Rencana

Merah ang-ang! Oleh Izmil Amri

Saya suka warna merah. Warna ini garang dan agresif. Mungkin sebab itu maka dipilih menjadi warna pergerakan pemuda United Malays National Organisation sebagai warna kemeja-t mereka sewaktu mahu ‘bertembung’ kononnya dengan perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu. Tahun ini kelibat mereka tidak kelihatan pula. Mungkin baju merah mereka itu sudah luntur.

Tetapi pokoknya warna merah ini adalah warna yang memberi seribu makna. Selain UMNO, sebuah partai politik berteraskan kaum, yang turut memilih warna merah sebagai warna pegerakan mereka ialah parti-parti sosialis di seluruh dunia.

Merah sebagai simbol

Bendera berwarna merah adalah lambang pergerakan-pergerakan politik sayap kiri sejak Revolusi Perancis, dan telah menjadi identiti partai politik sosialis sejak sekian lama.

Parti Buruh British menggunakan bendera berwarna merah sebagai lambangnya sejak awal penubuhan parti itu sehinggalah lambang itu digantikan dengan ‘sekuntum mawar merah’ sewaktu persidangan Parti Buruh pada tahun 1986.

Di Itali, bendera berwarna merah menjadi simbol pergerakan buruh Itali, serta simbol pergelutan politik rakyat sehingga diabadikan simbol itu di dalam lagu yang diberi nama Bandiera Rossa. Ya, bunyi macam bendera ros.

Demikian kedudukan warna merah dalam pergerakan politik dunia. Lebih menarik lagi sebenarnya jika kita mengkaji kedudukan warna merah dalam budaya masyarakat Cina. Warna ini digunakan secara meluas oleh orang Cina dalam kehidupan mereka sehari-hari, Dari seawal kelahiran sehinggalah ke upacara perkahwinan dan kematian.

Merah simbol budaya

Warna merah, dikatakan berhubung langsung dengan unsur api, adalah simbol kepada kemakmuran dan kegembiraan. Maka kita lihat dalam setiap keramaian masyarakat Cina, warna merah menjadi warna dominan. Jika kita menghadiri majlis perkahwinan sebagai contoh, tetamu amatlah digalakkan memakai pakaian berwarna merah, dan membawa hadiah dalam bungkusan berwarna merah juga.

Terus, apabila lahir seorang anak daripada perkahwinan itu, orang yang melawat juga disarankan membawa hadiah-hadiah dalam bungkusan merah. Perkara serupa juga kedapatan sewaktu sambutan tahun baru Cina. Mana mungkin kita melupakan sampul berwarna merah berisi wang yang sering diberikan kepada orang ramai oleh para ahli politik.

Mungkin hanya Perkasa yang kurang arif tentang hal ini dan memberi wang dalam sampul berwarna putih sewaktu ia cuba mendekati masyarakat Cina awal tahun ini. Bodoh budaya barangkali, tidak mengetahui yang sampul putih adalah untuk upacara kematian.

Pokoknya, warna merah adalah warna yang membawa tuah. Warna yang menghalau semangat jahat.

Justeru apabila ibu pejabat DAP Pulau Pinang disimbah cat merah sebanyak enam das, Pusat Khidmat DUN Datuk Keramat kena enam das, DUN Air Putih dapat empat das, Pulau Tikus dapat dua; semua sekali 18 bungkus cat dibaling kepada pejabat-pejabat DAP di Pulau Pinang; tiada lain yang dapat dikatakan selain terima kasih banyak-banyak atas ucap selamat yang diberikan.

Malah tidak hairan jika ada yang pergi membeli nombor 6642 di kedai nombor ekor terdekat di kejiranan masing-masing.

Itu belum kira bas kempen PKR yang dibaling cat merah sampai pecah cermin.

Betul-betul ‘ong’! – Roketkini.com