Berita

DAP gesa tarik balik pertuduhan terhadap Rafizi

Gambar Ihsan TheMalayasianInsider

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: DAP menggesa Peguam Negara dan kerajaan pusat supaya menarik balik pertuduhan terhadap Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, demi mengembalikan keyakinan rakyat kepada komitmen kerajaan untuk membanteras rasuah dan melindungi pemberi maklumat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya menyebut bahawa kerajaan mesti menarik balik pendakwaan tersebut demi menggalakkan integriti awam dan nilai kepimpinan yang baik.

Menurutnya, tanpa pendedahan yang dibuat Rafizi, tidak akan ada tindakan terhadap skandal NFC yang melibatkan wang rakyat bernilai RM250 juta.

“Adalah suatu fakta bahawa pendedahan Rafizi telah membawa kepada pendakwaan terhadap Dato’ Mohamad Salleh, Pengerusi NFC dan suami kepada mantan menteri kabinet dan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Jalil,” ujar beliau.

Mohamad Salleh didakwa di atas dua pertuduhan pecah amanah dan dua pertuduhan di bawah Akta Syarikat 1965 melibatkan pembelian kondominium mewah dengan dana awam.

“Jika Dato Mohamad Salleh tidak didakwa, itu cerita lain, tetapi hakikat bahawa beliau kini mengahadapi pertuduhan jenayah membuktikan bahawa Rafizi telah melakukan perkara yang betul dengan memberi maklumat tentang perkara tersebut,” tegas Guan Eng.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu, memandangkan terdapat pendakwaan hasil daripada pendedahan yang dibuat oleh Rafizi berkaitan skandal NFC, ia menjadi justifikasi kepada peranannya melakukan khidmat awam sebagai seorang pemberi maklumat.

“Jika begitu, bukankah dia sepatutnya mendapat anugerah, berbanding menerima hukuman untuk tindakannya itu?” ujar beliau.

Rafizi yang dikenali ramai untuk jasanya mendedahkan skandal ‘lembu-kondo’ pinjaman mudah RM250 juta yang diseleweng syarikat National Feedlot Corporation untuk membeli kondominium mewah dan menubuhkan syarikat persendirian telah ditahan polis semalam dan didakwa di bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan kerana mendedahkan rahsia perbankan syarikat milik keluarga Shahrizat Jalil tersebut. – Roketkini.com