Berita

Pelabuhan Pulau Pinang: Biar rakyat tentukan

GEORGE TOWN, 1 OGOS: Barisan Nasional tidak patut menandatangani apa-apa perjanjian dengan Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd sehingga selepas Pilihan Raya Umum yang akan datang supaya rakyat Pulau Pinang boleh memilih sama ada mereka bersetuju dengan penswastaan ini.

Di dalam kenyataan medianya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, rakyat perlu menolak penswastaan ini agar apabila Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan yang baru, Pakatan tidak akan dibelenggu kesulitan undang-undang untuk pembatalan perjanjian tersebut.

Guan Eng turut menyenaraikan lima sebab mengapa rakyat negeri Pulau Pinang mesti menolak penswastaan pelabuhan tersebut.

a)      Tiada tender terbuka kerana hanya mereka yang dijemput sahaja dibenarkan untuk membuat bidaan.

b)      Tiada sangkalan Menteri Kewangan atau Menteri Pengangkutan terhadap dakwaan Pengerusi Penang Port Commission Datuk Seri Dr Chua Soi Lek bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan dijadikan pelabuhan penghantar yang akan memainkan peranan sokongan kepada dua pelabuhan lain iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang.

c)       Tiada peruntukan RM353 juta untuk mengorek saluran pelabuhan kepada sekurang-kurangnya 15 – 17 meter dengan segera sebelum penswastaan dijalankan.

d)      Tiada rundingan awam dengan pihak-pihak berkepentingan dalam industri perkapalan, kerajaan negeri Pulau Pinang serta rakyat Pulau Pinang.

e)      Tiada pendedahan rancangan atau jumlah pelaburan Seaport dan bagaimana penswastaan barang awam ini (Pelabuhan Pulau Pinang) boleh memanfaatkan rakyat Pulau Pinang dan mengembalikan status Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan komersial serantau yang bertaraf dunia.

“Kerajaan persekutuan BN harus buktikan bahawa mereka mengutamakan kepentingan rakyat Pulau Pinang dengan membuat kerja korek sekarang. Sebanyak RM353 juta kos untuk mengorek harus dibiayai oleh kerajaan persekutuan seperti yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 dan 10.” Katanya lagi.

Beliau juga menegaskan dalam kenyataannya, jika Barisan Nasional ingin membawa semangat demokrasi, seharusnya rakyat Pulau Pinang diberikan kebebasan untuk menentukan semasa pilihan raya yang akan datang sama ada mereka menyokong atau menolak penswastaan ini.

Semalam The Malaysian Insider melaporkan bahawa kerajaan persekutuan sedang melambatkan penjualan Pelabuhan Pulau Pinang kepada tauke logistik, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary sehingga selepas pilihan raya umum kerana risau tentangan awam terhadap perjanjian ini akan menjejaskan undi BN. – Roketkini.com.