Berita

DAP prihatin masalah masyarakat Ranau

RANAU 5 SEPTEMBER: Biarpun Sabah pernah dilanda kontroversi berikutan ‘projek IC Mahathir’ yang memberi kerakyatan dengan mudah kepada pendatang tanpa izin di Sabah untuk mengundi BN sekitar tahun 90-an yang lalu, lain pula ceritanya di Kampung Rapak, Ranau.

Ibarat kata pepatah ‘anak kera disusukan, anak sendiri mati kelaparan’, begitulah yang berlaku ke atas seorang ibu tua Siew Yin binti Chong Ah Kun 71 yang masih belum mempunyai MyKad.

Persoalan timbul bila mana Siew Yin Cuma diberi Kad Pengenalan Merah sedangkan beliau dilahirkan sebagai anak jati negeri Sabah (North Borneo ketika itu) pada tahun 1941.

Beliau melahirkan kekecewaannya dalam sesi pendengaran awam DAP Sabah hari ini yang telah dihadiri sekitar seratus orang penduduk tempatan.

Menurutnya, beliau telah pun membuat permohonan sebanyak empat kali di Jabatan Pendaftaran Negara dan terkini pada bulan Januari 2012 yang lalu tetapi sehingga sekarang masih belum mendapat sebarang maklumbalas.

“Saya mempunyai semua dokumen pengenalan seperti sijil kelahiran dan termasuk kad pengenalan ibu saya. Saya hairan kenapa saya tidak diberi IC (MyKad).” ujar beliau.

Bagi Henry bin Gunsalam @ Ansu 60, beliau dengan penuh bersemangat berkata sekiranya Pakatan Rakyat diberi mandat memerintah Sabah dan Malaysia, kerajaan harus memberi penekanan kesedaran sivik terhadap penjagaan alam sekitar.

“Buat masa sekarang kerajaan BN tidak memberi penekanan kepada alam sekitar. Pencemaran berlaku disana sini dan in tidak bagus untuk generasi masa akan datang.” ujarnya.

Sesi pendengaran awam DAP hari ini turut menerima banyak aduan dan masalah masyarakat setempat termasuk isu tanah NCR dan bantuan bagi rakyat miskin.

Dusun Bika 55 merupakan seorang ibu yang mengambil upah bekerja diladang secara separuh masa terpaksa hidup dalam keadaan amat tidak selesa apabila bantuan membaiki rumah yang dijanjikan kerajaan BN ditarik balik.

Ia berikutan sokongannya kepada calon Pakatan dalam pilihanraya yang 2008 lalu.

Jelas Bika lagi, “Rumah saya sangat teruk. Banyak atap yang  perlu ditukar tetapi saya tidak mampu. Anak saya masih ramai yang kecil” ujarnya dalam dialek Dusun.

Sesi pendengaran awam yang dijalankan bermula semalam merupakan salah sebuah inisiatif DAP Sabah dalam mengetengahkan suara masyarakat tempatan kepada pihak berkuasa.

Sepertimana yang telah diucapkan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang, ini semua membuktikan bahawa slogan “Janji Ditepati” Perdana Menteri Najib Razak sekadar menyedapkan telinga rakyat mendengarnya.

Selain pimpinan DAP negeri, turut hadir memberikan sokongan dan ucapan ialah Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan penganalisis politik Dr. Ong Kian Meng.roketkini.com