Berita

Peguam Negara disaran jangan ‘double standard’ – Mansor Othman

GEORGE TOWN, 20 SEPTEMBER: Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail disaran supaya berlaku adil dalam mengambil tindakan terhadap salah laku melibatkan penghinaan dan serangan terhadap pemimpin negara.

Dalam surat beliau kepada Peguam Negara, Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Dato’ Mansor Othman mengingatkan Tan Sri Abdul Gani agar mendaulatkan undang-undang tanpa pilih kasih dan ‘double standard’.

Mansor mempersoalkan kenapa tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap ahli Perkasa yang bertindak ganas memijak, mengoyak dan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Mereka bukan sahaja memijak, mengoyak dan membakar gambar YAB Ketua Menteri, malah mereka melakukan beberapa demontrasi ganas. Lebih dahsyat, ada di kalangan mereka ini melakukan upacara kematian ke atas beliau mengikut adat agama Hindu di hadapan pintu kediaman YAB Ketua Menteri, sewaktu demontrasi pada 10 Mei 2012,” tulis beliau dalam surat bertarikh 14 September itu.

Menurut beliau lagi, meski pun bukti-bukti bergambar aksi mereka dirakam dan tersebar luas, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC Mazlan Kesah masih menyatakan bahawa pihak polis tidak mempunyai bukti yang mencukupi.

Mansor juga melampirkan bukti keganasan pihak Perkasa untuk rujukan pihak Peguam Negara supaya tindakan sewajarnya dapat diambil.

“Adalah diharapkan juga bahawa elemen pilih kasih tidak diamalkan di sini di mana hanya satu pihak sahaja boleh mendapat pembelaan sewajarnya,” ujar beliau. – Roketkini.com