Berita

Tuntut selesai masalah pendatang asing di Sabah dituduh anti-nasional?

KOTA KINABALU, 24 JULAI: Adakah Perdana Menteri menyokong kenyataan seorang pegawai tinggi polis bahawa rakyat Malaysia yang menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menangani masalah pendatang asing di Sabah adalah golongan anti-nasional?

Persoalan itu dikemukakan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang terhadap Datuk Seri Najib Razak berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Pengarah E2(M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Nasional, Mohd Sofian Mohd Makin, yang mengutuk pejuang hak rakyat Sabah dalam tuntutan mendesak kerajaan persekutuan menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah.

Kit Siang mahu Najib menjelaskan secara terbuka pendirian kerajaan Malaysia, sama ada menyokong kenyataan Mohd Sofian atau mahu membantu rakyat Sabah menyelesaikan masalah tersebut.

Katanya, kenyataan Mohd Sofian selaku seorang pegawai berpangkat tinggi Cawangan Khas (Special Branch) polis baru-baru ini telah memberi satu gambaran yang amat mendukacitakan akan keikhlasan Kabinet dalam keputusannya pada Februari lalu untuk menubuhkan satu RCI  di atas masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

“Pegawai pangkat tinggi yang mengeluarkan kenyataan yang liar dan tidak berasas ini tidak lain, tidak bukan, Mohd Sofian, Ketua Penolong Pengarah E2 (M) Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Nasional yang mendakwa bahawa Pakatan Rakyat sedang menghadapi resapan pengganas Jemaah ISlamiah (JI) bagi PAS dan resapan ancaman komunis bagi DAP – tetapi tidak dapat memberi sekelumit pun bukti apabila kesahihan dakwaannya dicabar,” tambah beliau.

Ahli Parlimen Ipoh Timur ini turut berkata bahawa walau pun sudah hampir enam bulan RCI diumumkan penubuhannya, Kabinet masih lagi gagal memutuskan komposisi anggota dan terma rujukan suruhanjaya tersebut.

Beliau menjelaskan, sikap kerajaan persekutuan BN itu telah membangkitkan semangat rakyat di Sabah yang mahukan perubahan sebenar, dan mereka, seperti rakyat Malaysia yang lain, tidak sabar untuk menantikan pilihan raya umum yang akan datang.

“Walau pun Sabah telah menukar pemimpin empat kali dalam lima dekad ini, bagi anak muda Sabah isu pendatang asing dan tanpa izin di Sabah menjadikan mereka golongan pendatang dan warga asing tanah mereka sendiri dalam tempoh kurang satu dekad,” katanya. – Roketkini.com