimbulkan tanda tanya terhadap pendedahan kontrak kuota bekalan tenaga solar kepada syarikat-syarikat milik anak bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan, Suzi Suliana.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah dalam satu sidang akhbar bersama menjelaskan bahawa jawapan balas tersebut yang diiklankan dalam The Star dan Harian Metro menimbulkan lebih banyak persoalan lain.

Menurut kedua-dua wakil rakyat Pakatan Rakyat itu, persoalan pertama yang timbul ialah mengenai kegagalan syarikat terbabit untuk memenuhi kriteria pra dan pasca keperluan kewangan sepertimana yang telah digariskan iaitu syarikat dikehendaki sekurang-kurangnya mempunyai baki kredit 20 peratus dari kos keseluruhan pemasangan.

Mereka berkata, apa yang sangat mengejutkan ialah kenyataan SEDA sendiri yang antara lain menyatakan bahawa kebanyakan syarikat  tersebut mempunyai modal berbayar sebanyak RM2 sehingga RM100 sahaja disebabkan tidak ada jaminan syarikat-syarikat tersebut untuk mendapat kuota.

Mereka menjelaskan, andaikan setiap mega wat tenaga solar ini memerlukan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM8 juta, Syarikat Suzi Suliana pula telah mendapat 45.9MW FiA iaitu Kelulusan Tariff Galakan (Feed-In Approvals) yang melibatkan RM367 juta.

Ini bermakna, syarikat Suzi perlu sediakan RM73 juta untuk penuhi kriteria 20 peratus dari jumlah tersebut, tambah mereka kepada pemberita di sini semalam.

Menurut Pua yang juga Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, SEDA juga telah menjelaskan bahawa setiap pemohon yang berjaya perlulah mempunyai minimum sebanyak RM200,000 modal berbayar (paid-up capital) syarikat  atau dua peratus dari kos projek yang mana ia lebih tinggi.

“Akan tetapi mengapa maklumat terkini dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menunjukkan sekurang-kurangnya sembilan dari dua belas syarikat yang berjaya cuma mempunyai modal berbayar syarikat sebanyak RM100 walaupun enam bulan selepas mereka dianugerahkan projek?” soalnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat-syarikat tersebut gagal untuk memenuhi keperluan teknikal pra-permohonan dimana antara keperluan yang dikehendaki dalam Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 ialah melaksanakan kajian sistem tenaga atau PSS (power system study).

“Laman web SEDA jelas telah menyatakan bahawa setiap power system study (PSS) yang dijalankan bagi syarikat yang memohon untuk membekalkan 1MW hingga 10MW akan memakan masa selama 30 hari dan menelan kos sebanyak RM40,000.

“Isu yang timbul ialah adakah PSS dijalankan oleh mana-mana 12 syarikat yang berjaya terutmanya 8 dari syarikat tersebut ditubuhkan hanya 21 hari sebelum tarikh tutup permohonan pada 2 Disember 2011?”

“Adakah SEDA telah melanggar undang-undang dan mengapa syarikat-syarikat ini tidak disingkirkan akibat gagal mengikut peraturan yang dikehendaki?” ujarnya lagi.

Justeru jelas Pua, SEDA telah bertegas mengatakan bahawa setiap urusan adalah “adil dan telus” sebab bukan sahaja syarikat milik Suzi dan suaminya yang berjaya mendapat lebih dari satu kontrak tenaga solar Bonus Tarif galakan (feed-in tariff) FiT.

Ini membuktikan pengakuan jelas SEDA sendiri untuk melindungi “keperluan persaingan yang adil dan telus” seperti tercatat dalam Akta Tenaga Boleh Baharu, tambah beliau.

Dengan membenarkan syarikat Suzi dan rakan kongsinya menggagalkan peraturan dengan menubuhkan lebih satu dozen ‘syarikat bayangan-shelf company’ bagi mendapatkan kelulusan galakan (FiA), katanya, SEDA telah membuktikan bahawa mereka cuai dan tidak cekap.

Pua memohon agar Kelulusan Tarif Galakan (Feed-In Approval Holder-FIAH) dibatalkan dan perlu diberikan kepada syarikat yang benar-benar berkelayakan serta berdasarkan kriteria kewangan dan teknikal yang selaras dengan kehendak Akta tenaga Boleh Baharu 2011.

“Kami menyeru Datuk Peter Chin agar menegur Tan Sri Fong Chan Onn yang juga merupakan Pengerusi SEDA kerana gagal mematuhi standard yang dikehendaki akta, begitu juga dengan garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa.” kata Pua dan Nurul Izzah. – Roketkini.com