Berita

Beli konsesi tol: BN tiru Buku Jingga lagi

KUALA LUMPUR, 4 SEPTEMBER: Ternyata cadangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih konsesi tol adalah relevan dan tidak akan “membankrapkan” negara seperti yang dituduh pemimpin-pemimpin BN sebelum ini apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengumumkan bahawa kerajaan akan membeli balik Lingkaran Penyuraian Timur (EDL) dari pemegang konsesi.

Dalam kenyataannya, Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata, tindakan kerajaan tersebut menunjukkan bahawa BN terdesak meniru dasar yang terkandung dalam Buku Jingga untuk meraih semula sokongan rakyat yang semakin merosot.

“Walaubagaimanapun, kerajaan mestilah benar-benar telus dalam menjalankan pembelian balik ini untuk memastikan ia tidak akan berakhir dengan pampasan melampau kepada MRCB.”

Dalam perkara berkaitan, beliau tidak mahu persetujuan kerajaan membeli balik konsesi hanya untuk mengimbangi “kehilangan keuntungan masa depan” kepada MRCB semata-mata kerana wang pembayar cukai akan digunakan untuk membayar tol terlebih dahulu kepada MRCB.

Tambah beliau, rakyat Malaysia, terutamanya di Johor tidak mahu melihat berulangnya kembali skandal Gerbang Perdana “jambatan bengkok” di mana syarikat konsesi diberi pampasan sebanyak RM257 juta.

Pua menyeru kerajaan agar mendedahkan kandungan perjanjian konsesi EDL tersebut kepada umum dan hanya perlu membayar untuk nilai kerja-kerja pembinaan lebuhraya dan pemulangan faedah 12 peratus setahun kepada modal dan pinjaman pemegang saham melabur.

Bulan Mac lalu, Bernama melaporkan Perdana Menteri Najib Razak ketika berucap di Port Dickson berkata bahawa janji pembangkang sekiranya dilaksanakan akan menyebabkan negara muflis dan menjadi lebih buruk dari apa yang berlaku di Greece.

Najib dipetik berkata “Tapi pembangkang kalau menang Putrajaya cakap semua tol dia mahu hapuskan. Boleh atau tidak boleh? Tak boleh, tak masuk akal.”

Cadangan pembelian balik konsesi tol oleh kerajaan ini membuktikan bahawa tawaran Buku Jingga oleh Pakatan Rakyat adalah praktikal dan boleh dilaksanakan. – Roketkini.com