Berita

“ Sabah Darul PATI ? ”- Tan Sri Datuk Seri Panglima Simon Sipaun

KOTA KINABALU, 6 SEPTEMBER: Ternyata masalah pendatang asing tanpa izin (PATI) yang gagal diselesaikan kerajaan BN bukanlah isu yang dipolitikkan PR tetapi ia merupakan realiti yang sangat membimbangkan dan telah menimbulkan kemarahan majoriti rakyat Sabah terutamanya di kalangan Bumiputera negeri ini.

Ada kajian menunjukkan sebahagian besar dari mereka (PATI) diberi kerakyatan secara tidak wajar oleh kerajaan BN, ia telah mengganggu-gugat dipelbagai sektor dalam negeri ini terutamanya dalam sektor ekonomi, sosial malahan politik Sabah.

Menggambarkan masalah PATI ini semakin serius, mantan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah sendiri Tan Sri Simon Sipau telah menggelarkan negeri ini sebagai “Sabah Darul PATI”.

“Kita rakyat Sabah hidup dalam masalah dan menanggung masalah tersebut”. Demikian kenyataannya dalam satu ucapan dalam satu sesi jelajah pendengaran awam DAP Sabah.

Ujarnya lagi, beliau bukanlah pro-kerajaan maupun pro-oposisi tetapi terpanggil untuk meluahkan rasa kecewanya terhadap kerajaan BN bukan sahaja kerana gagal mengatasi masalah PATI tetapi masalah kemiskinan, infrastruktur dan sebagainya.

Tambah beliau, “kerajaan BN dahulu pernah berjanji untuk menyelesikan isu PATI ini  secara menyeluruh. Tetapi realitinya mereka tidak serius dan cuma mahu menunjukkan seolah-olah mereka prihatin terhadap masalah ini dan sekarang mereka senyap.”

Tan Sri Simon Sipau

Menjelaskan perkara tersebut, beliau memberikan tiga pendapat mengapa masalah PATI ini masih berterusan.

“Kerajaan BN sendiri tidak mempunyai political will (azam politik) untuk selesaikan masalah tersebut, mereka juga mungkin mempunyai agenda tertentu terhadap PATI dan mungkin kerajaan BN itu sendiri yang bermasalah.”

Dr Chong Eng Leong

Peningkatan populasi penduduk Sabah tidak masuk akal

Dalam perkara berkaitan, pakar yang menyiasat dan membuat kajian terperinci fenomena PATI di Sabah Dr Chong Eng Leong berkata, statistik menunjukkan kadar peningkatan populasi penduduk di Sabah sehingga kini mencecah 390 peratus berbanding di Semenanjung yang cuma 165 peratus.
Kenaikan mendadak populasi penduduk sabah yang dicatatkan ini benar-benar menimbulkan banyak tanda tanya.

“Data dari Jabatan Perangkaan menunjukkan jumlah penduduk di Sabah pada tahun 2010 adalah seramai 3.3 juta termasuk 0.9 juta pendatang asing yang masuk dengan permit.

Beliau yang popular dengan buku “Less We Forget” yang berkisar mengenai pendatang asing di Sabah turut mengeluarkan fakta yang mengejutkan dimana kata Dr Chong Eng Leong, seramai 1.2 juta PATI pula tidak termasuk dalam jumlah 3.3 juta penduduk negeri Sabah.

“SPR kata terdapat 200,000 pengundi berdaftar masih meragukan tetapi menurut kajian saya, bukan 200,000 tetapi 882,000 pengundi dalam senarai daftar SPR masih meragukan dan misteri.”-Roketkini.com