Rencana

Idealisme – mahasiswa dan pemerintah.

Pada tahun 1969, sebuah perkumpulan mahasiswa daripada Universiti Malaya telah membuat jelajah menggunakan bas ke beberapa bandar utama di Semenanjung Malaysia bagi menyebarkan ide yang mereka bawa kepada seluruh rakyat Malaysia.

Pertubuhan yang dikenali sebagai UMSU (University of Malaya Students Union) yang menjadi penggerak NUMS (National Union of Malaysian Students) bukan sahaja berjaya memupuk perpaduan para mahasiswa di peringkat nasional pada penghujung 60-an, malah turut menyumbang kepada tsunami politik pertama yang melanda negara pada pilihanraya umum tahun 1969.

Dengan sumber yang mereka perolehi sendiri, dan bas yang dipandu sendiri, mahasiswa-mahasiswa UMSU telah menjelajah ke tiga belas kawasan utama sejak pertengahan April 1969 sehingga yang terakhir pada 9 Mei 1969. Daripada tiga belas kawasan ini, sembilan daripadanya telah memilih perubahan dan mengundi pihak oposisi pada waktu itu.

Menurut dokumen UMSU, rapat-rapat umum yang diadakan adalah cara paling berkesan untuk mengetengahkan manifesto yang dibawa mahasiswa pada waktu itu. Sewaktu parti-parti politik ketika itu menggunakan isu-isu perkauman sebagai modal kempen, UMSU membawa politik ide dengan membentangkan manifestonya yang berasaskan isu dan permasalahan.

Mahasiswa bergerak sendiri

Dan tindakan mahasiswa melibatkan diri secara langsung dalam pilihanraya negara, dengan mengadakan rapat-rapat umum melampaui tembok kampus dan menyegarkan fikrah masyarakat dengan ide-ide politik baru adalah amat mengagumkan rakyat. Pendekatan mereka, anak-anak muda yang bercakap berbagai bahasa dan dialek dan bertegas dalam isu-isu prinsip telah berjaya memenangi hati umum untuk menerima perubahan dan berfikir melampaui ruang politik perkauman sempit.

Pada 18 April 1969, jelajah bas UMSU bermula di Petaling Jaya dengan kehadiran dianggarkan 1,300 orang. Esoknya di Kuala Lumpur, jumlah meningkat hingga 1,500. 22 April mereka berkumpul di Esplanade, di Pulau Pinang dengan audien seramai 4,000 orang. Malam berikutnya di Dato Keramat, Pulau Pinang, ceramah anak-anak mahasiswa ini dibanjiri sekitar 13,000 orang.

Di Taiping, mereka disambut 5000 orang ramai, dan jumlahnya bertambah dua kali ganda apabila mereka turun ke Ipoh. Dari Ipoh mereka bergerak ke Seremban pada 28 April, dan bertemu 12,000 penduduk Melaka pada malam berikutnya. Langsung ke Selatan, anak-anak mahasiswa ini bertemu hampir 6,000 rakyat di Johor Bahru dan 9,000 lagi menanti mereka di Batu Pahat pada Hari Buruh.

Langsung mereka terus ke Teluk Anson, Perak dengan 10,000 rakyat berkumpul untuk mendengar percakapan mereka, sebelum bergerak ke Kuala Pilah dan berakhir di Klang dengan 6,000 orang mendengar manifesto mahasiswa; sehinggakan mereka akhirnya dihalang pihak pemerintah daripada meneruskan kerja-kerja tersebut sebelum sempat ke Kuantan dan kawasan-kawasan pantai timur.

Sejarah dilakar oleh golongan muda

Yang menduduki pentas-pentas mereka juga turut terdiri daripada mahasiswa berbilang keturunan. Menempelak politik Malaysia pada waktu itu yang berteraskan politik ras dan kekuasaan etnik semata-mata, meski sudah lebih lima tahun membentuk negara Malaysia. Nama-nama seperti Khong Kim Hoong, Syed Hamid Ali, Choong Lai Huat, Chang Wen Seung, Yoong Suan, Rex Michael dan R. Raj Kumar tidak pula didendangkan oleh para ahli sejarah sebagai pemangkin perubahan politik Malaysia.

Malah ada pakar sejarah yang lebih berani menyatakan bahawa pekerjaan mereka ini sebagai tidak mempunyai nilai sejarah langsung, dan melabel mereka ini sebagai pembuat kacau.

Ini normal sebenarnya. Di mana-mana pun pemerintah takut kepada mahasiswa. Hatta apabila sudah tidak bergelar mahasiswa pun, pemerintah akan tetap takut kepada mahasiswa.-roketkini.com