Berita

PATI masih menjadi masalah utama di Sabah

RANAU 22 OGOS: Peningkatan membimbangkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah yang dianggarkan sekitar 1.5 hingga 2 juta sehingga hari ini telah menyumbang kepada kenaikan gejala rasuah dan jenayah selain mengganggu sosio-ekonomi masyarakat negeri ini.

Memberi penekanan dalam setiap ucapannya kepada penduduk Kg Masangkong, Kg Matunggung dan Kg Kiaburi,  Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata bahawa gejala rasuah, jenayah dan PATI merupakan punca utama kepada hampir kesemua masalah di Sabah.

“Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kemasukan pendatang tanpa izin yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak akan kemana kerana kerajaan BN tidak berminat untuk menyelesaikan isu tersebut.”

Dalam laporan Roketkini sebelum ini, Ahli Parlimen Ipoh Timor itu pernah menyatakan bahawa pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Najib Razak mengeni terma rujukan RCI tidak menyatakan dengan jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan oleh suruhanjaya tersebut.

“Terlalu banyak keraguan tentang pengumuman terma rujukan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah. Terma rujukannya sudah terlalu lewat dan mempunyai kuasa yang amat terhad untuk mengatasi masalah.” Ujar beliau.

Berucap kepada hadirin dalam lawatannya ke Sabah baru-baru ini, Kit Siang menegaskan bahawa hanya kerajaan persekutuan yang diterajui PR sahaja akan mampu menyelesaikan masalah ini dengan baik dan menyeluruh.

Dalam majlis yang sama, Kit Siang turut membangitkan mengenai masalah infrastruktur yang ketara walaupun selepas 49 tahun Sabah bersama semenanjung membentuk Malaysia.

“Rakyat di Sabah terus berhadapan dengan masalah jalan raya, masalah air dan ada yang langsung tidak mempunyai kemudahan bekalan air serta bekalan elektrik yang tidak menentu.”

“Sekiranya UMNO-BN merupkan kerajaan yang prihatin, masalah ini tidak akan dihadapi oleh rakyat. Tetapi mengapa ia masih berterusan?” soalnya.

Beliau mengingatkan hadirin untuk melakukan perubahan kepada kerajaan yang prihatin dan yang lebih baik dalam Pilihan Raya Umum ke 13 yang akan datang.

“Hanya pertukaran kerajaan kepada kerajaan Pakatan Rakyat sahaja yang akan memberi harapan masa depan kepada seluruh rakyat Malaysia.” ujarnya.-Roketkini.com