Berita

Anti lompat parti: Kit Siang betulkan laporan NST

KUALA LUMPUR, 1 SEP: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyelar tindakan akhbar New Straits Times menyiarkan laporan palsu terhadapnya dalam berita bertajuk ’Anti-hopping law unfair and impractical’ yang menunjukkan petanda besar bahawa UMNO-BN semakin terdesak sehingga sanggup melanggar etika kewartawanan.

“Mereka mula takut jika kehilangan kuasa mereka di Putrajaya selepas pilihanraya umum akan datang ini,” ujar beliau dalam kenyataan media rasminya semalam.

New Straits Times menyebut “The critics pointed out that Lim’s father, DAP stalwart Lim Kit Siang, had even praised members of parliament Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing of Tuaran and Datuk Seri Lajim Ukin of Beaufort when the duo left Barisan Nasional to support the opposition coalition.” (“Pengkritik sendiri telah menuding jari kepada pemimpin DAP Lim Kit Siang yang telah memuji tindakan Ahli-ahli Parlimen Datuk Seri Wilfred Mojilip Bumburing dari Tuaran dan Datuk Seri Lajim Ukin dari Beaufort apabila kedua-dua mereka meninggalkan Barisan Nasional untuk menyokong pihak pembangkang.”)

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor berkata laporan palsu tersebut merupakan satu rekaan semata-mata dan sehingga sekarang, beliau tidak pernah memberi komen berhubung tindakan Wilfred Bumburing dan Lajim Ukin yang meninggalkan Barisan Nasional untuk menyokong Pakatan Rakyat.

“Pendirian saya mengenai wakil rakyat yang melompat parti adalah jelas dan konsisten dan saya masih memegang kepada pendirian itu dan apa yang telah saya tekankan di Parlimen, 34 tahun yang lalu mengenai usul memperkenalkan rang undang-undang Members of Parliament (Prevention of Defection) Act 1978 untuk menjamin integriti politik Ahli-ahli Parlimen,” ujar beliau.

Mengulas tindakan keluar BN oleh Datuk Seri Wilfred Bumburing dan Datuk Seri Lajim Ukin, Kit Siang menyatakan keyakinan beliau bahawa kedua-dua Ahli Parlimen tersebut sedia untuk meletak jawatan dan  memberi laluan kepada pilihanraya kecil bagi mendapatkan mandat baru.- Roketkini.com