Berita

Janji Tinggal Janji : Kerajaan BN gagal urus pencemaran serius lombong tembaga di Sabah

Gambar ehsan thestar.com.my

RANAU 22 OGOS: Tercemar, berbahaya dan satu lagi bukti pengkhianatan BN terhadap alam sekitar. Begitulah yang berlaku keatas satu-satunya lombong tembaga di Malaysia yang memperlihatkan sekurang-kurangnya 1000 ekar tanah terbiar dicemari dengan sisa toksik berat akibat aktiviti perlombongan oleh Mamut Copper Mine (MCM) antara tahun 1975 hingga 1999.

Inilah yang dikatakan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang sebagai “janji tinggal janji” oleh kerajaan BN negeri mahu pun kerajaan BN pusat yang gagal memelihara semula kawasan tersebut walaupun mereka telah berjanji untuk berbuat demikian.

Pencemaran sisa toksik tersebut telah memberi kesan terhadap kawasan penanaman padi sekitar dan penyakit kulit yang ditanggung oleh petani tempatan. Walau bagaimanapun isu ini tidak mendapat liputan yang wajar.

Demikian antara maklumat yang diperoleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam sesi lawatan kerjanya empat hari ke Sabah bermula 18 Ogos lalu.

Menurut Kit Siang, MCM memperoleh keuntungan sekitar RM3.4 billion sewaktu menjalani operasi perlombongan tembaga termasuk perak dan emas bagi memenuhi permintaan perusahaan dari Jepun, Australia dan juga Malaysia tetapi malangnya ia meninggalkan ’legasi toksik’ kepada alam sekitar.

“Kawasan lombong terbiar itu telah tercemar teruk dengan logam berat tanpa rawatan, ia merupakan sebuah ‘mimpi ngeri’ alam sekitar.

“Konon kawasan tersebut akan dijadikan universiti bertaraf dunia dan kawasan pelancongan juga telah terbengkalai.” Ujarnya lagi.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh meneliti hasil kajian UMS mengenai tahap pencemaran perlombongan tersebut melalui capaian di http://wwwsst.ums.edu.my/data/file/Gon8YxCkGAmz.pdf

Antara pimpinan tempatan dan negeri yang turut serta ialah Pengerusi DAP Sabah Jimmy Wong, Setiausaha DAP negeri Dr Edwin Bosi, Setiausaha Publisiti negeri Chan Foong Hin, Setiausaha Kerja Jeffrey Kumin dan  Penolong Setiausaha Junz Wong.