Rencana

Hari Malaysia: Mengukur dasar-dasar politik BN Oleh: Hafiz Zainuddin

Nyaris dilupai. Kisah kewujudan Malaysia cuma akan terperuk dalam buku teks sekolah tingkatan lima buat menjawab SPM begitu sahaja kalau tidak diangkat. Kita tidak diajar untuk peduli sejarah penting negara selain sejarah UMNO yang konon menjadi asbab Malaya bebas.

Tidak ramai kita yang ambil pusing malah mungkin tahu hari penting ini. Suara ahli akademik dan sejarawan pula tidak cukup lantang dan garang mengangkat Hari Malaysia sebagai sambutan sebenar kewujudan sebuah negara bernama Malaysia.

Desakan rakyat

Kita tidak terlalu pasti apa penyebab kerajaan UMNO-BN mengambil masa berdekad-dekad untuk menjadikan Hari Malaysia sebagai hari besar negara. Atau, sambutan kemerdekaan setiap kali Ogos cuma sekadar bahan propaganda memperingati UMNO sebagai hero Malaya ketika itu? Jika demikianlah niat mereka, maka malanglah nasib kita yang sekadar hidup dalam pembohongan selama hayat dikandung badan.

Mujur, dengan kempen dan desakan kuat Pakatan Rakyat untuk menggangkat Hari Malaysia sebagai hari besar negara berjaya membuka lembaran baru dan mata seluruh rakyat. Kerajaan BN tidak punya jalan lain selain menabalkan 16 September sebagai cuti umum seluruh negara pada 2010.

Inilah penting dan positifnya apabila dalam sesebuah negara, kita memiliki kumpulan pembangkang yang kuat dan bersatu padu iaitu Pakatan Rakyat. Mahu tidak mahu, kerajaan harus akur dengan kehendak rakyat. Biar pun perubahan itu masih baru, tetapi ia sudah memadai untuk menjanjikan sesuatu yang lebih manis buat rakyat Sabah dan Sarawak.

Pengorbanan orang Sabah dan Sarawak

Lebih separuh abad yang lepas, kita hanya meraikan 31 Ogos Hari Merdeka, hari penjajah British menyerahkan kuasanya kepada Malaya. Lantas, hanya setelah beberapa tahun kemerdekaan dicapai, Malaysia dapat dibentuk apabila Sabah, Sarawak dan Singapura bersetuju untuk bergabung membentuk Persekutuan Malaysia pada 1963.

Jika hasrat pembentukan Malaysia tidak berlaku, mungkin kini Sabah ataupun Sarawak mampu berdiri dengan sendirinya sebagai entiti lain. Tidak boleh tidak, harga teh dan milo pasti tidak semahal hari ini. Tidak boleh tidak,  harga petrol di Sabah mungkin jauh lebih rendah dari Petron 95 dan 97 di Semenanjung.

Mungkin sekali, Sabah dan Sarawak akan menjadi negara terkaya di rantau ini setanding Brunei, Singapura dan Hong Kong disebabkan limpahan yang minyak dan hasil bumi Sabah dan Sarawak yang tak terkata nikmatnya.

1Malaysia tapi Sabah dan Sarawak terus dikhianati BN

Sambutan Hari Malaysia pada 16 September secara langsung memberi peringatan agar negara tidak mensia-siakan penggabungan ini. Tetapi, sejak 49 tahun lalu, pengorbanan dan komitmen rakyat Sabah dan Sarawak bersama menjayakan Persekutuan Malaysia pada 1963 terpaksa menanggung segala risiko iaitu, diskriminasi menerusi ‘perluasan’ penjajahan UMNO-BN.

Tahun-tahun yang berlalu cuma menampakkan kegelojohan UMNO-BN melahap hasil mashul kekayaan dan sumber negeri yang kaya itu.

Biarpun kerajaan UMNO-BN pimpinan Najib mengambil inisiatif besar mempromosikan slogan ‘1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’, tidak kering gusi juga meratib slogan ‘Janji Ditepati’. Malangnya, 1Malaysia yang dicanang-canang Najib ibarat tong kosong.

