Budaya

Ucapan Debat Kebudayaan 1968 Oleh Lim Kit Siang – Bahagian 1

Petikan ucapan Setiausaha Penyelaras DAP (pada waktu itu), Sdr. Lim Kit Siang pada Debat Kebudayaan antara DAP-Gerakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968 jam 10 pagi. Ucapan ini dipetik daripada buku tulisan Ooi Kee Beng, yang diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ – Lim Kit Siang, Sebuah Lakaran Biografi.

Tuan Pengerusi dan rakan-rakan sebangsa Malaysia,

Kata kebudayaan kami maksudkan sebagai keseluruhan cara-cara hidup manusia dalam masyarakat. Termasuk di dalamnya bukan saja seni, muzik, persuratan, agama, bahasa, malah juga semua kepercayaan ciptaan dan warisan, adat resam, undang-undang, lembaga-lembaga politik dan ekonomi serta ciptaan-ciptaan manusia yang berbentuk materi yang mengacuankan pemikiran dan sikap manusia.

Debat hari ini bertujuan mengemukakan ke hadapan bangsa Malaysia masalah kebudayaan di negeri ini dan membiarkan mereka menghakimi dasar kebudayaan manakah yang terbaik untuk Negara ini – dasar kebudayaan DAP, Gerakan, atau parti lain.

Memandangkan debat ini dinyalakan oleh dua pertanyaan umum oleh Dr. Syed Naquib Alatas, saya akan memperkatakannya terlebih dahulu.

Saya, seperti juga orang-orang lain yang berakal-budi, mengandaikan bahawa kenyataan Dr. Syed Naquib itu mencerminkan pendirian Gerakan, memandangkan beliau adalah salah seorang pemimpin parti itu di peringkat kebangsaan.

Pernyataan pertama dibuat oleh Dr.Syed Naquib pada sebuah forum di Universiti Malaya yang bertajuk “Eastern and Western Literature: Their contribution to the development of Malaysian literature,” anjuran Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya.

Saya mengutip daripada Berita Harian pada 13 Julai 1968 yang melaporkan tentang forum tersebut.

“Masalah penggunaan bahasa kebangsaan dalam persuratan Malaysia hangat dibahaskan di sebuah forum bertajuk ‘Eastern and Western Literature: Their contribution to the development of Malaysia literature’ yang dianjurkan oleh Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya pada Khamis malam.

“Masa forum dilanjutkan sehingga jam 10 malam untuk meneliti permasalahan itu secara lebih mendalam. Masalah berkenaan dibangkitkan apabila salah seorang daripada tiga pembicara menyatakan bahawa persoalan pertama yang perlu diberikan perhatian ialah sudut wahana.

“Menurut Dr. Syed Naquib Alatas, wahana tersebut wajib diasaskan atas bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa kebangsaan di Negara ini. Beliau menyatakan bahawa persuratan Malaysia perlu ditulis dalam bahasa Melayu kerana setiap warga negara ini telah menerima bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.

“Jadi, dengan Bahasa Kebangsaan sebagai wahana, persuratan Malaysia dapat diperkaya oleh pengaruh-pengaruh dan sumbangan-sumbangan daripada persuratan Barat, Cina dan India.

“Inilah yang kita sebut sebagai persuratan Malaysia,’ katanya.

“Beliau membuat penjelasan ini apabila ditanya mengapa persuratan Malaysia harus ditulis dalam bahasa Melayu dan bukan bahasa Inggeris. Dua lagi pembicara dalam forum yang dipengerusikan oleh Dr. Taib Osman ini ialah En. E.N. Dorall dan En. D. E. Ward, kedua-duanya pensyarah di jabatan Bahasa Inggeris Universiti Malaya.

“Sebelum itu, Dr. Syed Naquib, sebagai pembicara kedua, mengatakan bahawa perbincangan tentang persuratan Melayu perlu difikirkan secara teliti. Menurutnya, berdasarkan sejarah, para sejarahwan dan ahli sosiologi mengenal persuratan Malaysia sebagai persuratan Melayu-Indonesia yang wujud pada kurun ke-18 dalam rantau yang sekarang dikenal sebagai Nusantara.

“Jadi, tambahnya, persuratan Malaysia yang tulen bukannya karya yang muncul sejak Malaysia dibentuk lima atau enam tahun lalu.

“Bagi saya, persuratan Malaysia terdiri daripada penulisan-penulisan dalam bahasa Melayu, dengan gagasan-gagasan yang datang dari timur atau barat.’

“Bagi beliau, orang seperti Chairil Anwar, anggota Generasi 45 dalam persuratan Indonesia, boleh dianggap sebagai pengarang dalam persuratan Malaysia. Sedangkan penulis wanita seperti Han Su-yin tidak boleh digolongkan sebagai pengarang persuratan Malaysia kerana beliau menulis dalam bahasa Inggeris, walau pun karya-karyanya berorientasikan Malaysia.

“Jika Han Su-yin diterima sebagai seorang penulis dalam persuratan Malaysia lantaran kandungannya semata-mata, maka penulis Somsert Maugham juga boleh dianggap sebagai penulis persuratan Malaysia. Dalam karya-karya Somerset Maugham juga terdapat bahan tentang Malaysia.’

“Atas sebab inilah bahasa Melayu penting dalam membentuk persuratan Malaysia, tegas Dr. Syed Naquib.’

Dari kutipan di atas, sikap dan pendekatan Dr. Syed Naquib Alatas terhadap persuratan Malaysia jelas. Kita boleh merumuskan tiga kesimpulan:

Pertama, untuk menulis karya Malaysia, bahasa yang digunakan semestinya Melayu;

Kedua, untuk penulisan Indonesia, atau sebarang tulisan dalam bahasa Melayu, tidak kira apa kewarganegaraan atau jenis kesetian si penulis, harus dianggap sebagai sebahagian daripada persuratan Malaysia.

Ketiga, tidak ada tulisan lain selain bahasa Melayu, sama ada bahasa Inggeris, Cina, Tamil, boleh dianggap sebagai persuratan Malaysia walau pun pengarangnya berbangsa Malaysia dan menulis tentang kehidupan, nilai, harapan dan cita Malaysia.

Ikuti bahagian seterusnya daripada petikan ucapan debat kebudayaan Lim Kit Siang ini pada minggu depan. – Roketkini.com