Berita

Blogger UMNO tarik balik fitnah terhadap Ahli Parlimen Taiping

IPOH 14 SEPTEMBER: Imej UMNO sebagai ibu kepada segala fitnah makin terserlah apabila dakwaan yang dilemparkan terhadap Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming oleh blogger UMNO Sekupang Dua ditarik balik kerana dakwaan itu semata-mata fitnah.

Pengelola blog Sekupang Dua, Ahmad Suffian Yahya telah menarik balik tuduhan fitnah yang dilemparkan beliau dan kes tersebut selesai dalam Kamar Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini bertarikh 12 September 2012.

Pada 16 Disember tahun lalu, Ahmad Suffian telah mengeluarkan dakwaan bahawa Ahli Parlimen Taiping Nga Kor Ming sebagai “penyamun besar” Negeri Perak dan menyalahguna kuasa dengan mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh memberi kontrak menjahit baju Ahli Majlis MBI bernilai RM600 kepada syarikat kepunyaan isteri beliau.

Menurut Peguamcara Ahli Parlimen Taiping, Leong Cheok Keng dalam satu kenyataan medianya hari ini, selain menarik balik segala kenyataan fitnah dan tohmahan terhadap Nga, blogger UMNO tersebut juga memberi aku janji kepada Mahkamah Tinggi Ipoh untuk tidak akan mengeluarkan apa-apa tohmahan atau fitnah terhadap Nga Kor Ming lagi pada bila-bila masa yang akan datang.

Persetujuan Ahmad Suffian untuk menarik balik segala kenyataan fitnah dan tohmahan terhadap Nga juga bermaksud defendan boleh didakwa menghina Mahkamah sekiranya beliau mengulangi atau mengeluarkan apa-apa tohmahan serta fitnah terhadap Nga Kor Ming pada masa depan.-Roketkini.com