Kita ambil contoh mudah, kalau di Semenanjung harga menu makanan 1Malaysia adalah RM2 untuk sarapan pagi dan RM4 untuk makan tengahari, lain pula harganya di Malaysia Timur ini yang menetapkan RM2.50 bagi sarapan manakala Rm5 untuk tengahari. Slogan Najib sekadar dibuat jenaka oleh rakyat Sabah dan Sarawak. Kata mereka, “1Malaysia, 2Harga”.

Bagaimana perbezaan harga ini keterlaluan sedangkan ekonomi di Sabah dan Sarawak, tidaklah sepesat di semenanjung. Dan mereka terpaksa membayar lebih dari kita di semenanjung.

Tak kurang dari itu, secara keseluruhannya, bumi yang kaya-raya tersebut berhadapan dengan harga barang keperluan yang tinggi sekitar 20 hingga 40 peratus berbanding semenanjung sedangkan pendapatan isi rumah rakyat negeri tersebut jauh lebih rendah berbanding di Semenanjung.

Adakah ini dasar kabotaj atau dasar sabotaj pemimpin BN negeri yang mengambil laba atas kos perkapalan?

Bukan sekadar harga, rakyat Malaysia Timur terus berhadapan dengan pelbagai kesulitan dan dilema. Statistik menunjukkan Sabah merupakan antara negeri yang berhadapan dengan kemelut dalaman akibat kegagalan dasar pembangunan kerajaan BN. Isu kebanjiran PATI yang semakin tidak terkawal sebaliknya terjadi dengan sistematik oleh kerajaan BN. Ini suatu hal sungguh menakutkan.

Kemudahan infrastruktur yang tidak sempurna sejak 1960 an, masalah sistem dan keperluan pendidikan, kemudahan asas api dan air, masalah penggangguran yang tinggi, isu kemiskinan, permainan politik perkauman, kes kecurian hasil bumi dan masalah alam sekitar terus membelengu hidup rakyat Malaysia Timur ini.

Begitu juga dengan Sarawak yang sejak puluhan tahun, kerajaan BN mengabaikan tanggungjawab memberi kemudahan asas yang sempurna kepada rakyat. masalah tanah adat hingga kini masih tidak ada penyelesaian dan jurang ekonomi antara kaum masih terus terjadi.

Semua masalah ini cukup pelik kerana Sabah Sarawak punya hasil bumi yang mencukupi malah hasil bumi merekalah yang banyak menyumbang cukai untuk kerajaan persekutuan

Ada apa dengan Hari Malaysia

Jadi, ada apa dengan Hari Malaysia yang bakal disambut 16 September ini buat kita?

Atas komitmen penyatuan dan persefahaman Sabah dan Sarawak yang termeterai dengan janji, maka negara perlu menilai semula sejauh mana kemakmuran dan kesejahteraan dikongsi dan bukan semata-mata melaungkan ‘integrasi nasional’ tanpa melihat kembali kepada ikatan dan perjanjian yang telah disepakati bersama.

Perjalanan Malaysia masih jauh. Rakyat Sabah dan Sarawak masih menuntut 20 dan 18 janji yang masih tak terlangsai kerajaan BN selama 49 tahun bersama Malaysia. Ibarat melukut di tepi gantang, mereka seolah-olah dianaktiri kerajaan UMNO-BN Semenanjung.

Sedangkan pentadbiran elit BN telah bersemayam selesa di Putrajaya. Rakyat semenanjung telah menerima jaringan lebuhraya dan kemudahan infrastruktur yang selesa. Sayangnya BN terus meminggirkan Sabah dan Sarawak. Atas sikap politik BN dan kegagalan dasar urus tadbir mereka, elit-elit proksi UMNO dan BN terus kenyang dengan hasil Sabah dan Sarawak.

Roketkini.com mengucapkan Selamat Hari Malaysia. Sesungguhnya “ Malaysia milik kita bersama.” -Roketkini.com