Berita

DAP kerah ahli ke Himpunan Hijau Raub 2 September

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Seluruh rakyat Malaysia yang cintakan alam sekitar diseru untuk turut serta dalam Himpunan Hijau di Raub pada 2 September ini di Padang Kompleks Sukan Majlis Daerah Raub, Pahang bermula jam 2 petang.

Himpunan ini bertujuan membantah perlombongan emas oleh Raub Australian Gold Mine (RAGM) yang menggunakan bahan kimia sianida (cyanide) yang mengancam kesihatan dan alam sekitar.

Mensasarkan kehadiran berjumlah 20,000 orang, ‘Himpunan Hijau Raub 2 September ini dianjurkan oleh Ahli Jawatankuasa Anti-Sianida dengan gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) dan turut mendapat sokongan Pakatan Rakyat.

Naib Pengerusi Jawatankuasa HHR Tengku Shahadan Tengku Jaafar berkata, terdapat banyak laporan mengenai ramai penduduk yang kini jatuh sakit disebabkan bahan kimia tersebut yang terdedah kepada udara. Katnya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH) yang lalu.

“Antara mereka mengalami simptom kegatalan dan ruam yang melampau, batuk berterusan, dan lain-lain kesan yang membimbangkan.” ujarnya.

Katanya, apa yang lebih memedihkan, semua aduan dan rayuan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa tidak mendapat perhatian yang wajar.

Syarikat RAGM memulakan operasi mereka sejak 2009 dengan jarak diantara tapak kilang tersebut dengan kawasan rumah penduduk Kampung Bukit Koman hanya dipisahkan melalui sebatang jalan raya kecil.

Bahan kimia sianida digunakan RAGM sebagai salah satu bahan kimia yang berbahaya bagi mengekstrak emas dan penggunaan bahan ini telahpun diharamkan di luar negara seperti Jerman, Turki, Greece, dan sesetengah negeri di Amerika Syarikat.

Naib Pengerusi DAP Tan Kok Wai berkata, pihaknya akan berusaha membantu dari segi mobilisasi bagi memastikan himpunan itu berjaya.

“Industri yang bergantung kepada bahan kimia yang boleh mencemarkan alam sekitar dan kesihatan adalah musuh rakyat dan negara.Ma ka kerajaan negeri (Pahang) dan Pusat yang meluluskan lesen juga musuh rakyat dan musuh negara,” tegasnya.

Sementara itu, Ketua Lajnah Alam Sekitar PAS Pusat Zulkifli Mohd Omar berkata, PAS turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada himpunan ini kerana ia membabitkan isu kesihatan rakyat tanpa mengira bangsa, kaum, dan agama.

Bagi seluruh rakyat Malaysia yang prihatin, ayuh sama-sama turun ke Raub Pahang pada 2hb September ini (Ahad) sebagai tanda solidariti bantahan penggunaan ‘agen pembunuh’ Sainida dan rintihan rakyat setempat terhadap kemusnahan alam sekitar khususnya di negeri Pahang. – Roketkini.com