Berita

DEBAT Gagal: MCA takut berdepan dengan wakil Pakatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER: Datuk Chua Tee Yong yang juga merupakan ahli Parlimen Labis, hari ini menolak empat orang wakil yang dilantik oleh Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai jurucakap beliau berhubung isu penstrukturan semula hutang Talam.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua ketika sidang medianya, beliau percaya perdebatan hari ini hanya berunsur politik semata-mata.

“Sebenarnya beliau tidak ikhlas untuk mengetahui isu Talam dan beliau hanya ingin main politik”. Kata Pua lagi.

Jelas Pua, perdebatan yang dikatakan oleh Datuk Chua di Labis pada masa yang sama mengenai isu ini tidak benar sama sekali, kerana perdebatan tersebut  telah diadakan pada malam Ahad yang lepas.

“Perdebatan tersebut sebenarnya tidak langsung dimaklumkan kepada Tan Sri Khalid sebelum acara perdebatan tersebut”, katanya lagi.

Tambah Pua lagi perdebatan malam ini adalah untuk menunjukkan kepada rakyat, supaya rakyat tahu apakah sebenar yang berlaku bagi isu Talam yang cuba dimainkan oleh UMNO Barisan Nasional dan MCA terutamanya Datuk Chua sendiri.

“Kita hanya mahukan satu pentas untuk kita bahaskan bersama isu ini agar rakyat boleh membuat keputusan”. Jelas Pua kepada pemberita.

Setiausaha Publisiti DAP ini juga memberikan peringatan kepada Datuk Chua agar jika ingin berdebat biarlah membuat pilihan yang setanding dengan beliau.

Turut sama mengulas ketika sidang media sebentar tadi Faekah Husin, beliau menyelar sikap Datuk Chua yang takut untuk berdebat dengan seorang wanita seperti beliau walaupun beliau bukanlah seorang ahli parlimen mahupun ADUN.

Walaupun perdebatan antara Datuk Chua dan wakil yang telah dilantik tidak berjaya diadakan, para penyokong pimpinan Pakatan Rakyat akhirnya bersurai secara aman. Namun, sorakan ‘boo’ dan ejekan oleh penyokong MCA kepada wakil dan penyokong Pakatan Rakyat telah mencetus sedikit ketegangan hingga memaksa pihak polis campurtangan.

Namun demikian, polis berjaya mengawal keadaan dan berjaya mengelakan insiden yang lebih buruk.-roketkini.com