Berita

DAP mendengar suara hati rakyat Sabah

KOTA KINABALU, 4 SEPTEMBER: Masalah infrastruktur, kemiskinan, royalti minyak, jenayah dan pendatang asing di Sabah merupakan isu kritikal yang seolah-olah tidak ada penyudahnya dibawah kerajaan BN.

Slogan Janji Ditepati yang diwar-warkan kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Najib Razak ternyata sekadar omong kosong yang terang-terang sebuah penipuan terhadap rakyat negeri ini.

Bertemakan “Janji Ditepati? Bicara Rakyat Sabah”, sesi pendengaran awam yang julung kali dianjurkan DAP Sabah bermula semalam demi mendengar dan melihat apakah kerajaan BN memenuhi janji-janji yang mereka taburkan selama ini.

Majlis yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Banquet Star City dan telah dihadiri sekurang-kurangnya tiga ratus orang hadirin dari pelbagai latar belakang.

‘Janji tidak ditepati’: BN sebagai ‘defendan’

Dalam ucaptamanya, Pengerusi DAP Sabah Wong Sze Phin berkata, BN merupakan ‘defendan’ terhadap slogan Janji Ditepati mereka.

“Kalau ‘janji ditepati’, mengapa sehingga kini cuma sekitar 35 peratus sahaja jalan yang berturap di Sabah sedangkan di semenanjung sekitar 80 peratus jalan telah berturap? Ini merupakan perkara asas yang diabaikan kerajaan BN selama ini.

“Ini tidak termasuk isu kemiskinan dan pendatang asing yang makin membimbangkan.” ujarnya.

Menurutnya yang juga ADUN Sri Tanjung, walaupun Sabah merupakan sebuah negeri yang mempunyai sumber minyak dan gas, ia masih menjadi negeri kedua termiskin di Malaysia.

Bagi Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, sesi pendengaran awam ini bukan sekadar wadah untuk menyuarakan pendapat rakyat tetapi ia bertujuan untuk diajukan terus kepada pemerintah.

“Masalah yang berlaku di negeri ini menunjukkan kerajaan BN tidak tahu kehendak dan hasrat rakyat Sabah.”

Beliau turut mempersoal isu penubuhan Suruhanjaya Siasatan di Raja menyiasat pendatang asing tanpa izin yang mengambil masa enam bulan sebelum dijalankan.

“Mana ada negara dalam dunia yang mengambil masa enam bulan untuk sediakan terma dan rujukan (terms and reference).”

Menyentuh perihal gejala rasuah yang bermaharajalela di Sabah, Kit Siang berkata, “Kenapa Sabah kaya tapi rakyat miskin? Kenapa rakyat miskin tapi pemimpin begitu kaya? Kenapa?” soalnya tegas.

Turut hadir memberi ucapan sebelum sesi pendengaran awam bermula ialah beberapa pimpinan DAP negeri Sabah, Ahli Parlimen Kota Kinabalu Dr. Hiew King Cheu, Pesuruhjaya PAS Sabah Aminuddin Aling, Dr. Chong Eng Leong mewakili PKR negeri Sabah dan mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah tahun 1988 hingga 1993 Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun. – Roketkini.com